TERKINI

Mayat pencandat sotong ditemui terapung dekat Pulau Songsong

Mayat pencandat sotong ditemui terapung dekat Pulau Songsong

11/01/2017 10:55am




ALOR SETAR - Mayat pencandat sotong yang hilang di laut pada Ahad lalu ditemui terapung dalam keadaan kembung berdekatan Pulau Songsong, Yan dekat sini kira-kira 19 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah di sini hari ini.

Mayat Shukri Abd. Rashid, 30, ditemui tersangkut pada pukat nelayan di kawasan itu kira-kira pukul 8.15 pagi ini.

Bot Kilat 7 Maritim Malaysia (APMM) dan bot kevlar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri digerakkan ke lokasi penemuan mayat kira-kira lima minit kemudian.

Komander Operasi JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamad Yunus Abu berkata, mayat dicamkan sebagai Shukri oleh ahli keluarganya.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pusat kawalan tempat kejadian dekat jeti Kuala Kedah di sini apabila isteri mangsa, Hamidah Zakaria, 25, yang baru tiga hari melahirkan anak menangis dan terpaksa dipapah sebaik sahaja melihat mayat suaminya.- K! ONLINE

Process time in ms: 3110