SUKAN

Janji Jamal jika dipilih Presiden FAS

Janji Jamal jika dipilih Presiden FAS


JAMAL (tengah) pada sidang akhbar selepas menawarkan diri sebagai Presiden FAS di Kelana Jaya semalam.


“KALAU saya dilantik hari ini, semalam saya dah bayar (masalah tunggakan gaji pemain dan bekas jurulatih).”

Itulah jaminan Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos sekiranya beliau dilantik sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada musim ini.

Semalam, Jamal menghantar surat menawarkan diri sebagai Presiden FAS memberitahu, beliau mahu membantu Selangor agar lebih maju setanding kelab Johor Darul Takzim (JDT).

Kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu, beliau menawarkan diri selepas mengetahui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAS selain optimis bahawa beliau memiliki pakej untuk menjadi pemimpin persatuan yang berusia 81 tahun itu.

“Hasrat saya untuk menawarkan diri sebagai Presiden FAS adalah bagi membantu kelab bola sepak Selangor ini ke arah yang lebih maju, setanding kelab-kelab lain terutama JDT.

“Tujuan saya hari ini (semalam) tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu FAS menangani apa jua permasalahan untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Saya tidak meletakkan syarat. Saya mahu menjadikan FAS yang terbaik dan tidak menghampakan para belia dan remaja di Selangor ini ke arah lebih maju. Saya yakin dengan usaha, semangat dan pakej yang dibawa, saya akan diterima untuk menjadi presiden kelab ini.

“Bagi saya, dana itu kita letak nombor dua. Apa yang paling mustahak sema­ngat dan cara kita untuk menangani permasalahan yang berlaku dan menyusun strategi pada masa akan datang. Ia bukan bila kita ada masalah, kita melarikan diri.

“Apabila saya melihat menteri besar (Azmin) melepaskan jawatannya, jadi saya terpanggil untuk menawarkan diri. Saya tidak kata saya paling terbaik tetapi saya datang untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di dalam FAS,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat FAS, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Zainal Abidin Hassan menuntut FAS melunaskan baki gaji kontrak yang sepatutnya berakhir pada November lalu ekoran jurulatih itu dipecat selepas kekalahan 0-1 kepada Kedah dalam aksi Liga Super, 6 Ogos lalu.

Selain itu, beberapa pemain Selangor didakwa menuntut janji bonus serta gaji tertunggak pada musim lalu.

Process time in ms: 31