SUKAN

Ayah Faiz: Saya bagaikan bermimpi

Ayah Faiz: Saya bagaikan bermimpi


SUBRI (dua dari kanan) bersama isterinya, Sa’diah (kiri) serta anaknya, Nor Hazwani (dua dari kiri) menonton siaran langsung menerusi skrin besar yang dipasang di kediamannya di Kampung Pida 6, Tok Kepak, Ayer Hitam, Kedah untuk menyaksikan majlis Anugerah FIFA 2016 di Zurich awal pagi semalam.


“SAYA bagaikan bermimpi apabila nama anak saya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 untuk jaringan tercantik di dunia.”

Demikian luahan bapa pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz, Subri Kader, 64, apabila anak lelakinya itu dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut yang tidak pernah diimpikan selama ini.

Menurutnya, dia bersyukur dan gembira dengan pencapaian Faiz yang luar biasa itu apabila menjadi pemain tunggal Asia setakat ini menerima anugerah berprestij tersebut.

“Kejayaan itu sesuatu yang menggembirakan memandangkan Faiz yang bermula sebagai pemain dengan pasukan kampung kini berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa,” kata Subri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan siaran langsung penyampaian anugerah tersebut yang diadakan di Zurich, Switzerland awal pagi semalam menerusi skrin layar lebar yang dipasang di pekarangan rumahnya di Kampung Pida 6, Tok Kepak, Ayer Hitam, Kedah.

Selain itu, lebih 200 penduduk yang tinggal di sekitar kampung tersebut tidak ketinggalan hadir untuk menonton siaran langsung berkenaan.

Subri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membimbing anaknya sehingga berjaya mencipta nama pada peringkat antarabangsa, terutamanya Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain itu, tambahnya, dia juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan peminat bola sepak dari seluruh dunia yang mengundi Faiz untuk memenangi anugerah bagi gol tercantik di dunia tersebut.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai itu diharapkan dapat membangkitkan lagi semangat anaknya untuk beraksi dengan lebih baik bersama pasukan Pulau Pinang pada saingan Liga Malaysia musim 2017 ini.

“Saya juga mencabar Faiz untuk menunjukkan kebolehannya itu dengan mengulangi jaringan yang lebih memukau selepas ini,” katanya.

Sementara itu, ibu Faiz, Sa’diah Ishak, 55, pula tidak dapat mengawal air matanya daripada mengalir kerana terlalu gembira apabila anaknya itu berjaya merangkul anugerah tersebut.

“Ibu mana tidak gembira apabila melihat anaknya berjaya mencipta nama sebaris dengan bintang-bintang bola sepak dunia yang lain.

“Saya tetap bersyukur sekiranya Faiz tidak berpeluang memenangi anugerah tersebut kerana kejayaan layak ke peringkat akhir bersama dua lagi pemain bertaraf antarabangsa sudah cukup tinggi,” katanya.

Sa’diah memberitahu, dia juga akan berbincang dengan Faiz selepas ini untuk mengadakan majlis kenduri ke­syukuran atas kejayaan tersebut.

Kejayaan yang dicapai Faiz itu menepati ramalan peminat bola sepak dunia yang kebanyakan menyokong jaring­an Faiz untuk memenangi anugerah tersebut.

Pemain tengah Pulau Pinang itu mengetepikan dua lagi calon akhir iaitu pemain Brazil yang beraksi untuk kelab Corinthians, Marlone dan wakil tunggal wanita dari Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Anugerah Puskas diperkenalkan pada tahun 2009 yang menyaksikan pemain terbaik dunia sebanyak empat kali, Cristiano Ronaldo menjadi pemenang pertama anugerah tersebut.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47