RENCANA UTAMA

Lambakan kucing terbiar di Cyprus

Lambakan kucing terbiar di Cyprus


LAMBAKAN kucing jalanan dan terbiar kini menghantui penduduk di sekitar Cyprus.


LEGENDA menyatakan, Permaisuri Rom, Halena merupakan individu pertama yang membawa baka kucing ke Cyprus untuk menumpaskan ular-ular berbisa, namun 1,700 tahun kemudian krisis kewangan menyebabkan haiwan itu membiak berkali-kali ganda.

Kini, pencinta haiwan bertungkus-lumus mengurangkan jumlah populasi kucing terbiar di pulau itu berikutan langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan dengan menghentikan program pemandulan haiwan.

Seekor kucing betina mampu melahirkan sehingga lapan ekor anak sekali gus menyebabkan sukarelawan yang berdepan krisis kewangan mengalami kesukaran untuk menyediakan makanan yang mencukupi.

Seorang sukarelawan dari Britain di pusat penjagaan haiwan berhampiran resort di Paphos mendakwa mereka berbelanja sekitar 2,200 euro (RM10,350) sebulan untuk menyediakan makanan kepada kucing-kucing di situ.

Taman Peringatan Kucing di Tala ditutup selepas mencapai kapasiti maksimum sejak musim luruh lalu tetapi anak-anak kucing masih ditinggalkan di luar kawasan parkirnya, kata pengasasnya, Dawn Foote.

“Sesuatu perlu dilakukan. Dua tahun lagi, kami tidak mampu menguruskannya,” katanya.

Membiak

Ribuan penduduk kini kehilangan pekerjaan di Cyprus dan gaji juga turut dipotong sebagai langkah-langkah penjimatan yang dilakukan selepas krisis ekonomi global yang melanda republik itu sejak tahun 2008.

Ketua Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) Cyprus, Dinos Agiomamitis berkata, kerajaan telah menghentikan program bernilai 50,000 euro (RM235,00) yang digunakan untuk memandulkan lebih 1,700 ekor kucing di pulau itu lima tahun lalu. “Bayangkan dalam tempoh lima tahun ini berapa banyak kucing yang membiak? Beribu-ribu ekor dan sekarang kami terpaksa menangani situasi ini,” katanya.

Bagi membantu pengawalan ribuan kucing berkenaan, PAWS turut memberi baucar pemandulan haiwan kepada orang ramai yang sanggup membelanya.

Di samping itu, Agiomamitis turut membantu pihak berkuasa menangkap kucing-kucing terbiar bagi mengatasi masalah itu. Kucing-kucing yang ditangkap akan dibawa ke klinik veterinar untuk dimandulkan.

“Jika kamu membela 10 ekor kucing dan tidak memandulkannya, ia akan membiak,” ujarnya.

Di tengah-tengah ibu negaranya, kelibat kucing dilihat berkeliaran memenuhi ruang pejalan kaki.

Mitos Saint Halena sememangnya terkenal di Cyprus namun ahli arkeologi Perancis, Jean-Denis Vigne, haiwan itu telah lama wujud di pulau itu.

Katanya, penemuan pelbagai artifak bersejarah sebelum ini menunjukkan kehadiran kucing di Cyprus telah bermula ribuan tahun lalu iaitu sebelum kewujudan tamadun Mesir.

Artifak bersejarah terakhir ditemui pada tahun 2013 di sebuah perkampungan masyarakat Neolitik di Klimonas, Shillourokambos dipercayai berusia 8,600 hingga 9,000 tahun Sebelum Masihi.

“Kami percaya, kucing dibawa ke Cyprus pada waktu itu untuk membendung masalah tikus. Tarikh yang tertera menunjukkan wujud penempatan awal di sini dan kami percaya ia digunakan untuk menghapuskan tikus di kawasan pertanian,” katanya.

Kebajikan

Seorang doktor veterinar di ibu negara berkenaan, Ioannis Yiangou berkata, nasib haiwan berkenaan kini banyak bergantung kepada sumbangan peribadi yang diberikan orang ramai serta usaha para sukarelawan.

“Situasi sangat teruk ketika ini, kebanyakan rakyat kini tidak mempunyai wang,” katanya.

Ketua Perkhidmatan Vaterinar Cyprus, Christodoulos Pipis memberitahu, dana kerajaan kini digunakan untuk menyelesaikan isu yang memberi impak besar kepada ekonominya seperti penyakit haiwan ternakan.

Tanpa sebarang pelan untuk memperkenalkan semula bajet 2011 yang lalu, sukarelawan seperti Agiomamitis tampil untuk memastikan kebajikan kucing-kucing berkenaan terpelihara.

Dengan menggunakan wang sendiri, dia dan isterinya, Anggeliki memberi makanan 150 ekor kucing setiap pagi.

Dia yang merupakan kontraktor binaan menghabiskan 600 hingga 700 euro (RM2,00 hingga RM3,300) sebulan untuk menyediakan makanan sekali gus memberi cabaran kepadanya untuk meneruskan kehidupan dengan suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

Sebelum malam menjelma, pasangan terbabit akan ke taman peringatan berkenaan untuk memberi makan berupa nasi yang digaulkan dengan daging cincang kepada puluhan kucing terbiar yang ditinggalkan pemiliknya di situ.

“Keadaan di sini seperti sebuah restoran,” katanya – AFP

Rencana Utama!»

Turun padang kaji punca pencemaran

PASUKAN UTKFAS turut mendapatkan sampel air dari Sungai Semenyih, Selangor untuk dianalisis.

Varia!»

Sikap individu cabar kreativiti ahli pemasaran

SYARIKAT yang mengungguli konsep one to one marketing pasti akan menguasai kelompok pengguna yang semakin individualistik dalam sesuatu pasaran. – Gambar hiasan

Process time in ms: 31