RENCANA UTAMA

Tingkat aspek keselamatan Bukit Tabur

Tingkat aspek keselamatan Bukit Tabur

FORMASI batuan keras dan laluan curam menjadikan Bukit Tabur di Taman Melawati, Ampang, Selangor sebagai lokasi berbahaya untuk didaki terutamanya pendaki yang baharu.


PERASAAN teruja dan gembira menyelubungi hati Khairul Hak Abd. Razak, 32, saat pertama kali menjejakkan kaki ke puncak West di Bukit Tabur, Taman Melawati, Ampang, Selangor pada 29 Mac 2015 lalu.

Pemandangan yang cantik dari puncak bukit itu melupakan seketika jerih perih yang dilalui sepanjang pendakian tersebut.

“Trek sangat teknikal dan mencabar tetapi segala kepayahan itu dianggap berbaloi dengan pemandangan yang dihidangkan di puncak bukit itu.

“Saya tidak sangka trek sesukar itu. Mungkin ketika itu, saya baru belajar mendaki dan tahap kecergasan saya tidak begitu baik.

“Namun, saya seakan-akan jatuh cinta pandangan pertama dan sehingga kini ketagih untuk mendaki Bukit Tabur,” kata pemuda berasal dari Temerloh, Pahang itu.

Menurut Khairul Hak, Bukit Tabur merupakan puncak kedua yang berjaya ditawan selepas Bukit Saga, Ampang, Selangor.

Katanya, bagi pendaki yang baru pertama kali mendaki Bukit Tabur, mereka perlu lebih berhati-hati kerana laluan ke puncak agak berbahaya dan mencabar. Malah, struktur batu-batuan juga ada yang longgar dan licin.

“Formasi batuan-batuan kapur yang keras dan laluan pendakian serta menurun yang curam sehingga 70 darjah akan menyebabkan pendaki berasa agak kekok dan gayat.

“Sesiapa yang ingin mendaki Bukit Tabur perlu memastikan tahap kecergasan dalam keadaan baik kerana jika tercedera, perkara itu menjadi satu masalah besar bukan sahaja kepada pendaki tetapi rakan-rakan lain,” ujarnya.

Sehingga kini, Khairul Hak berjaya menawan banyak puncak bukit dan gunung antaranya Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu; Bukit Saga, Ampang (Selangor); Gunung Besar Hantu (Negeri Sembilan); Gunung Tahan dan Gunung Yong Belar (Pahang) serta Gunung Korbu (Perak).

Nama Bukit Tabur mula menjadi buah mulut masyarakat selepas ia mencuri tumpuan jurugambar untuk merakamkan keindahan panorama yang terdapat di puncak bukit itu.

Sejak itu, Bukit Tabur menjadi lokasi riadah terkemuka buat warga kota kerana lokasinya yang berhampiran dengan pusat bandar.

Jarak antara Bukit Tabur dengan bandar raya Kuala Lumpur kira-kira 25 kilometer.

Jadi, tidak hairanlah apabila Bukit Tabur sering menjadi tempat untuk menguji kemampuan diri bagi individu yang gemarkan aktiviti ekstrem selain merakamkan gambar-gambar menarik terutamanya ketika matahari terbit.

Tragedi


ANGGOTA bomba dibantu beberapa pendaki membawa turun mayat Goh Cheng Teik, 49, yang terjatuh di Bukit Tabur pada Oktober 2016.


Namun, di sebalik keindahan itu, berlaku tragedi yang menyayat hati membabitkan ramai pendaki yang meninggal dunia dan tidak kurang juga yang mengalami kecederaan serius.

Pada 10 Disember 2015, seorang pesara lelaki berusia 59 tahun yang gemar mendaki bukit seorang diri menjadikan lebih 10 orang mangsa ‘ditelan’ bukit berdarah itu.

Mangsa, Ahmad Azmi Abd. Kadir dilaporkan keluar pada pukul 8 pagi untuk mendaki puncak Extream setinggi 396 meter itu sehari sebelum ahli keluarga menyedari tentang kehilangannya.

Mangsa ditemui tiga pendaki lain sekitar pukul 6.30 pagi keesokan harinya dan hasil bedah siasat mendapati, mangsa telah meninggal dunia 24 jam berikutan darah yang sudah kering dan berwarna hitam serta kedudukan fizikal mayat yang kaku.

Kejadian sama berulang pada Oktober 2016 apabila kegembiraan seorang lelaki yang ingin merakamkan gambar kenangan di Bukit Tabur bertukar tragedi selepas dia gagal mengimbangi badan lalu terjatuh dari ketinggian 15 meter. Mangsa, Goh Cheng Teik, 49, maut akibat pendarahan yang teruk di kepala.

Di Bukit Tabur, terdapat lima puncak berbeza yang boleh ditawan iaitu East dengan ketinggian 275 meter, West (416m), Far East (357m), Extream (396m) dan Extra (303m).

Pendaki perlu menempuh laluan yang berbeza untuk sampai ke puncak.

Bagaimanapun, apabila sampai di puncak, pemandangan yang akan dinikmati adalah sama iaitu pemandangan Hutan Simpan Gombak dan Empangan Klang Gates tetapi dari sisi pandangan berbeza.

Trek pendakian di Bukit Tabur berbeza dengan laluan gunung-gunung di Malaysia.

Walaupun, jaraknya agak pendek, ia cukup mencabar disebabkan oleh tebing-tebing yang berbahaya, sekali gus menyebabkan perjalanan ke puncak terasa amat sukar.

Sementara itu, Shahira Abdul Rani, 26, memberitahu, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki selepas pertama kali menaiki Bukit Broga pada 2014 sebelum Bukit Tabur setahun kemudian.

Katanya, memang agak perit ketika mendaki Bukit Tabur kerana banyak kawasan yang curam dan batu-batuan agak tajam.

“Saya mendaki bukit itu bersama kawan-kawan yang memang ada pengalaman dalam aktiviti ini. Berkali-kali dia menasihati saya agar peka dengan keadaan sekeliling dan berhati-hati semasa melangkah.

“Keperitan pendakian terasa hilang sedikit demi sedikit sebaik tiba di puncak bukit. Di situ, pendaki dapat merehatkan sambil menghirup udara segar,” ujarnya yang terjebak dengan aktiviti itu kerana ingin mencari hobi baharu dan mengisi masa lapang.

Jelas Shahira lagi, pemandangan yang indah, di tambah pula dengan udara segar, dia tidak sangka yang sebenarnya dia masih berada di kawasan bandar raya Kuala Lumpur.

Biasanya, Bukit Tabur didaki bagi tujuan latihan pendaki-pendaki yang akan mendaki gunung lebih tinggi.

Namun, pada malam tahun baru atau sambutan Hari Kemerdekaan, ramai pendaki akan berada di atas bukit itu untuk melihat percikan bunga api.

Dari puncak itu, pendaki boleh melihat keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur. Mereka melihat pertunjukan bunga api dan menikmati angin puncak bukit yang sangat nyaman.

Bagi pendaki yang ingin melihat panorama matahari terbit pula, mereka akan memulakan pendakian seawal pukul 6 pagi.

Keselamatan

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Kembara Negara, Mohd. Rafi Kori berkata, pihak bertanggungjawab perlu meningkatkan tahap keselamatan di lokasi yang menjadi tarikan pengunjung baik dari dalam mahupun luar negara itu.

“Aspek keselamatan di Bukit Tabur perlu dipandang serius bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan kerana sudah terlalu banyak kes kematian yang dilaporkan di situ.

“Justeru, kerajaan perlu bertindak segera dengan menempatkan Bukit Tabur di bawah penyeliaan dan pengawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar aspek keselamatan dapat ditambah baik bagi menjamin kesejahteraan pengunjung,” katanya.

Malah, Mohd. Rafi turut menasihati para pendaki agar sentiasa mengikut standard prosedur operasi yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan mereka sebelum dan semasa melakukan aktiviti pendakian.

Horizon!»

Lihat dinosaur dari jarak dekat

KELIBAT patung dinosaur dapat dilihat dari jauh termasuk pengguna yang melalui Jalan Pintasan Muar, Johor.

Varia!»

Makuma platform mahasiswa cemerlang

Mahasiswa perlu bijak menyeimbangkan antara pembelajaran dengan aktiviti luar dalam usaha menjadi pelajar yang holistik.

[email protected]!

Process time in ms: 47