INFINITI

Kompreg kalis air, fungus, anai-anai

Kompreg kalis air, fungus, anai-anai

EDI SUHAIMI menjalankan kajian mengenai kayu sawit kompreg sejak 2004.


KIRA-KIRA 55 peratus daripada bumi Malaysia diliputi hutan hujan tropika yang kaya dengan 8,000 jenis flora dan lebih 400 spesies fauna.

Dalam hal ini, sektor perkayuan, terutama bidang pembuatan perabot dan binaan berasas kayu berpotensi mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada usahawan yang berkecimpung dalam industri berkenaan.

Begitupun, unjuran bekalan kayu daripada hutan semula jadi dijangka terus menyusut kepada 14 juta meter padu pada tahun 2034 berbanding 20 juta meter padu pada 2008.

Situasi itu didorong oleh kegiatan penebangan hutan berikutan permintaan terhadap sumber perkayuan tinggi dari dalam serta luar negara.

Manyahut seruan tersebut, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (Introp) menghasilkan kayu alternatif daripada batang kelapa sawit sebagai usaha mengurangkan kadar pembalakan dan memelihara hutan asli negara.

Ketua Penyelidik di Jabatan Pengeluaran Hutan, Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Madya Dr. Edi Suhaimi Bakar berkata, ia sejajar dengan konsep menukar sisa buangan kepada produk bernilai yang ditekankan kerajaan pada masa ini.

“Malaysia mempunyai ladang sawit kedua terbesar di dunia dengan keluasan ladang mencecah 5.6 juta hektar. Bagi setiap lima hektar dianggarkan terdapat 120 hingga 130 batang pokok kelapa sawit.

“Ia perlu ditanam semula setiap 25 tahun menyebabkan sisa batang kelapa sawit sekali gus meningkat saban tahun dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Inovasi (IOD) UPM di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau melihat inisiatif itu dapat membantu menampung bekalan kayu negara. Pada masa sama mengurangkan longgokan sisa batang kelapa sawit selain menjana pendapatan tambahan kepada peladang.

Inovasi itu dinamakan kayu sawit kompreg. Ia perlu melalui enam peringkat iaitu proses menggergaji, pemampatan, pengeringan, pemasukan resin, pemanasan dan pemampatan panas.

Kompreg bermaksud kaedah pemampatan kayu dengan memasukkan elemen seperti resin ke dalam rongga kayu untuk meningkatkan ketumpatan dan kekuatan kayu.

Unik

Menurutnya, kayu sawit mempunyai ciri-ciri agak unik kerana lapisan yang keras dan elok berada di luar berbanding pokok kayu lain ia terletak di bahagian dalam.

Justeru, teknik menggergaji khusus dikenali sebagai reverse cant sewing digunakan untuk mengambil bahagian luar secara maksimum.

Kayu sawit juga berkualiti rendah dari segi kekuatan, ketahanan, kadar kembang kecut, kestabilan dan sifat pemesinan. Kerana itu ia perlu melalui kesemua proses berkenaan yang secara keseluruhannya mengambil masa tiga setengah hari.

“Dalam hal ini, kayu sawit perlu direndam di dalam bahan rawatan berupa resin yang diperbuat daripada bahan-bahan campuran khas yang diperoleh daripada sumber tempatan.

“Resin itu bersifat cecair dan akan menyerap masuk ke dalam rongga atau liang kayu sawit. Apabila potongan kayu sawit dimampatkan, resin itu akan beku dan padat sekali gus mengukuhkan struktur kayu.

“Sifat fizikal resin yang berwarna coklat tua, berkilat dan menjadi seperti gam apabila kayu dimampatkan buat kali kedua dengan tekanan panas menyebabkan permukaan kayu sawit kelihatan licin dan cantik” ujarnya.

Menurut Edi Suhaimi, penyelidikan yang dijalankan sejak 2004 itu pada mulanya mendapati keseluruhan proses mengambil masa 35 hari untuk proses mengering sahaja.

Musuh

Namun, selepas menerima maklum balas daripada pihak industri, kaedah itu telah ditambah baik dan berjaya disingkatkan sebanyak 10 kali ganda lebih pantas.

Dari segi kekuatan, kayu sawit kompreg setara jika dibandingkan dengan kayu balak lain seperti meranti, balau dan cengal manakala daripada kualiti pemesinan ia boleh menjangkau antara kelas satu hingga kelas kedua.

Beliau menjelaskan, musuh kayu adalah air, fungus dan anai-anai. Namun, pemerhatian mendapati kayu sawit kompreg mempunyai daya tahan tinggi meskipun terdedah kepada elemen berkenaan.

“Sifat fizikal resin seperti gam apabila kayu dimampatkan menjadi perisai kepada kayu sawit kompreg dan menjadikannya kalis air.

“Kayu terdedah kepada ancaman kulat dan anai-anai mengalami sedikit pengurangan jisim, namun fasa itu terhenti pada minggu kedua,” jelasnya.

Menurut beliau, kajian mendapati, kayu itu pada mulanya dimakan kulat dan anai-anai, namun pada satu peringkat ia akan mati.

Begitupun, ia mati bukan kerana keracunan tetapi kerana kayu yang dimakan tidak boleh dicerna oleh sistem penghadaman mereka. Situasi itu menunjukkan kayu sawit kompreg bukan bahan makanan kepada kulat dan anai-anai.

Dalam pada itu, Edi Suhaimi berkata, meraih kepercayaan orang ramai untuk menggunakan inovasi itu adalah antara cabaran besar yang harus ditempuhi.

“Ketika kami menyertai satu pameran inovasi di Indonesia baru-baru ini, saya bertanya kepada orang ramai untuk mendapatkan maklum balas mereka.

“Rata-rata percaya dengan kualiti kayu yang kami hasilkan, namun mereka ragu-ragu untuk mencuba kerana ia belum ada di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Introp, Prof. Datuk Paridah Md. Tahir berkata, sebanyak 21 produk dipamerkan sempena IOD tersebut dengan lapan produk berpotensi untuk dikomersilkan, 12 produk membangun dan satu produk komuniti.

“Introp akan terus memberi fokus kepada penyelidikan dalam bidang tujahannya selaras dengan peranan dan tanggungjawab memartabatkan pembangunan produk kayu dan gentian asli,” katanya.

Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara Introp dengan Persatuan Industri Perabot Kuala Lumpur dan Selangor sempena hari tersebut.

MoU tersebut mempunyai matlamat membangun dan mengadakan kerjasama penyelidikan dalam bidang yang berkaitan, serta menyediakan pertukaran serta penempatan bagi kakitang an serta pelajar di UPM dan ahli persatuan.

Horizon!»

Lihat dinosaur dari jarak dekat

KELIBAT patung dinosaur dapat dilihat dari jauh termasuk pengguna yang melalui Jalan Pintasan Muar, Johor.

Varia!»

Makuma platform mahasiswa cemerlang

Mahasiswa perlu bijak menyeimbangkan antara pembelajaran dengan aktiviti luar dalam usaha menjadi pelajar yang holistik.

[email protected]!

Process time in ms: 15