HIBURAN

Sharnaaz solat istikharah

Sharnaaz solat istikharah


BERKONGSI rahsia, Sharnaaz tidak menafikan Nabila berasa cemburu dengan dirinya.


SELEPAS dua tahun menyulam cinta, pelakon bertubuh sasa, Sharnaaz Ahmad bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan, Noor Nabila Mohd. Noor pada 31 Mac depan.

Berbaki dua bulan sebelum disatukan dengan Nabila yang merupakan kakak Neelofa, pelakon filem Gila Baby itu mengakui tidak boleh tidur malam kerana gementar menghitung hari bahagianya.

Memilih untuk membuat majlis secara sederhana, Sharnaaz, 32, mengharapkan majlis pernikahannya kelak berjalan lancar. Pasangan yang bercinta sejak dua tahun itu juga terbuka jika ditawarkan sebarang bentuk penajaan pihak luar.

Majlis pernikahan mereka akan diadakan di kediaman Nabila di Duta Tropika, Kuala Lumpur, manakala majlis resepsi pihak lelaki akan diadakan di Hotel G, Gurney Plaza, Pulau Pinang pada 16 April.

Mereka juga akan diraikan dalam sebuah majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2 April nanti.

KOSMO!: Tahniah Sharnaaz kerana bakal mendirikan rumah tangga dengan Nabila pada 31 Mac nanti. Boleh kongsikan kenapa memilih tarikh tersebut untuk bernikah?

SHARNAAZ: Terima kasih. Pemilihan tarikh untuk majlis akad nikah dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Tiada sebarang keistimewaan, cuma ia bersesuaian dengan keadaan. Sekiranya dibuat terlalu lewat seperti pada Mei, ramai yang sibuk untuk persiapan menjelang Ramadan, kemudian Aidilfitri pula.

Perkahwinan golongan selebriti biasanya meriah dengan penajaan, adakah anda juga terbuka untuk ditaja menjelang majlis perkahwinan nanti?

Saya juga ada menerima penajaan daripada pihak-pihak tertentu seperti lokasi dan pelamin untuk majlis resepsi di Pulau Pinang dan set barangan kemas untuk Nabila.

Berbaki sekitar dua bulan sebelum bergelar suami orang, bagaimanakah perasaan anda dan persediaan dari segi mental serta fizikal?

Tidak dinafikan saya berasa gementar dan sering mengalami masalah untuk tidur malam kerana asyik memikirkan kelancaran majlis. Alhamdulillah saya mendapat sokongan daripada keluarga dan keluarga Nabila sendiri yang banyak memberi semangat dan sering bertanya khabar. Selain itu, saya banyak mendekatkan diri dengan Tuhan dan melakukan solat istikharah.

Bagaimanakah persediaan anda untuk majlis akad nikah dan resepsi?

Sejujurnya banyak perkara yang perlu dilakukan terutama melibatkan soal dokumentasi dan persediaan majlis. Terima kasih juga kepada pihak penaja yang sudi menaja majlis perkahwinan saya. Ia secara tidak langsung telah banyak membantu. Tidak dinafikan banyak perkara perlu dilakukan terutama melibatkan senarai jemputan.

Bolehkah anda kongsikan apakah keistimewaan yang dimiliki oleh Nabila sehingga anda tertarik hati untuk mengambilnya sebagai isteri?

Saya tidak memilihnya tetapi ini semua takdir Allah kerana kami sendiri tidak merancang perkara ini akan berlaku. Bagi saya, jodoh kami telah ditentukan Allah. Personaliti dirinya juga membuatkan saya tertarik dan yakin bahawa dia adalah jodoh saya.

PASANGAN mana yang tidak diuji sepanjang tempoh mengenali hati budi, Sharnaaz dan Nabila tidak terkecuali.

Biarpun muncul pelbagai cerita kurang enak mengenai Sharnaaz, perkara tersebut tidak membataskan Nabila untuk terus mengenali lelaki kelahiran Pulau Pinang itu, sekali gus menerimanya sebagai calon suami.

Awalnya kekok berbicara saat ditemui di Club House, Duta Tropika pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan mereka Isnin lalu, wanita berusia 31 tahun itu bagaimanapun tidak lokek berkongsi cerita mengenai kisah cinta dengan Sharnaaz.

Kakak pelakon popular, Neelofa itu juga mengakui telah bersedia untuk berdepan dengan kehidupan selebriti apabila bergelar isteri kepada Sharnaaz.

KOSMO!: Tahniah Nabila. Boleh kongsikan tarikan yang dimiliki Sharnaaz sehingga anda membuat keputusan untuk menerima lamaran menjadi isterinya?

NABILA: Sharnaaz merupakan seorang yang bertanggungjawab dan hampir memenuhi ciri-ciri lelaki idaman saya. Paling penting saya melihat karakter yang dimiliki ayah saya dalam dirinya. Kualiti yang ada pada dirinya itu meyakinkan saya bahawa dia layak menjadi pembimbing hidup dengan baik.

Berkahwin dengan seorang pelakon, adakah anda telah bersedia berdepan untuk terpalit sama dengan kerenah dunia glamor?

Pada awalnya saya berasa kurang selesa untuk berdepan dengan dunia selebriti apatah lagi untuk mengejar populariti tetapi apabila keputusan telah dibuat, mahu atau tidak saya perlu terima dengan hati terbuka.

Saya juga tidak akan menghalang Sharnaaz untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas berumah tangga kelak. Biarpun begitu, saya berharap Sharnaaz menghormati statusnya sebagai suami orang apabila beraksi bersama pelakon wanita dalam drama atau filem.

Demi menjaga keharmonian rumah tangga, saya harap dia jangan cari pasal (ketawa).

Bolehkah anda ceritakan bagaimana kalian berdua boleh berkenalan seterusnya menjadi pasangan kekasih?

Awalnya saya meminta pertolongan daripada Neelofa untuk diperkenalkan dengan Sharnaaz kerana berpendapat dia seorang yang kacak (ketawa).

Sekitar 2014, ketika sambutan Aidilfitri rasanya, saya mula memberanikan diri menghantar mesej kepadanya untuk berkenalan tetapi malangnya ketika itu dia sombong dan tidak membalas mesej yang dihantar.

Selang setahun kemudian, pada sambutan hari raya juga, saya berasa terkejut kerana Sharnaaz mula bertanyakan tentang saya dan meluahkan hasrat untuk berkenalan.

Bagaimanakah reaksi keluarga apabila mengetahui anda memilih Sharnaaz sebagai suami?

Sejujurnya dalam tempoh berkawan, kehadiran Sharnaaz diterima dengan hati terbuka oleh keluarga. Kesemua ahli keluarga saya rapat dengannya dan saling berhubung antara satu sama lain.

Biarpun pada awalnya Neelofa ada menyatakan kebimbangannya, dia risau saya tidak mampu berdepan gosip dunia seni tetapi setakat ini segalanya masih baik.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 46