HIBURAN

Resolusi Atikah Suhaime

Resolusi Atikah Suhaime

KERJAYA - Biarpun namanya panas dengan kontroversi Atikah masih dihujani tawaran lakonan antaranya filem My Stupid Boss 2.


TAHUN 2017 baru sahaja menguakkan tirainya. Seperti kebanyakan orang lain, pelakon kelahiran Tampines, Singapura, Atikah Suhaime juga menyimpan azam sempena tahun baru. Biarpun namanya cukup hangat diperkatakan pada tahun lalu apabila didakwa sebagai wanita dalam gambar bogel yang tersebar bersama seorang pelakon lelaki, Atikah optimis untuk melupakan semua kisah silam dan bersedia melakar sejarah baharu.

Justeru, Atikah kini hadir dengan penampilan dan imej yang baharu. Dia memotong rambut panjangnya ke paras bahu dan tampil lebih langsing berbanding sebelum ini. Disoal adakah pembaharuan imej baharunya itu seolah-olah ingin membuang ‘bala’ yang menimpanya sepanjang tahun lalu.

Sambil tertawa, pelakon yang popular dengan drama Bila Hati Berbicara itu menjelaskan, menggubah imej adalah cara terbaik untuk melupakan kisah silam dan muncul sebagai Atikah Suhaime yang baharu pada tahun ini.

“Saya bukan hendak buang bala, jika berkata demikian orang akan kecam pula. Namun, ini cara terbaik untuk saya melupakan segala yang berlaku pada tahun lalu, sekali gus memulakan kehidupan 2017 sebagai Atikah Suhaime yang baharu.

“Sebagai manusia, saya hanya ingin menikmati kehidupan dan mengecapi kegembiraan dengan penampilan terbaharu,” katanya ringkas.

Mengakui namanya cukup panas dengan kontroversi pada tahun lalu, Atikah bagaimanapun enggan mengambil pusing kata orang sekeliling, sebaliknya terus mara ke depan untuk membina profil cemerlang sebagai anak seni.

“Pada tahun ini, saya hanya ingin fokus dalam kerjaya dan enggan terlalu fikir apa yang diperkatakan orang. Apa yang lepas biarlah ia berlalu dan saya hanya ingin memandang ke hadapan. Jika boleh saya akan mengelak untuk menjawab soalan berbaur kontroversi, cara itu lebih baik,” ujarnya.

Disoal apa yang dipelajarinya sepanjang episod kelam tahun lalu, sambil menghela nafas panjang, jelas Atikah, dia belajar untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya.

“Saya belajar menjalani kehidupan yang baharu, jangan terlalu bersedih dengan insiden lalu dan bersedia untuk mara ke hadapan walau apa jua cabaran mendatang,” balasnya.

Beralih bicara tentang resolusi tahun baru, Atikah terdiam sebentar memikirkan jawapan yang tepat. Katanya, pada tahun 2017, dia mahu menjadi seorang ikon fesyen dan akan berhati-hati dalam setiap pemilihan pakaian yang akan tersarung di tubuhnya.

“Selain lakonan, saya mahu menjadi seorang ikon fesyen. Berikutan itu, saya akan berhati-hati dalam berpakaian dan berharap dapat menjadi seorang pencetus aliran fesyen,” tegasnya.

Diet

Terdapat perubahan ketara pada wanita berusia 26 tahun itu, selain memiliki rambut pendek, wajahnya semakin cengkung, malah badannya semakin kurus. Tanpa berlengah Atikah memberitahu, tubuh badan yang kurus itu merupakan hasil daripada menjadi seorang pemakan sayuran (vegeterian) secara konsisten sejak empat bulan lalu.

Dedahnya, sejak mengamalkan diet sayuran, berat badannya turun secara mendadak sebanyak lapan kilogram (kg) berbanding berat asal iaitu 56kg. Tidak hanya demi kecantikan, diet baharu itu juga bertujuan untuk menjaga kesihatannya.

Namun, apa yang mengundang tawa ketika sesi temu bual dijalankan, sebab utama Atikah mengamalkan diet sayuran kerana merasakan semua haiwan terlalu comel untuk dimakan.

“Saya sayangkan haiwan dan berasakan semua haiwan seperti ayam dan kambing itu terlalu comel untuk dimakan. Memang kedengaran agak pelik tetapi itulah antara sebab utama saya beralih ke diet sayuran sahaja.

“Walaupun baru sahaja mengamalkan diet berkenaan, saya dapat lihat kesannya terhadap tubuh badan. Antaranya termasuk lebih bertenaga, kurang rasa lapar dan berat badan turun tanpa perlu bersenam dengan teruk.

“Apa yang paling seronok adalah saya boleh makan nasi dengan banyak berbanding sebelum ini apabila terpaksa menyekat kuantiti makanan untuk berdiet,” katanya.

Kongsi Atikah lagi, keputusannya untuk menjadi pemakan sayuran ditentang keras oleh ibunya pada peringkat awal.

“Ibu marah kerana dia masak pelbagai lauk tetapi saya hanya makan sayuran sahaja. Selepas diterangkan inilah cara diet terbaharu saya, barulah ibu faham. Saya sekadar ingin menjaga kesihatan diri sahaja.

“Semuanya terpulang kepada diri masing-masing untuk membuat pilihan. Sebelum ini saya pernah menjalani diet yang ketat, kurangkan nasi tetapi mengambil daging, berat badan sukar untuk turun.

“Selepas membuat kajian, berubah menjadi pemakan sayuran cara terbaik sebab saya tidak boleh hidup tanpa nasi (ketawa). Sekarang saya boleh makan banyak tanpa risau menjadi gemuk,” ujarnya.

Bagaimanapun terang Atikah, dia melakukan perubahan diet secara perlahan-lahan. Bermula dengan mengelak pengambilan ayam, kemudian daging dan terakhir makanan laut, Atikah berazam dia mahu menjadi seorang pemakan sayuran penuh pada tahun 2017.

“Setakat hari ini saya tidak boleh tinggalkan keju dalam diet harian. Daging, ayam dan makanan laut saya dapat tinggalkan. Harapnya saya akan menjadi seorang pemakan sayuran buat selama-lamanya,” kata Atikah.

Kerjaya seni

Sungguhpun kerjaya seninya agak suram pada tahun lalu kerana kontroversi, ia langsung tidak menjejaskan periuk nasinya. Akuinya sehingga hari ini, dia masih menerima banyak tawaran lakonan seperti biasa.

Bagaimanapun, bagi tahun 2017 dia tidak mempunyai perancangan jangka panjang, sebaliknya hanya mengikut aliran rezeki yang ditentukan Allah buat dirinya.

Terbaharu, Atikah sedang menjalani penggambaran drama Seharum Mawar terbitan syarikat produksi JS Pictures, selain akan terbang ke Indonesia kerana terlibat dengan pembikinan filem My Stupid Boss 2.

“Saya tidak akan rancang apa-apa tahun ini kerana lebih yakin dengan rezeki yang diatur Allah. Alhamdulillah tawaran masih banyak seperti biasa, tiada perubahan dari segi kepercayaan orang terhadap saya.

“Paling terdekat selain drama, saya akan ke Indonesia untuk penggambaran filem My Stupid Boss 2. Di Malaysia sambutannya kurang menggalakkan tetapi berbeza di Indonesia. Sambutan filem berkenaan cukup hangat sehingga pihak produksi mengambil keputusan membuat sekuel filem tersebut,” tuturnya.

Sungguhpun tawaran lakonan masih banyak, Atikah mengamalkan sikap memilih karya untuk meningkatkan profil seninya. Pada masa sama, dia cuba mengelak kontroversi.

Dalam pada itu, dia juga mahu mengekalkan gaya hidup yang sihat dan mempunyai masa berkualiti bersama keluarga.

“Saya memang agak memilih watak, jika boleh tidak mahu yang berpakaian seksi keterlaluan dan jika watak antagonis tidak mahu yang menjatuhkan maruah sebagai wanita seperti menjadi seorang pelacur. Saya bercakap atas pilihan diri sendiri, bukan atas kapasiti menyeluruh.

“Sejujurnya, saya juga tidak berebut tawaran. Selepas satu projek saya akan berehat sebelum menyambung projek lain. Saya tidak mahu terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan masa bersama keluarga. Saya banyak belajar sepanjang bergelar anak seni. Keluarga akan tetap ada di sisi, tidak kira waktu susah atau senang,” ujarnya menutup bicara.

Rencana Utama!»

Turun padang kaji punca pencemaran

PASUKAN UTKFAS turut mendapatkan sampel air dari Sungai Semenyih, Selangor untuk dianalisis.

Varia!»

Sikap individu cabar kreativiti ahli pemasaran

SYARIKAT yang mengungguli konsep one to one marketing pasti akan menguasai kelompok pengguna yang semakin individualistik dalam sesuatu pasaran. – Gambar hiasan

Process time in ms: 47