VARIA

Ali kuasai bahasa Melayu dua tahun

Ali kuasai bahasa Melayu dua tahun

ALI (tengah) bergambar kenangan bersama pelajarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.


SENYUMAN manis yang tidak lekang di bibir dan sapaan mesra memberikan rasa tenang tatkala berbicara dengan Prof. Madya Dr. Ali Salman, 51, merupakan salah seorang penerima Anugerah Bitara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Beliau tercalon bagi kategori Akademik (Bukan Warganegara) yang Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Berasal dari Ghana, Ali mula belajar bahasa Melayu ketika bertugas sebagai pensyarah di Kolej Utama Kelantan, Kota Bahru, Kelantan pada tahun 1998. Beliau mengambil masa selama dua tahun untuk menguasainya.

“Bagi saya, bahasa Melayu tidak sukar untuk mempelajarinya berbanding bahasa-bahasa lain. Tambahan pula, rakan-rakan dan orang di sekeliling sangat memberi sokongan.

“Bahasa Melayu juga meminjam beberapa perkataan Arab dan bahasa ibunda saya iaitu Hausa turut menggunakan bahasa al-Quran itu sehinggakan ia memudahkan lagi proses pembelajaran,” kata bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berusia 18 tahun itu.

Ali bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Program Media dan Komunikasi (Khusus Kajian Impak Media Baharu) di UKM sejak tahun 2010 sebaik sahaja menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan pasca kedoktoran di universiti tersebut.


ALI (kanan) ketika menerima Anugerah Bitara Universiti Kebangsaan Malaysia 2016 Bangi, Selangor baru-baru ini.


Tesis

Sepanjang berkhidmat dengan UKM iaitu sebuah universiti yang mendaulatkan bahasa Melayu, beliau terlibat dalam pengajaran yang disampaikan dalam bahasa itu. Begitu juga dengan penyeliaan tesis dan viva pelajar di peringkat prasiswazah dan siswazah.

Di samping itu, beliau turut menghasilkan beberapa jurnal dan buku serta aktif menulis mengenai media baharu di akhbar mahupun majalah dalam bahasa Melayu.

Maka, tidak hairanlah beliau dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Bitara UKM 2016.

Ali mengakui, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih di atas penganugerahan itu.

Menariknya, Ali yang berkahwin dengan wanita tempatan berasal dari Tumpat, Kelantan iaitu Wan Norhayati Wan Hassan, 48, turut fasih bertutur dalam bahasa negeri itu.

“Alhamdulillah, keluarga isteri menerima saya dengan baik dan kami sebenarnya dikenalkan oleh sepupunya yang merupakan kenalan saya ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Saya memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Komunikasi) di UIAM manakala Ijazah Sarjana pula dalam bidang Perpustakaan dan Sains Maklumat di universiti yang sama” tuturnya yang sangat menggemari nasi kerabu.


Nasi kerabu merupakan makanan kegemaran Ali.


Ujar anak sulung daripada lima adik-beradik itu, beliau berhijrah ke Malaysia kerana mahu menyambung pelajaran di peringkat ijazah.

“Pada awalnya, saya belajar di sekolah undang-undang di Ghana tetapi di sana tidak menawarkan pengajian hingga ke peringkat ijazah.

“Lantas, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Malaysia meskipun dalam bidang yang berbeza iaitu komunikasi. Selain minat, prospek kerjaya dalam bidang ini juga sangat luas,” katanya yang gemar melancong dan menulis buku pada masa lapang.

Ketika ditanya mengenai perkara yang disukai di Malaysia, Ali berkata, beliau amat senang dengan sikap masyarakat yang peramah dan menyambut kedatangan orang luar dengan baik.

Selain keramahan orang-orang di sekeliling, sambutan baik keluarga isteri juga menjadikan setiap detik yang dilalui sangat manis.

Bercerita mengenai prinsip hidup, Ali berkata, beliau berpegang kepada tiga perkara utama iaitu usaha, sabar dan doa.

“Sebagai perantau di negara orang, tiga perkara itu sangat penting yang menjadi kunci kejayaan kerana kita perlu menempuh pelbagai dugaan untuk merealisasikan impian terutamanya apabila berjauhan dari kampung halaman,” terangnya yang sudah 25 tahun tinggal di Malaysia.

Ali merancang untuk mendapatkan gelaran Profesor dan pekerjaan yang tetap pada masa hadapan.

Di samping itu, beliau juga ingin menetap di Malaysia dan sedang menunggu keputusan permohonan sebagai penduduk tetap.

Process time in ms: 47