STAILO

Florae by Fissa martabatkan kesenian tempatan

Florae by Fissa martabatkan kesenian tempatan


Busana jenama ini memartabatkan seni kraf, budaya dan tradisi tempatan.


INDUSTRI fesyen tanah air semakin rancak dengan pelbagai rekaan baharu pada setiap hari.

Selari dengan perkembangan fesyen di dalam dan luar negara, jenama Florae by Fissa mengilhamkan rekaan daripada keindahan elemen landskap tempatan.

Florae by Fissa melahirkan rekaan yang praktikal, sesuai dengan gaya hidup urban dan menyasarkan rekaan kepada peminat fesyen yang menghargai serta memartabatkan seni kraf, budaya dan tradisi tempatan.

Menurut pemilik Florae by Fissa, Hafissa Kamaruddin, 35, jenama itu memenuhi cita rasa peminat fesyen oriental dan sopan.

“Koleksi-koleksi Florae by Fissa berkonsepkan gabungan kehalusan unsur seni dan tradisi tempatan dengan pengaruh fesyen global semasa. Ia juga relevan bagi mereka yang gemarkan konsep vintaj.

“Kami mengetengahkan koleksi yang terdiri daripada jaket, blazer, jubah dan skirt dengan cita rasa asli untuk disesuaikan bagi penggayaan ke acara formal mahupun kasual.


Sesuai digayakan ke acara formal atau kasual.


“Penggunaan elemen batik dalam koleksi terbaru kami adalah bertujuan mempopularkan kembali penggunaan batik cap dalam kegiatan harian atau aktiviti santai,” jelasnya.

Nilai estetika

Suatu ketika dahulu, pemakaian batik ketika bekerja adalah kebiasaan, namun hari ini, hanya segelintir masyarakat yang masih memilih untuk menggayakan kain batik dan majoritinya hanya memakainya di rumah.

Sehubungan itu, rekaan Florae by Fissa ini mengangkat kembali martabat batik cap seiring arus fesyen semasa agar ia sesuai digayakan ke pejabat, majlis rasmi atau acara santai hujung minggu. Malah, ia menjadi simbol kebanggaan dan kecintaan generasi urban terhadap nilai estetika serta kesenian generasi terdahulu.

Selain berkonsepkan gabungan vintaj, koleksi ini juga mementingkan ciri kesopanan yang boleh digayakan oleh mereka yang mahu kelihatan sopan mahupun hipster kerana rekaannya praktikal dan sesuai untuk semua peringkat usia.

Potongannya yang structured sesuai digayakan untuk semua jenis bentuk badan bagi memberikan ilusi langsing kepada si pemakai.

Menggunakan material daripada jenis kain kapas natural, rekaan ini sesuai dengan cuaca di negara ini yang panas dan lembap sepanjang tahun.


Antara koleksi yang ditampilkan adalah jaket, blazer, jubah dan skirt.


Selain menyerap peluh dengan baik, material itu juga hanya memerlukan penjagaan yang mudah.

Pemilihan warna untuk koleksi ini pula adalah berdasarkan warna-warna trend semasa yang digabungkan dengan warna unsur ‘tanah’, rona garang dan pastel bagi memenuhi cita rasa umum.

Florae by Fissa turut memperkenalkan blazer, jaket, kimono, kardigan dan skirt labuh daripada material batik cap.

Penggemar rekaan sebegini boleh cuba memadankan ia dengan blaus moden dan celana polos untuk digayakan ke pejabat atau majlis formal.

Ia juga sesuai dipadankan bersama sepasang jean untuk mereka yang ingin kelihatan ranggi pada hujung minggu.

Perkembangan fesyen tempatan yang rancak dengan kemasukan pengaruh jenama mewah antarabangsa, K-Pop dan Harajuku mendorong Hafissa untuk memartabatkan kembali pakaian berunsur tradisi tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Process time in ms: 47