STAILO

Boleh didapati dalam 28 pilihan warna

Boleh didapati dalam 28 pilihan warna



TANGANNYA membelek-belek susunan sarung lengan yang terdapat di atas meja kayu paras pinggang itu. Terdapat banyak jenis dan rekaan yang ditawarkan. Namun yang paling dititikberatkan oleh Nurul Erna Dewi Mohd. Said, 33, ialah fungsi menutup aurat pada lengan kerana kerjayanya sebagai seorang perunding majlis, imej dan personaliti adakalanya memerlukan dia tampil bergaya.

“Banyak pakaian menarik yang terdapat dalam pasaran sekarang.

“Namun, kebanyakan bahagian lengan direka pendek sehingga tidak mampu menutup pergelangan tangan. Bukaannya juga lebar dan mudah terselak sehingga menampakkan lengan,” ujar wanita yang berasal dari Bangi, Selangor ini.

Dia yang mesra dengan panggilan Erna menjelaskan, penggunaan sarung lengan sangat berguna terutama apabila dia memakai pakaian korporat seperti blazer. Bahagian hujung lengan blazer lebih mudah terangkat apabila digerakkan.

Penggayaan jubah berlengan ropol atau kembang juga sangat mudah terselak dan menampakkan lengan membuatkan Erna kurang selesa untuk memakainya tanpa sarung lengan.

“Cuaca Malaysia yang panas dan lembap membuatkan pemilihan fabrik sarung lengan sangat penting untuk tujuan pengudaraan.

“Justeru, saya paling menggemari fabrik likra krep yang kosong dan ringkas. Sifatnya mudah meregang dan kekal sejuk pada lengan walaupun pada hari panas terik,” jelasnya saat ditanya mengenai material kegemarannya. Erna mendapatkan kebanyakan sarung lengan miliknya daripada butik maya secara online yang menyediakan sarung lengan khas untuk wanita berlengan kecil.

“Masalah yang sering saya hadapi ialah kesukaran mendapatkan sarung lengan yang elok terletak kerana lengan saya agak kecil. Jika memakai sarung lengan biasa, saiznya agak besar dan akan melurut ke bawah selepas beberapa jam dipakai,” kata anak kedua daripada lima orang adik-beradik ini.

Menyedari permasalahan yang sering dihadapi oleh kaum Hawa untuk sentiasa tampil anggun walaupun menutup aurat apabila memakai sarung lengan membuatkan Mohd. Azmi Abdullah Sani, 34, terpanggil untuk melahirkan jenama sarung lengan Kulsocs.


Kulcocs menawarkan pelbagai pilihan warna menarik untuk dipilih.


Ilham

Ilhamnya tercetus pada tahun 2013 sewaktu dia dan isteri, Syahida Suhaimi, 31, dalam persiapan untuk ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

“Pada masa itu, isteri cari sarung lengan untuk dipakai sewaktu umrah tetapi tidak banyak corak menarik di pasaran.

“Namun, dia terpaksa membelinya juga kerana tiada pilihan lain,” ujarnya sambil memberitahu, sarung lengan konvensional tersebut kemudiannya disimpan dan tidak lagi digunakan selepas selesai umrah.

Malah, sejak beberapa tahun sebelum itu lagi, jurutera sambilan yang bertindak sebagai pembeli peribadi itu juga sering memerhati rakan-rakan wanita Islam lain yang menghadapi masalah untuk menunaikan solat terutama sewaktu berada di luar negara.

“Sewaktu di luar negara, rakan sekerja wanita sering mengadu sukar untuk menunaikan solat kerana ketiadaan telekung. Maka, penggunaan sarung lengan menjadi alternatif menutup aurat dan membolehkan wanita solat di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan menghadap kiblat,” kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang sering ke luar negara untuk berjumpa pembekal atau pelanggan.

Selepas pulang dari umrah, Mohd. Sani mula membuat penyelidikan dan pembangunan dengan mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang aksesori kabel untuk diterapkan dalam mereka sarung lengan yang baik.

Jelasnya, sarung lengan yang bagus perlu dilengkapi dengan ciri keselesaan maksimum dan tidak membataskan pergerakan otot lengan.

“Hasil kajian mendapati, hujung sarung lengan tidak sesuai diletakkan pada bahagian awal tendon kerana berlaku pengembangan otot di situ.

“Apabila terlalu ketat dan mencengkam, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada si pemakai,” tuturnya sambil memberitahu jenis dan lebar getah juga antara faktor penyumbang keselesaan.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada tahun 2015, Kulsocs menjadi pilihan sarung tangan ramai wanita termasuk golongan selebriti seperti Nora Danish, Mizz Nina, Irma Hasmie dan Raja Farah.

Malah, Kulsocs juga menjadi sarung lengan rasmi untuk beberapa rancangan televisyen dan acara Twins of Faith yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada tahun lepas.

Kulsocs didatangkan dalam dua pilihan saiz yang berbeza kepanjangan. Sarung lengan jenis polos, denim dan bercorak merupakan sarung lengan panjang melebihi lipatan siku manakala jenis berkilat pula direka dengan kepanjangan di bawah paras siku.


SELEBRITI Irma Hasmie antara pengguna sarung lengan Kulsocs.


“Wanita yang inginkan penggayaan sarung lengan yang lebih glamor sewaktu majlis keraian tetapi tidak mahu kelihatan keterlaluan bolehlah memilih jenis berkilau.

“Terdapat 14 warna menarik yang boleh dipilih,” ujar Syahida sambil menunjukkan pada rak berputar Kulsocs yang terdapat di Butik Arahah Hijab, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor yang juga merupakan pengedar sarung lengan Kulsocs.

Selain itu, pilihan sarung lengan polos merupakan jenis yang paling digemari kerana ia mudah dipadankan dengan pakaian. Daripada 28 pilihan warna, antara yang mendapat permintaan tinggi ialah rona tanah seperti hitam, coklat, kelabu, putih serta beberapa tona pastel.

Sementara itu, jenis denim pula hadir dengan variasi lapan warna yang menawarkan keselesaan fabrik denim lembut mudah regang dan sesuai dipadankan bersama pakaian riadah untuk gaya lebih kasual.

Sarung lengan jenis bercorak pula menawarkan 35 pilihan paten menarik daripada fabrik likra berkualiti tinggi.

“Kebanyakan pengguna tempatan gemarkan warna-warna selamat yang lebih mudah dipadankan dengan semua jenis pakaian manakala pengguna luar negara seperti Indonesia, Singapura, Eropah, Afrika dan Australia lebih gemarkan warna terang dan menyerlah,” jelas Syahida.

Menariknya, Mohd. Sani menambah pelanggan juga boleh menempah sarung lengan Kulsocs secara online sekiranya jenis yang diingini tidak terdapat di butik pengedar.

Pelanggan boleh mengimbas kod QR yang terdapat pada banting Kulsocs di semua 30 cawangan pengedar seluruh negara bagi menyemak katalog dan membuat tempahan terus.

Penghantaran akan dilakukan secara terus oleh kilang atau pelanggan boleh mengambilnya di butik berkenaan.

Bayaran juga boleh dibuat terus di kaunter bayaran butik atau melalui perbankan internet.

Process time in ms: 46