RENCANA UTAMA

Citah diancam kepupusan

Citah diancam kepupusan


Hanya terdapat kira-kira 7,100 ekor citah di seluruh dunia kerana ancaman kepupusan.


Meskipun sedang berehat di bawah pohon yang rendang, citah yang diberi nama Heathcliff itu masih mampu merembeskan aura menggerunkan kepada sesiapa yang memandang.

Ironinya, keupayaan citah berumur tujuh tahun itu terbatas di sebalik pagar besi.

Heathcliff akan meneruskan kehidupan dengan sihat dan dikagumi ramai, namun tidak mungkin berpeluang untuk hidup bebas dalam habitat liar semula jadi buat selama-lamanya.

Mungkin itu sahajalah cara untuk mengekalkan populasi haiwan tersebut bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

Satu kaji selidik yang dikeluarkan pada minggu lalu mendedahkan, terdapat hanya 7,100 ekor citah dewasa di dalam hutan.

Spesies itu kini diancam risiko kepupusan yang besar tanpa gesaan pelaksanaan perlindungan yang efektif.

Pusat Perlindungan Citah De Wildt yang terletak di pinggir bandar Pretoria, Afrika Selatan kini menempatkan kira-kira 100 ekor citah.

Haiwan itu diletakkan dalam satu kandang besar yang direka landskap dengan pokok-pokok rendang dan semak agar kelihatan seperti habitat asal di hutan.

Spesies haiwan darat terpantas itu kini mengalami masalah kehilangan habitat semula jadi yang sangat kritikal. Atas faktor yang sama, populasi citah merosot secara mendadak sebanyak 100,000 ekor dalam tempoh 100 tahun.

Populasi berkurangan

Kajian yang dikeluarkan itu juga mendapati, citah kehilangan lebih 90 peratus daripada habitat semula jadi mereka kerana populasi manusia yang semakin bertambah.

Mereka juga terdedah kepada ancaman global daripada manusia seperti ditembak oleh penternak bagi melindungi binatang ternakan dan terperangkap dalam jerat untuk menangkap rusa atau haiwan makanan lain.

Selain itu, anak citah turut menjadi mangsa penyeludupan haram yang dijual kepada Negara-Negara Teluk sebagai haiwan peliharaan eksotik.

Pakar pendidikan pemuliharaan haiwan di Pusat Perlindungan Citah De Wildt, Rita Groenewald menzahirkan keprihatinannya terhadap permasalahan itu.

“Orang ramai seakan-akan terlupa bahawa spesies citah juga diancam masalah kepupusan yang serius. Penyusutan bilangan haiwan yang drastik itu juga sangat membimbangkan.

“Laporan itu secara tidak langsung menggambarkan kesan buruk yang akan berlaku terhadap populasi haiwan tersebut pada masa hadapan sekiranya ia tidak dibendung segera.


HABITAT semula jadi yang semakin terancam menyebabkan populasi citah kian merosot.


“Kita perlu memberi kesedaran dan pendidikan sewajarnya terhadap pelajar sekolah, persatuan memburu dan masyarakat secara umum. Jika dibiarkan, tidak mustahil populasi haiwan liar ini akan lenyap,” jelasnya.

Citah sukar untuk membiasakan diri di kawasan perlindungan seperti rizab hidupan liar kerana fitrah mereka terbiasa dengan kawasan luas yang bebas untuk berlari dan memburu mangsa.

Kawasan rizab hidupan liar juga akan menyebabkan mereka kekurangan sumber makanan kerana bilangan mangsa yang terhad manakala anak citah sering menjadi sasaran pemangsa lain seperti helang, singa dan dubuk.

Dapatan kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Amerika Syarikat betajuk Prosiding Akademi Sains Kebangsaan itu turut menjelaskan secara terperinci bagaimana kebanyakan citah hidup di luar kawasan perlindungan.

“Kami perlu membangunkan program perlindungan khas supaya citah boleh membiasakan diri dengan kehadiran manusia.

“Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dan kami berharap ia akan berjaya,” ujar penulis bersama laporan dan salah seorang aktivis pelindung citah terkemuka dunia, Laurie Marker berkaitan kajian yang berpusat di Namibia itu.

Marker juga mencadangkan kaedah pengurusan binatang ternakan yang lebih baik bagi mengurangkan kegiatan pembunuhan citah oleh penternak di Namibia.

Anjing penggembala

Antaranya, dia menyarankan ialah penggunaan khidmat anjing penggembala baka Anatolia untuk ditempatkan bersama dengan binatang ternakan bagi mengawasi mereka daripada menjadi mangsa buruan citah.

Kebiasaannya, citah tidak akan menceroboh kawasan yang dijaga anjing Anatolia yang garang, justeru mereka akan kembali memburu di sebalik semak.

Bagi Marker yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk mendalami biologi citah, dia tidak dapat membayangkan sekiranya spesies haiwan itu akan pupus suatu hari nanti.

“Mereka (citah) merupakan definisi kelajuan dan keanggunan spesies binatang. Mereka cantik, istimewa dan jenis kucing yang sangat unik,” ujarnya.

Daripada keseluruhan jumlah citah di dunia, kesemua mereka terdapat di benua Afrika iaitu merangkumi negara Namibia, Bostwana, Angola, Zimbabwe, Afrika Selatan dan Mozambique manakala jumlah minoriti kurang daripada 50 ekor terdapat di Iran.

Sementara itu, antara statistik mengejutkan yang dibuat oleh Persatuan Zoologi dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar London, England ialah kemerosotan bilangan citah di Zimbabwe sebanyak 85 peratus dalam tempoh 16 tahun.

Dianggarkan, bilangan citah yang berbaki di Zimbabwe kini sebanyak 160 ekor. – AFP

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 31