RENCANA UTAMA

Bimbingan lebih baik daripada kecaman

Bimbingan lebih baik daripada kecaman


BERKUDA, berenang dan memanah merupakan aktiviti yang dianjurkan dalam Islam. – Gambar hiasan


KEINGINAN untuk melakukan aktiviti yang mencabar diri mendapat tempat dalam hati segelintir anak muda di negara ini sehinggakan menjadi tular di media sosial.

Tahun 2017 membuka tirai dengan aksi berani lapan individu melakukan aktiviti berbahaya memanjat mercu tanda huruf ‘Ipoh’ yang berketinggian lebih 20 meter di Jalan Kuala Kangsar, Perak pada 2 Januari lalu tanpa sebarang peralatan keselamatan.

Lebih memeranjatkan lagi apabila pada 3 Januari lalu, seorang remaja turut melakukan aksi ngeri dengan memanjat kren setinggi kira-kira 30 meter di tapak pembinaan sebuah bangunan berhampiran Majlis Bandaraya Ipoh.

Bagaikan tiada berkesudahan, pada 7 Januari lalu, tersebar pula video dua remaja lelaki yang melakukan aksi berbahaya dengan bergayut pada menara komunikasi dipercayai di Bukit Cendering, Kuala Terengganu, Terengganu.

Dua lelaki yang dipercayai berusia 20-an itu didapati menceroboh kawasan menara komunikasi tersebut.

Psikososial

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Aizan Sofia Amin, berkata, perkara itu didorong oleh beberapa faktor seperti diri sendiri, pengaruh rakan-rakan dan media sosial.

“Keinginan untuk melakukan sesuatu yang dianggap menyeronokkan dan mengujakan itu merupakan fasa perkembangan psikososial bagi seseorang remaja.

“Perkara itu turut diterangkan dalam teori perkembangan psikososial yang diperkenalkan oleh Erik Erikson yang menyatakan pada usia remaja, mereka sedang mencari identiti diri dan bereksperimen dengan pelbagai peranan serta pengalaman.

“Remaja cuba membentuk identiti diri dengan melakukan pelbagai aktiviti atau peranan dalam masyarakat.

“Dalam proses pencarian identiti ini, remaja mudah dipengaruhi oleh keinginan diri sendiri, rakan-rakan dan media sosial untuk mencuba sesuatu yang baharu serta mengujakan” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


Aspek keselamatan sangat penting ketika melakukan aktiviti lasak. – Gambar hiasan


Tambah Aizan Sofia, perasaan seperti itu adalah lumrah dan perlu ditangani dengan baik.

Sekiranya remaja gagal untuk membina identiti yang positif, mungkin berlaku kekeliruan identiti dalam diri mereka sehingga membawa kepada perlakuan yang bermasalah dan membahayakan diri sendiri.

Ujarnya lagi, remaja juga mungkin mempunyai keinginan dan kerujaan tinggi untuk berkongsi dengan masyarakat perkara yang mereka anggap hebat terutamanya kemunculan media sosial membuka ruang ke arah itu.

Sehubungan itu, ibu bapa dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan untuk mencegah perbuatan-perbuatan bahaya tanpa kelulusan pihak berwajib terutamanya tidak mengutamakan keselamatan diri.

Sementara itu, Pendakwah Bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek memberitahu, sudah menjadi lumrah remaja untuk melakukan aksi-aksi seperti itu dan mereka perlu dibimbing dan bukannya dikecam.

“Keberanian mereka perlu dipuji dan ada antara remaja itu terlatih dalam melakukan aksi-aksi berbahaya tetapi aspek keselamatan serta undang-undang perlu diambil kira sebelum melakukannya.

Platform

“Remaja ada semangat dan tenaga, malah sifat mereka juga lebih cenderung untuk mencuba sesuatu yang baharu sehingga ingin membuktikan keberanian dengan melakukan aktiviti seperti itu terutamanya jika dicabar oleh rakan-rakan,” jelasnya.

Justeru itu, sikap semula jadi itu perlu dikawal dengan menyediakan platform untuk melakukan aktiviti lasak yang lebih selamat serta memberi panduan bagi melakukannya.

Jika dahulu, kita dapat lihat ramai yang menjadi pelesit rempit tetapi kini semakin berkurangan kerana sudah dibina litar untuk mereka berlumba.

Menghalang mereka bukan jalan penyelesaian terbaik kerana ia boleh mencetuskan pemberontakan jiwa. Pada usia seperti itu, mereka tidak suka disekat dan inginkan kebebasan.

Islam tidak menghalang sesuatu aktiviti dilakukan asalkan ia mendapat latihan dan ilmu mencukupi serta diberi panduan.

Ia jelas dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW iaitu latihlah anak kamu berkuda, berenang dan memanah.

Tutur Mohamed Hanafiah, berkuda, berenang dan memanah tergolong dalam aktiviti yang berbahaya tetapi ia digalakkan dalam Islam selagi mereka mendapat latihan yang mencukupi.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 32