VARIA

Potensi industri herba di Malaysia

Potensi industri herba di Malaysia


Antara produk yang dihasil menggunakan tumbuhan herba.


INDUSTRI herba dikenal pasti sebagai industri yang berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Penggunaan herba kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang peka terhadap penjagaan kesihatan dan penggunaan produk semula jadi yang mempunyai nilai terapeutik.

Herba mempunyai kegunaan yang meluas, terutamanya penghasilan produk bernilai tinggi dalam industri makanan dan minuman kesihatan, farmaseutikal, ubatan tradisional, penjagaan kesihatan, perisa, pewarna dan pewangi serta untuk pengeluaran minyak pati (essential oil) bagi kegunaan kosmetik dan perubatan.

Dalam tempoh Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2010 - 2020, jumlah pengeluaran bagi herba dijangka meningkat daripada 17,000 tan metrik kepada 73,000 tan metrik dengan kadar pertumbuhan 15.4 peratus setahun.

Jumlah eksport herba yang meliputi produk terproses pula dijangka meningkat daripada RM152 juta kepada RM1.3 bilion dalam tempoh yang sama.

Keluasan tanaman herba diunjur meningkat sebanyak 15 peratus setahun iaitu daripada 1,000 hektar pada 2010 kepada 4,000 hektar pada 2020.

Melihat kepada potensi herba ini, kerajaan meletakkan herba di bawah salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi dalam Projek Keutamaan Permulaan (EPP) 1 iaitu menghasilkan produk-produk herba bernilai tinggi seperti nutraseutikal dan botanical drug.

EPP 1 yang berperanan memajukan industri herba negara adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan dibantu oleh kementerian, jabatan, agensi dan institut lain yang terlibat seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Khazanah Nasional.

Matlamat utama di bawah EPP 1 adalah menyasarkan sebanyak RM2.2 bilion menjelang tahun 2020 Pendapatan Kasar Negara (PKN) dan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan melalui pertumbuhan industri herba.

Dalam NKEA Pertanian, EPP 1 berperanan untuk membangunkan monograf bagi kegunaan rujukan bahan penerbitan penting mengenai kualiti herba yang terdapat di negara.

Ia juga membangunkan ladang kontrak herba kepada petani untuk menggalakkan penanaman pokok herba, penubuhan taman herba bagi penanaman bahan mentah herba secara komersial oleh Majlis Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Pasir Raja, Chegar Perah, Durian Mentangau dan Rantau Manis.

Bukti saintifik

Selain itu, ia turut membangunkan penyelidikan dan pembangunan herba dengan meningkatkan penyelidikan serta kajian bagi mengukuhkan bukti saintifik kepada produk herba dan penambahbaikan makmal berstatus Good Laboratory Practice (GLP).


Penggunaan herba semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.


Jenis-jenis herba yang diberi keutamaan di bawah EPP 1 adalah tongkat ali, kacip fatimah, dukong anak, misai kucing, hempedu bumi dan tiga belas (13).

Lain-lain herba yang berpotensi disenaraikan di bawah EPP 1 ialah mengkudu, roselle, halia, mas cotek, belalai gajah, pegaga, sambung nyawa, lempoyang, kaduk, senduduk putih, gelenggang, merungai dan peria katak.

Pelbagai penyelidikan dan kajian telah dijalankan oleh Institusi Penyelidikan dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi mengenal pasti bahan aktif di dalam tanaman herba yang boleh digunakan sebagai alternatif bagi mengawal atau mengubati penyakit kronik.

Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar produk herba utama di Asia kerana hutan hujan tropika menempatkan lebih 12,000 spesies tumbuhan iaitu 2,000 spesies dilaporkan mengandungi nilai perubatan.

Dasar Pertanian Negara Ketiga, Dasar Biodiversiti, Dasar Kebangsaan Perubatan Tradisional dan Komplementari dan Dasar Bioteknologi diperkenalkan untuk menyokong industri herba di Malaysia.

Industri herba di Malaysia dijangka terus berkembang dan maju selari dengan peningkatan kesedaran masyarakat untuk meningkatkan kesihatan diri dan alternatif bagi rawatan kepada banyak penyakit kronik yang sukar disembuhkan oleh ubat konvensional.

Produk tradisional berasaskan herba ini semakin diterima dan diyakini ramai.

Pengeluar sedia ada dalam industri ini sepatutnya mengambil peluang dengan menerokai kebaikan dan kegunaan lain daripada tanaman herba yang masih belum diketahui.

Antara peluang perniagaan daripada industri ini ialah sebagai pengedar produk herba, nutraseutikal daripada herba lain dan pelaburan langsung asing untuk herba-herba tropika.

Melalui program EPP1 juga, promosi dan pasaran pada peringkat antarabangsa turut dijalankan dengan membawa beberapa usahawan ke pameran-pameran yang diadakan di luar negara, antaranya Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Emiriyah Arab Bersatu untuk memperkenalkan produk keluaran Malaysia pada peringkat global.

Pelbagai usaha dijalankan untuk mendapatkan pengedar asing dengan rangkaian pengedaran yang besar dalam pasaran strategik seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah atau China juga akan dikaji.

Ini adalah untuk membantu penembusan pasaran luar negara bagi produk herba Malaysia.

Produk herba bukan sahaja memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara tetapi menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan baharu.

Perkembangan industri herba ini akan mengukuhkan sektor pembuatan negara dalam produk berkaitan kesihatan dan pelancongan sekiranya bijak menggunakan peluang yang disediakan.

Pasaran bagi produk berasaskan herba mempunyai potensi dan masa depan yang cerah serta mampu menyumbang ke arah sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 62