VARIA

Nando’s sedia ruang pelukis berkarya

Nando’s sedia ruang pelukis berkarya

Antara koleksi karya peserta yang menyertai pertandingan.


DUNIA seni semakin rancak berkembang di negara ini selepas banyak syarikat swasta mengambil inisiatif untuk menganjurkan pameran seni.

Situasi itu membuka ruang kepada para pelukis tanah air untuk mempamerkan hasil-hasil karya terbaharu mereka.

Syarikat penyedia makanan, Nando’s Malaysia antara syarikat swasta yang giat menganjur dan mempromosikan hasil seni tempatan.

Syarikat itu mengadakan satu pertandingan Nando’s Art Initiative (NAI) 2016 yang memberi peluang kepada bakat-bakat muda dalam bidang seni untuk mengetengahkan hasil karya mereka.

NAI 2016 menjadi satu acara tahunan sejak diperkenalkan pada 2008, sekali gus platform untuk mencungkil kreativiti bakat-bakat muda dalam industri seni lukis negara.

Pada pertandingan itu, sebanyak 931 penyertaan diterima yang melibatkan lebih 60 buah kolej dan universiti yang terbahagi kepada dua kategori iaitu seni halus dan seni digital.

Beberapa hasil karya terpilih dipertontonkan pada pameran NAI 2016 yang diadakan di The Boulevard, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Chickenland Nando’s Malaysia dan Singapura, Mac Chung Lynn berkata, NIA 2016 memberi ruang kepada artis seni berbakat tanah air untuk terus berkarya.

“Kami amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada cerita mereka dan pertandingan ini merupakan satu platform dalam memupuk serta menyokong pertumbuhan seni negara.

Cabaran

“Tema penganjuran kali ini yang berjudul Seni Anda Cerita Anda pasti memberi suatu cabaran kepada artis muda, namun mereka masih mampu untuk menghasilkan karya-karya yang memberikan inspirasi,” katanya.


NOR HIDAYAH menjadi pemenang utama bagi kategori seni halus


Pada pertandingan itu, Siti Nor Hidayah Mohamad Mokhtar menjadi pemenang utama bagi kategori seni halus dengan karya yang bertajuk Drama Tragedi, manakala Yau Boon Han diangkat sebagai pemenang bagi kategori seni digital dengan karya berjudul Jungle Boy.

Siti Nor Hidayah berkata, karya Drama Tragedi yang dihasilkan itu adalah inspirasi daripada teater drama tragedi zaman Yunani kuno dengan suntikan gaya kontemporari yang diilhamkan oleh persekitaran kehidupannya sendiri.

“Saya menggunakan medium seramik dengan teknik titik-titik atau glaze di atas terracotta dan panel jubin agar ia kelihatan seperti kaum Hawa pada Zaman Pertengahan.

“Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyiapkan hasil karya ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, hasil karya berjudul Saudagar Senja yang dihasilkan oleh Muhammad Suhaimi Ali yang juga merupakan mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor turut berjaya menarik perhatian.

Menurut Suhaimi, karya yang dihasil itu adalah berkisahkan tentang sebuah kampung di Seberang Takir Kuala Terengganu, Terengganu.

“Perkampungan itu terkenal dengan aktiviti bot penambang pada suatu ketika dahulu. Namun, sekarang perkhidmatan itu semakin hambar.

“Saya ingin merakam kenangan bot penambang ini dalam karya yang dihasilkan. Saya memberi tajuk Saudagar Senja kerana mengikut kata orang-orang tua dahulu, barang sesiapa yang memiliki bot dikira orang kaya atau saudagar, manakala senja pula melambangkan aktiviti yang semakin sampai ke penghujungnya,” jelasnya.

Process time in ms: 47