RENCANA UTAMA

Polemik penjagaan kesihatan di Nepal

Polemik penjagaan kesihatan di Nepal


WALAUPUN Nepal melakukan penambahbaikan di klinik dan hospital kerajaan, penjagaan kesihatan kekal terhad dan mahal.


SEORANG lelaki warga emas dilihat sedang berbaring di atas katil sebuah hospital di Kathmandu, Nepal. Dr. Govinda KC, 60, bukan seorang pesakit tetapi pakar ortopedik yang menghabiskan masa selama 22 hari berbaring di katil itu sedang melakukan mogok lapar.

Hanya mahu dikenali sebagai Dr. KC, dia menyertai mogok lapar sebanyak 10 kali sepanjang empat tahun lalu dalam usaha untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi meningkatkan penjagaan kesihatan di negara miskin di Banjaran Himalaya itu.

“Hospital dan institusi perubatan tidak mempunyai infrastruktur yang baik. Selain itu, mereka juga tiada tenaga kerja dan peralatan yang mencukupi,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Nepal adalah sebuah negara yang mempunyai 28 juta orang penduduk tetapi hanya memiliki tujuh orang doktor, jururawat dan bidan. Malah, hanya 50 katil hospital dibekalkan bagi setiap 10,000 orang.

WHO mencadangkan sekurang-kurangnya seramai 34.5 profesional penjagaan kesihatan mahir bagi setiap 10,000 orang.

Bayaran

Namun, sektor kesihatan terhad itu semakin buruk selepas gempa bumi berlaku pada tahun 2015, sekali gus merosakkan hampir satu pertiga daripada klinik awam dan hospital.

Lebih 80 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan luar bandar, bergantung pada klinik asas yang dikendalikan oleh kerajaan, manakala hospital pula tertumpu di bandar-bandar serta kebanyakannya adalah swasta.

“Penjagaan kesihatan swasta selalu dikaitkan dengan bayaran bil yang tinggi dan mahal. Malah, lebih ramai orang jatuh miskin akibat penjagaan kesihatan,” kata Pengarah WHO, Jos Vandelaer yang berpangkalan di Nepal.

Menurut Menteri Kesihatan, Gagan Thapa, walaupun Nepal membuat penambahbaikan bagi mengurangkan angka kematian kanak-kanak dan ibu ketika bersalin, penjagaan kesihatan kekal terhad dan mahal.

“Anda hanya mempunyai satu penyakit iaitu hati tetapi selepas pulih, anda akan kembali ke kancah kemiskinan,” ujarnya.

Dr. KC cukup terkenal dengan kaedah perubatan Robin Hood yang aplikasikan.

Dia melakukan kerja-kerja amal dan merantau ke beberapa komuniti paling jauh dalam negara itu untuk menyediakan rawatan perubatan serta melatih pekerja kesihatan tempatan.

Dia yang tinggal di kuarters doktor di belakang hospital menggunakan kurang satu pertiga daripada gajinya untuk diri sendiri.

Sebahagian besar daripada gaji itu digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan peralatan asas di kliniknya.

Malah, peralatan mewah yang dimiliki hanya televisyen yang berusia 20 tahun.


DR. KC melancarkan mogok lapar untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi meningkatkan penjagaan kesihatan di Nepal.


Sebelum ini, Dr. KC mengembara seorang diri semata-mata untuk membantu pesakit dan mangsa dalam zon bencana di seluruh dunia dengan menawarkan perkhidmatan kepada hospital tempatan seperti di Haiti berikutan gempa bumi 2010 dan Filipina selepas taufan Haiyan.

Nepal dibelenggu ketidakstabilan politik ekoran peralihan kuasa daripada sebuah negara raja Hindu ke sebuah negara persekutuan pada tahun 2008, dua tahun selepas berakhirnya peristiwa berdarah pemberontakan Maoist yang berlarutan selama sedekad.

Kemelut politik itu menyebabkan persaingan antara parti kerana masing-masing mahu mengekalkan pengaruh mereka dengan menyusun pengikut setia dalam struktur birokrasi termasuk sektor kesihatan.

Ahli politik

Satu perlembagaan baharu telah dipersetujui tahun lalu termasuk ikrar untuk penjagaan kesihatan yang universal, namun piagam itu masih belum dilaksanakan.

Hospital swasta dan kolej perubatan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh sektor kesihatan kendalian kerajaan yang terhad tetapi ia sering dimiliki oleh parti politik yang mempunyai kepentingan.

“Ia sepatutnya menjadi sektor berorientasikan perkhidmatan, namun bertukar menjadi sebuah sektor keuntungan bagi parti-parti politik,” kata Dr. KC.

Antara permintaan Dr. KC adalah menghentikan campur tangan politik yang meletakkan kepentingan perniagaan berbanding membangunkan perkhidmatan kesihatan awam.

Latihan-latihan yang dikuasai oleh sekolah perubatan menimbulkan perbalahan kerana bayaran yang dikenakan terlalu tinggi. Selain itu, kekurangan kemudahan asas dan pendaftaran pelajar yang terlalu ramai setiap tahun memburukkan lagi keadaan.

“Tidak ada pengkomersialan sektor pendidikan perubatan di negara-negara maju berbanding di negara ini,” ujar Dr. KC, yang menuntut di Bangladesh dengan residensi Britain dan Switzerland.

Jelas Thapa lagi, sekurang-kurangnya enam anggota ahli Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan disekat kelulusannya bagi mengawal selia latihan doktor yang mempunyai kaitan dengan kolej perubatan swasta.

Penggubalan Rang Undang-Undang antara tuntutan utama yang dikemukakan Dr. KC dalam mogok lapar terbaharu itu.

Namun, mogok lapar itu dihentikan pada awal bulan Disember tahun lalu selepas dia mencapai persetujuan dengan kerajaan.

Namun, dia dan para penyokongnya berasa kurang keyakinan dengan perubahan yang bakal berlaku.

“Ini ialah kali ke-10 Dr. KC melakukan mogok lapar. Ini bermakna, sembilan kali perjanjian itu telah diingkari,” kata Dr. Lijan Maharjan yang merupakan sebahagian daripada pasukan rundingan itu. – AFP

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 46