RENCANA UTAMA

Pastikan kesahihan syarikat sebelum melabur

Pastikan kesahihan syarikat sebelum melabur


Individu yang berasa seperti ditipu perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan undang-undang boleh diambil. – Gambar hiasan


SEPERTI mana yang dipaparkan di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini, ramai masyarakat di negara yang bertuah ini menjadi mangsa skim pelaburan cepat kaya.

Jika dihitung nilai keseluruhan penipuan yang dilakukan oleh sindiket itu, ia bukan sedikit tetapi ada yang mencecah sehingga jutaan ringgit.

Lebih menghairankan lagi, mangsa penipuan ini bukan sahaja melibatkan golongan biasa tetapi individu berpendidikan tinggi turut menjadi mangsa.

Pelbagai modus operandi digunakan oleh sindiket ini antaranya seperti pelaburan emas, saham dan mata wang yang menjanjikan pulangan pelaburan yang banyak dalam tempoh singkat.

Dengan hanya bermodalkan kereta mewah untuk menunjukkan lambang kekayaan, sindiket pelaburan atau skim cepat kaya itu cukup mudah menarik perhatian orang ramai.

Pakar Sosial Universiti Selangor (Unisel), Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi berkata, sikap tamak masyarakat yang mahu mendapatkan keuntungan dengan cara cepat dan mudah menjadi faktor utama berlakunya masalah ini.

Menurutnya, kebanyakan individu yang menjadi mangsa sindiket ini adalah kerana tidak memeriksa kesahihan mengenai syarikat skim cepat kaya atau pelaburan itu terlebih dahulu sama ada mereka menjalankan perniagaan yang sah dari aspek undang-undang atau sebaliknya.

“Masyarakat kita seharusnya bijak dan rasional untuk menilai tawaran keuntungan dijanjikan oleh syarikat-syarikat yang menjalankan skim ini.

“Buat semakan dengan pihak berwajib dan golongan profesional terlebih dahulu mengenai skim pelaburan yang ditawarkan itu bagi memastikan sama ada ia suatu penipuan atau sebaliknya,” jelasnya.

Tambahnya, masyarakat juga harus berhati-hati kerana mereka yang menipu ini akan menunjukkan kemewahan sebagai satu cara untuk menarik perhatian dan meyakinkan para pelabur bagi menyertai skim mereka.

Penampilan luaran

Zaidi berkata, bagi mengaburi mata pelanggan, sindiket ini menggunakan kemewahan sebagai satu prestij untuk menunjukkan bahawa mereka berjaya meraih pulangan pelaburan yang tinggi melalui skim tersebut.

“Jangan sesekali kita tertipu dengan penampilan luaran mereka kerana kemewahan yang ditunjukkan itu belum pasti milik mereka,” katanya.

Jelas Zaidi lagi, untuk mengatasi masalah ini, satu sistem yang telus perlu ada bagi memudahkan individu yang ingin membuat pelaburan melakukan semakan tentang kesahihan skim yang ditawarkan itu.

“Mungkin pemain industri ini boleh membangunkan satu sistem secara online yang memudahkan masyarakat kita membuat semakan sama ada syarikat yang menawarkan skim pelaburan ini mendapat kelulusan pihak yang berkaitan atau tidak.

“Bagi mereka yang berasa seperti ditipu oleh sindiket itu, jangan malu dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan undang-undang boleh diambil bagi menggelakkan daripada lebih ramai lagi menjadi mangsa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada 5 Januari lalu, Kosmo! melaporkan, pasangan suami isteri berusia 33 dan 30 tahun dari Pokok Sena, Kedah didakwa memperdaya tiga mangsa untuk menyertai skim pelaburan jual beli kenderaan dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM11,300.


Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi oleh sindiket pelaburan skim cepat kaya. – Gambar hiasan


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pasangan suami isteri itu hanya bermodalkan air liur untuk memerangkap mangsa dengan menjanjikan keuntungan daripada perniagaan jual beli kenderaan.

Selang sehari kemudian Kosmo! turut melaporkan, empat ahli perniagaan termasuk seorang individu bergelar Datuk berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM3 juta selepas dipercayai ditipu oleh seorang broker saham yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pelaburan saham sejak Disember 2015.

Seorang mangsa mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM1.23 juta dan hanya menyedari dia ditipu selepas pemeriksaan mendapati tiada pelaburan saham direkodkan melalui syarikat yang dilaburkan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pengguna yang menjadi mangsa skim cepat kaya itu.

Menurutnya, sindiket ini menggunakan beberapa kaedah tertentu bagi menarik lebih ramai pelabur.

“Ada antara sindiket ini menjanjikan pulangan yang tinggi dalam tempoh singkat. Mangsa juga mendakwa, dengan pelaburan sebanyak RM10,000, mereka akan mendapat keuntungan bulanan berjumlah RM1,000 sebulan.

Menghilangkan diri

“Bagi tiga bulan pertama, sindiket ini akan membayar keuntungan itu kepada pelabur. Pelabur yang yakin kemudian akan mencari kawan dan saudara-mara untuk menyertai skim itu sebelum mereka menghilangkan diri apabila mencapai sejumlah tertentu seperti yang disasarkan,” katanya.

Tambah Nadzim, pihaknya sering menerima aduan mengenai penipuan dalam bentuk pelaburan hartanah, emas dan tukaran mata wang.

Jelasnya, pengguna di Malaysia perlu mengamalkan sikap prihatin dan jangan sesekali melabur tanpa memeriksa kesahihan syarikat yang menjalankan aktiviti pelaburan.

“Berdasarkan aduan yang diterima, kami mendapati kebanyakan mangsa langsung tidak mendapatkan khidmat nasihat sebelum menyertai sesuatu bentuk pelaburan.

“Kami di PPIM sedia memberikan khidmat nasihat dan melakukan pengesahan tentang syarikat pelaburan

yang hendak disertai oleh pengguna untuk melihat sama ada ia sah ataupun telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 47