RENCANA UTAMA

Kejayaan bukan hanya pada akademik

Kejayaan bukan hanya pada akademik



“SAYA sedikit kecewa kerana keputusan peperiksaan yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan.

“Walau bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini kerana telah mencuba sehabis baik,” ujar Aliff Zahidi Azmi, 15.

Aliff Zahidi merupakan antara calon yang baru sahaja menerima keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan baru-baru ini.

Jelasnya, dia sedikit terkilan kerana tidak dapat menghadiahkan keputusan yang cemerlang buat kedua ibu bapanya.

“Saya hanya memperoleh 3A sahaja untuk PT3 ini. Namun, saya bersyukur kerana kedua ibu bapa saya memahami dan mereka berpuas hati dengan keputusan ini.

“Mereka tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana saya telah belajar bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Tambah Aliff Zahidi, berdepan dengan peperiksaan sebesar ini bukan sesuatu yang mudah, terutamanya untuk mendapatkan keputusan keseluruhan A dalam semua mata pelajaran.

Seperti Aliff Zahidi, tiada apa yang paling mendebarkan bagi pelajar lain selain menanti saat keputusan peperiksaan diumumkan.

Bagi mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh, mungkin sudah boleh menduga hasil kerja keras selama ini.

Namun, adakalanya nasib tidak menyebelahi apabila keputusan yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan.

Justeru, tidak hairanlah apabila kita pernah mendengar kes-kes pelajar yang sanggup membunuh diri kerana kecewa dengan keputusan peperiksaan mereka, walaupun hakikatnya ia tidaklah begitu teruk.

Pada tahun 2007 seorang pelajar perempuan di Pulau Pinang dijumpai mati tergantung pada jeriji tingkap di bilik tidurnya.

Bunuh diri

Pelajar yang berusia 12 tahun itu menggantung diri kerana merasakan dirinya seorang yang gagal.

Dia dilaporkan telah berjanji kepada keluarganya untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat A bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun keputusan yang diumumkan itu tidak seperti yang diharapkannya.

Pelajar tersebut dikatakan murung kerana tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan sebelum mengambil keputusan menggantung diri.


Setiap pelajar akan menghadapi beberapa peperiksaan besar dalam hidupnya. – Gambar hiasan


Dalam pada itu, pada tahun lalu, seorang pelajar tingkatan 5 ditemui dalam keadaan tergantung di lehernya dengan menggunakan tali leher, di dalam biliknya di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang, Kuala Lumpur.

Pelajar tersebut dikatakan menggantung diri akibat kecewa tidak dapat menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Psikologi & Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Norulhuda [email protected] berkata, budaya menyasarkan pencapaian keputusan terbaik oleh pihak sekolah dan harapan ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak dalam peperiksaan telah meletakkan satu bebanan peranan kepada kanak-kanak.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa tahu bahawa kejayaan bukanlah hanya diukur dari sudut akademik semata-mata.

“Namun hakikatnya ibu bapa tiada pilihan, mereka juga tidak mahu anak-anak tertinggal jauh berbanding anak-anak orang lain.

“Kebimbangan tentang masa depan anak-anak lebih dikhuatiri kerana dunia dilihat asyik menilai keputusan akademik sedangkan mereka terlupa bahawa anak-anak baru berusia 12 tahun, terutamanya bagi pelajar yang mengambil UPSR,” katanya.

Hakikatnya, masyarakat sebenarnya masih menilai kejayaan kanak-kanak dengan pencapaian akademik.

Masyarakat yang dimaksudkan bukan hanya ibu bapa tetapi termasuk guru-guru, pembuat silibus atau modul mata pelajaran di sekolah, pihak pentadbiran di semua peringkat, malahan semua orang dewasa.

Golongan yang paling terkesan dengan ekologi ini ialah kanak-kanak itu sendiri.

Kebanyakan masyarakat kita beranggapan memperoleh A dalam semua mata pelajaran hanya layak bagi mereka yang benar-benar cemerlang dan tidak ramai yang mampu untuk mencapainya.

Sukar

“Situasi ini telah menyampaikan mesej kepada kanak-kanak bahawa peperiksaan UPSR adalah sesuatu yang sangat sukar.

“Kanak-kanak akan melihat bahawa begitu tinggi nilai A telah diletakkan oleh orang dewasa kepada peperiksaan UPSR,” kata Norulhuda.

Menurutnya, jika kita mahu menerapkan nilai kepada kanak-kanak dan ibu bapa bahawa bilangan A tidak penting, kita sebenarnya telah mengelirukan anak-anak.


Bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik boleh meneroka bidang kemahiran kerana ia juga boleh memberi kejayaan jika kena pada caranya. – Gambar hiasan


Kita mengajar kanak-kanak bahawa A itu yang terbaik tetapi pada masa sama kita katakan bahawa bilangan A tidak penting, jadi apakah ukuran terbaik yang kanak-kanak perlu capai?

Kanak-kanak juga ada jiwa dan semangat untuk mencapai yang terbaik dalam kehidupan mereka, namun orang dewasa seringkali mengelirukan dan menafikan hak mereka.

“Dalam psikologi, kepuasan pencapaian seharusnya berdasarkan matlamat yang ditetapkan, bersifat boleh dicapai mengikut potensi mereka.

“Itu akan menyokong kanak-kanak sebagai hadiah dan ganjaran daripada apa yang telah mereka usahakan selama ini, membakar minat untuk terus belajar dan meningkatkan harga diri kanak-kanak,” jelas Norulhuda.

Analisis keputusan UPSR 2016 mendedahkan, hanya 1.11 peratus sahaja yang telah mencapai 6A, ini bermakna ia tidak mencapai potensi normal dalam populasi kanak-kanak yang menduduki UPSR.

Ini menunjukkan adanya kelemahan penilaian yang ditetapkan oleh orang dewasa ke atas kemampuan atau potensi sebenar kanak-kanak.

Kelemahan boleh berpunca sama ada mungkin silibus KSSR terlalu tinggi, soalan yang terlalu sukar atau tidak difahami, ataupun pada peringkat pembahagian gred itu sendiri.

Norulhuda berkata, ini menjadikan kanak-kanak merasa perlu lebih serius dan perlu melipatgandakan usaha untuk menghadapi peperiksaan akan datang agar tidak menghampakan harapan ibu bapa serta mencapai kepuasan diri.

Menurut beliau, UPSR seharusnya dilihat sebagai pendedahan awal untuk menjalani peperiksaan.

“UPSR seharusnya mampu menjadi motivasi awal kepada kanak-kanak untuk terus mencapai kejayaan cemerlang, bukan menjadi satu fasa traumatik dalam hidup mereka.

“Kita tidak mahu hasil peperiksaan awal ini menjadikan kanak-kanak murung, tertekan, tidak yakin diri dan trauma dengan sistem peperiksaan yang telah dilalui dan tentunya memberi tekanan sangat hebat untuk menghadapi peperiksaan pada tahap seterusnya nanti,” katanya.

Kebolehan

Masyarakat seharusnya sedar bahawa kecemerlangan seseorang pelajar bukan bersandarkan kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya ia perlu dinilai dan diukur pada kebolehan dalam pelbagai perkara lain.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, konsep exam oriented atau mementingkan pencapaian dalam peperiksaan telah menjadi satu budaya di negara ini.

Menurutnya, sikap ini telah menunjukkan bahawa jumlah A menjadi petunjuk kepada pencapaian kecemerlangan seseorang pelajar.

“Sejak pada peringkat awal lagi pelajar-pelajar di negara ini dinilai berorientasikan peperiksaan, sedangkan pendidikan dari segi falsafah sebenarnya bukan berteraskan pencapaian ukuran dalam peperiksaan sahaja.

“Pendidikan lebih bersifat menyeluruh dan berterusan, oleh sebab itu budaya yang terlalu menekankan kecemerlangan dalam peperiksaan mungkin hanya akan melahirkan pelajar yang cemerlang untuk sesuatu ilmu sahaja,” katanya.

Kecemerlangan bukanlah berdasarkan pencapaian akademik sahaja, sebaliknya sebaliknya seseorang masih boleh berjaya dalam lapangan yang lain dalam kehidupan ini.

Zaid berkata, persepsi masyarakat kita yang memandang rendah dan membandingkan antara pelajar yang cemerlang dan tidak cemerlang dalam akademik juga adalah sesuatu yang kurang sihat.

“Persepsi itu membuatkan seseorang pelajar itu hilang semangat untuk belajar bersungguh-sungguh jika dia sering dibanding-bandingkan.

“Setiap pelajar mempunyai tahap yang berbeza antara satu sama lain. Apa yang penting kita harus sentiasa memberi dorongan dan panduan kepada mereka ini untuk berjaya dalam bidang lain jika kurang cemerlang dalam akademik,” katanya.

Process time in ms: 32