GENK

Peluang pelajar menyelami dunia sebenar industri media

Peluang pelajar menyelami dunia sebenar industri media



DARI jauh kelihatan seorang gadis bertubuh genit sedang petah berbicara di hadapan sebuah kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR). Dia yang sedang melakukan gaya lapor berdiri (stand upper) menyampaikan laporan mengenai kemeriahan suasana program yang terdapat di situ. Siti Zulaikha Mat Ali, 23, atau lebih dikenali sebagai Siti Zulaikha cukup mesra bila disapa. Dia bersama rakan-rakannya yang lain terlibat dalam program #MCLive 2.0 yang diadakan di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pelajar bidang penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM itu dilihat mudah menghabiskan tutur katanya pada akhir bicara seperti sudah biasa melakukannya sebelum ini.

Uji bakat

Ketika ditanya bagaimana boleh terlibat sebagai pengacara di portal web televisyen (TV) saluran YouTube iaitu MASSCTV, dia yang pada mulanya tidak tahu mengenai kewujudan MASSCTV di FKPM sehinggalah salah seorang daripada rakannya mengajak menyertai uji bakat mencari wartawan penyiaran di MASSCTV.

“Ketika itu saya hanya mengikut kawan-kawan, tetapi pada masa sama teringin untuk diuji bakat sekali. Alhamdulillah, setelah uji bakat selesai, juri melihat potensi yang ada dalam diri saya sebagai pengacara dan seterusnya menjadi wartawan penyiaran di MASSCTV,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Gadis yang berasal dari Jerantut, Pahang itu mengakui, minatnya terhadap dunia penyiaran membuatkannya komited dalam setiap tugasan ketika menyampaikan berita-berita semasa, program-program dan aktiviti-aktiviti di kampus.

“Banyak ilmu serta kemahiran yang saya pelajari ketika menjadi wartawan penyiaran di MASSCTV, apa yang dipelajari di dalam kuliah secara teori sudah tentu saya dapat mengaplikasikannya dan melakukannya di sini.

“Selain itu, platform ini juga saya gunakannya untuk membina keyakinan dalam diri serta mengasah kemahiran berkomunikasi dengan cara yang lebih baik seperti hubungan mata dengan kamera dan bagaimana menggunakan bahasa tubuh serta suara tertentu mengikut skrip atau tugasan yang diberikan,” katanya.


DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM (dua dari kanan) bersama Mohd. Razeef Shah ketika melawat pameran MASSCTV pada program #MCLive 2.0 baru-baru ini.


Tambah Siti Zulaikha, dia melahirkan rasa syukur dan bertuah kerana dapat bersama-sama turut terlibat dalam MASSCTV ini kerana ia merupakan antara salah satu medium yang dapat menonjolkan bakat yang ada pada dirinya.

Potensi

“Sememangnya ini merupakan platform yang terbaik untuk para pelajar FKPM khususnya dalam bidang penyiaran dan kewartawanan untuk menunjukkan potensi mereka kepada industri.

“Malah paparan hasil kerja video dan mutu pengacaraan pula hampir setanding dengan program-program di televisyen sedia ada,” ujarnya.

Menurut Pengarah MASSCTV, Ahmad Syazwan Syuwari Nordin, walaupun MASSCTV dianggap masih baharu tetapi ia mempunyai pengikut yang tersendiri dan berada di kelas berbeza berbanding portal web TV yang lain.

“Pada awal semester baru-baru ini, kami telah mengambil beberapa pelajar sebagai wartawan penyiaran, jurukamera dan penyunting video yang dilihat berpotensi menaikkan lagi nama MASSCTV.

“Kini, seramai 15 orang pelajar FKPM dan dua orang pensyarah terlibat secara langsung dalam pembikinan video-video dalam produksi di MASSCTV,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Syazwan Syuwari memberitahu, tujuan MASSCTV ditubuhkan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar yang terlibat bagaimana cara bekerja di industri dan organisasi media massa.

Teknik

“Antara teknik-teknik yang diajar kepada mereka ialah bagaimana mengendalikan kamera dengan betul, merakam video melalui sudut yang berlainan dan cara-cara suntingan yang baik.

“Bagi seseorang wartawan penyiaran pula, yang paling penting sebelum melakukan apa-apa tugasan mereka perlu melakukan penyelidikan terlebih dahulu atau mengetahui serba sedikit mengenai program atau aktiviti tersebut.


Perbincangan bersama dilakukan terlebih dahulu sebelum ke lapangan untuk merakam video aktiviti mahupun program.


“Selain memberi peluang kepada semua pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat teknik serta pendekatan dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, ia juga secara tidak langsung akan dapat memberikan persediaan kepada mereka sebelum bekerja kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit MASSCTV, Mohd. Razeef Shah Mohmad Rafik pula berkata, idea untuk menubuhkan MASSCTV ini telah wujud sejak tahun 2012 lagi tetapi ketika itu banyak kekangan dari segi tenaga kerja dan fasiliti.

“Alhamdulillah, bermula pada 28 September 2016 secara rasmi tertubuhnya MASSCTV ini, walaupun pada mulanya kami hanya memfokuskan laporan berita kampus, tetapi kami juga mendapat kerjasama Persatuan Alumni UiTM dalam mempromosikan Tabung Pendidikan 1 Bilion baru-baru ini,” tuturnya.

Mohd. Razeef Shah memberitahu, bagi menghasilkan sesuatu video, selalunya beliau akan meminta para pelajarnya buat kajian terlebih dahulu mengenai video yang hendak dihasilkan. Kemudian, apabila sudah ada topik, barulah beliau akan fikir tentang tajuk video dan skrip.

“Peralatan asas seperti kamera DSLR, mikrofon dan lampu pencahayaan dipasang bagi tujuan rakaman video. Dari segi skrip pula, saya akan membantu mereka buat secara ringkas dalam bentuk tulisan dan dalam video itu nanti baru mereka terangkan satu demi satu secara spontan,” jelasnya.

Usai merakam video, dia dan Ahmad Syazwan Syuwari akan melakukan suntingan, menyemak semula sebelum dan membuat sedikit pembetulan jika ada sebelum video itu dimuat naik di laman YouTube.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 31