VARIA

Keterujaan Orang Asli berkhatan beramai-ramai

Keterujaan Orang Asli berkhatan beramai-ramai

TERUJA. Rata-rata peserta yang terlibat dalam program berkhatan beramai-ramai seronok apabila mereka dimandikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Perak.


Demi keprihatinan sesama Islam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pacuan empat roda, Malaysian4Wheeler (M4W) yang aktif melakukan aktiviti amal untuk masyarakat pedalaman menganjurkan sebuah program ekspedisi berkhatan untuk mualaf Orang Asli di Sungai Siput, Perak baru-baru ini.

Bertempat di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, Sungai Siput, seramai 33 orang penduduk Kampung Orang Asli Pos Legap dan Pos Kuala Mu berkhatan. Majoritinya melibatkan kanak-kanak, namun lapan daripada keseluruhan peserta adalah remaja dan dewasa lelaki yang berumur antara 15 hingga 52 tahun.

Pengarah program, Shafarizan Saedan 40, berkata, tujuan penganjuran program ini bagi memudahkan masyarakat di situ berkhatan di kampung mereka sendiri.

“Program ini merupakan kesinambungan daripada usaha pendakwah-pendakwah terdahulu yang telah mengembangkan syiar Islam di kawasan pedalaman seperti di Pos Kuala Mu ini.

“Justeru itu, M4W bersama beberapa komuniti penggiat aktiviti sukan ekstrem bergabung tenaga melaksanakan misi unik bagi memastikan kesinambungan amalan tradisi majlis berkhatan beramai ramai ini dapat terus diterapkan kepada semua masyarakat Muslim khususnya untuk saudara baharu Orang Asli,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Shafarizan, selain itu, beberapa badan kerajaan turut memberikan kerjasama antaranya Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sungai Siput, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

Turut serta Yayasan Al-Khalifah, Kembara At Taqwa, Kelab D’Harung, Kelab Kucing Malaysia dan Grousiey Print House.

Shafarizan memberitahu, MIDF Property Berhad juga menyumbangkan sepasang baju Melayu dan kain pelikat untuk semua peserta berkhatan manakala sebanyak 25 buah basikal disumbangkan oleh rakan-rakan peminat pacuan empat roda.

Laser


Sebahagian remaja Orang Asli Sungai Siput, Perak ini begitu lega selepas dikhatankan.


Menurut Shafarizan, untuk proses berkhatan mereka menggunakan kaedah laser yang dilakukan oleh dua orang berpengalaman iaitu seorang bekas pembantu perubatan Hospital Seberang Jaya dan seorang bekas Ketua Mudim Pulau Pulau Pinang bersama pembantu-pembantu mereka.

“Kaedah ini juga dapat menjimatkan masa berkhatan iaitu antara 10 hingga 15 minit sahaja berbanding kaedah lain yang mengambil masa sehingga setengah jam,” katanya.

Pada hari program berkhatan, seawal pukul 8 pagi, lengkap berbaju Melayu, kesemua peserta diarak dengan dua buah kenderaan pacuan empat roda mengelilingi Pos Kuala Mu sebelum disiram dengan air oleh pihak bomba.

Apa yang menarik ialah kelainan yang dibawa oleh M4W dengan menjemput Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memandikan para peserta walaupun perumahan mereka terletak di sepanjang tebing sungai yang jernih, bersih dan sejuk.

Kehadiran bomba pada majlis-majlis berkhatan adalah perkara biasa, namun tidak bagi masyarakat Orang Asli yang menghuni jauh di pedalaman.

Keterujaan mereka terhadap pasukan keselamatan ini jelas terpancar pada wajah mereka lebih-lebih lagi ketika dimandikan di bawah pancuran paip bomba ini.

Pelbagai ragam para peserta dapat dirakam terutamanya kanak–kanak, ada yang ketakutan, risau dan ada juga bergembira ketika menanti saat–saat dikhatankan.

Tidak kurang juga gelagat peserta dewasa terutama raut wajah mereka jelas memancarkan kerisauan selain perasaan malu dan ketakutan.

Tepat pukul 10 pagi, proses berkhatan pun bermula di sebuah bilik darjah di sekolah berkenaan yang diubah suai seperti bilik pembedahan sehingga selesai pada sebelah petang.

Seorang peserta, Ghani Ngah, 40, yang memeluk Islam sejak berusia 17 tahun mengakui belum sempat berkhatan.

“Bagi saya hari ini ibarat jodoh dah datang, keinginan berkhatan datang daripada hati saya tanpa ada paksaan,” ujar bapa kepada enam anak itu.

Rencana Utama!»

Kurang 10 tok dalang masih aktif

HOCK SENG menunjukkan patung-patung yang digunakannya sewaktu persembahan wayang kulit.

GenK»

Bazar Orikami TAR UC pamer produk berkualiti tinggi

Ruangan yang memaparkan kisah-kisah kejayaan para pelajar dan alumni TAR UC turut mencuri tumpuan.

Varia!»

Jaga tepi kain orang cara tangani isu sosial

Akses mudah kepada internet antara faktor kepada anak muda bebas bergaul antara satu sama lain. – Gambar hiasan

[email protected]!

Process time in ms: 78