PESONA

Latih kanak-kanak salur tenaga dengan cara betul

Latih kanak-kanak salur tenaga dengan cara betul

RAFAEL (kanan) menunjukkan skil menjatuhkan pihak lawan menerusi latihan muay thai.


“TUMBUK atas, bawah, tunduk dan tendang!” laung seorang jurulatih kepada enam orang muridnya yang sedang mengikuti kelas seni mempertahankan diri campuran atau Mix Martial Arts (MMA).

MMA adalah hasil gabungan daripada pelbagai seni pertahanan diri sedia ada di serata dunia yang menjadikan ia satu bentuk seni bela diri yang unik.

Antara seni mempertahankan diri yang digabungkan dalam MMA adalah tinju, judo, karate, muay thai, taekwondo, kung fu dan jiu jitsu.

Menurut jurulatih di Klinch MMA, David Hulett, 36, seni mempertahankan diri ini diperkenalkan kepada kanak-kanak di Malaysia sejak dua tahun lalu berbanding 10 tahun di peringkat antarabangsa.

Teknik

“Selepas diberi pendedahan sedikit demi sedikit, baru ada ibu bapa yakin untuk menghantar anak-anak mereka memasuki kelas MMA. Itu pun selepas mereka melihat sendiri cara MMA dikendalikan.

“Tambahan pula, Malaysia turut melahirkan beberapa jaguh dalam dunia MMA yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Ia sedikit sebanyak memberi pendedahan awal kepada ibu bapa,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang MMA.

Tambah Hulett yang berasal dari Amerika Syarikat, teknik-teknik MMA yang diperkenalkan kepada kanak-kanak tidak terlalu sukar untuk dipelajari dan diikuti.

Semua seni pertahan diri yang diajar dilakukan mengikut kemampuan kanak-kanak itu sendiri.

Tiada sebarang paksaan atau cara yang bertentangan dengan kemampuan kanak-kanak dilakukan.

“Contohnya, kami ajar bagaimana cara untuk kanak-kanak ini mempertahankan diri saat tangan mereka dikunci dari belakang.

“Apa yang mereka perlu dilakukan ialah satu teknik yang betul supaya mereka boleh memboloskan diri.

“Semua gerak-geri yang dilakukan itu mempunyai tujuan. MMA tidak mengajar pergerakan yang melulu,” ujar sambil memberitahu, terdapat hampir 30 orang kanak-kanak yang menyertai kelas itu.

Di Klinch MMA yang terletak di pusat beli-belah Publika di Jalan Duta, Kuala Lumpur itu, kanak-kanak diberi kebebasan untuk melakukan teknik pertahanan diri yang diajar.

Katakan, salah seorang daripada mereka berasa sukar dengan teknik yang diajar, jurulatih akan memberi fokus yang lebih kepada mereka supaya kanak-kanak itu tidak berasa ketinggalan.

“Jika masih tidak dapat memahirkan diri dalam teknik yang diajar, mereka boleh melakukan keesokan harinya pula sehingga benar-benar mahir.

“Sebab itu, tiada jadual khusus yang perlu diikuti di Klinch MMA. Semuanya mengikut kemampuan dan kebolehan kanak-kanak itu,” jelasnya.

Minat


KLINCH MMA terletak di pusat beli-belah Publika di Jalan Duta, Kuala Lumpur.


Seorang bapa yang juga pakar kecergasan dan nutrisi terkenal, Kevin Zahri yang menghantar anaknya ke Klinch MMA berkata, dia melihat sukan itu sebagai satu cara untuk menyalurkan tenaga dengan betul.

Katanya, terdapat pelbagai manfaat lain yang boleh dilihatnya selepas anak sulung, Rafael Zahri, 6, menyertai MMA sejak bulan Mei tahun lalu.

“Saya dapat lihat sifat keyakinan dalam diri Rafael begitu tinggi setiap kali dia melakukan beberapa aksi MMA di depan tenaga pengajar.

“Memang pada permulaannya, dia agak kekok dan cepat hilang fokus tetapi hari demi hari, pergerakannya semakin tajam dan tepat,” ujarnya.

Kevin menambah, dia berasa gembira apabila melihat Rafael tidak langsung bosan dan cepat mengalah.

“Rafael benar-benar menyukai MMA kerana sebelum ini saya pernah menghantar dia ke kelas bola sepak dan tenis tetapi Rafael tidak berminat. Namun, selepas sehari mencuba MMA, dia terus kata tidak sabar untuk hadir ke kelas seterusnya.

“Apa yang boleh dikatakan, MMA adalah satu seni yang dapat menarik minat kanak-kanak kerana setiap hari mereka belajar pergerakan baharu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, menerusi latihan dan senaman yang dilakukan, kanak-kanak yang menyertai seni itu mampu menjadi lebih yakin, bermotivasi dan dapat mengawal diri dalam melakukan aktiviti harian.

Amatur

Sementara itu Pengasas Klinch MMA, Christopher Leow menjelaskan, idea untuk mengadakan latihan MMA bagi kanak-kanak dicetuskan oleh Hulett pada tahu lalu dan dia tidak sangka ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa.

“Kami memberikan satu kelas percubaan kepada ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka. Ibu bapa boleh melihat sendiri bagaimana latihan seni mempertahankan diri diajar kepada anak-anak mereka.

“Daripada situ, ibu bapa mempunyai gambaran jelas tentang apakah yang dilakukan anak-anak ini. Jika bersesuaian, ibu bapa boleh mendaftar dengan bayaran RM200 untuk tempoh sebulan.

“Lebih menarik, kanak-kanak itu boleh datang pada bila-bila masa kerana kami tidak menetapkan sebarang had latihan,” katanya sambil memaklumkan Klinch MMA juga menawarkan program untuk pelatih di peringkat amatur dan profesional.

Tambahnya, dia juga menerima pelbagai maklum balas positif atas perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

Ini kerana kesemua kemudahan yang ada di Malaysia adalah sangat bagus dan setanding dengan antarabangsa.

“Apa yang perlu dilakukan untuk memajukan sukan ini di Malaysia adalah dengan membawa masuk lebih ramai lagi jurulatih dari luar negara.

“Jurulatih asing itu akan membimbing bakat-bakat tempatan sedia ada, selain memberikan pendedahan lebih meluas kepada ibu bapa dan kanak-kanak supaya menyertai sukan ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 47