VARIA

Bersatu kunci perpaduan

Bersatu kunci perpaduan


APA yang berlaku kepada etnik Rohingya di Myanmar seharusnya dijadikan sebagai satu pengajaran. – Gambar hiasan


TAHUN 2016 merupakan tahun yang amat mencabar kepada masyarakat dunia kerana pelbagai kejadian yang tidak diingini berlaku seperti peperangan, banjir, ribut taufan dan kebakaran.

Namun, antara peristiwa yang memberi impak besar kepada masyarakat dunia ialah pembersihan etnik Rohingya di Myanmar.

Pembunuhan etnik Rohingya dalam skala besar ini bukan sahaja dipaparkan oleh media Malaysia tetapi turut dikongsi media antarabangsa.

Selain dibunuh, etnik Rohingya juga hilang kediaman apabila rumah mereka dibakar oleh pihak berkuasa di negara berkenaan.

Insiden yang paling dahsyat ialah apabila etnik Rohingya diusir dari negara mereka sendiri. Akibatnya, golongan itu menjadi pelarian di beberapa buah negara berhampiran dan terpaksa hidup berdasarkan belas ihsan masyarakat setempat.

Hala tuju

Persoalannya, mengapa dan kenapa senario sebegitu boleh berlaku kepada etnik Rohingya? Jawapan yang paling mudah kepada persoalan itu ialah kerana masyarakat Rohingya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju dan masa depan mereka walaupun ketika tinggal di negara sendiri.

Kejadian yang berlaku kepada etnik Rohingya ini sepatutnya diambil pengajaran oleh orang Melayu di negara ini. Saya yakin, orang Melayu tidak rela membiarkan diri mereka menerima nasib yang sama seperti masyarakat Rohingya di Myanmar.

Bagaimanapun, cerita sedih dan menyayat hati yang berlaku kepada etnik Rohingya tidak mustahil berlaku kepada orang Melayu di negara ini jika perpecahan terjadi dalam kalangan orang Melayu pada hari ini tidak dihentikan segera.

Masyarakat Melayu perlu sedar, perpecahan dalam kalangan orang Melayu sebenarnya sesuatu yang sentiasa dinantikan oleh pihak musuh kerana dengan perpecahan ini, mereka boleh mengambil alih kuasa pemerintahan di negara ini.

Percayalah, jika kuasa orang Melayu telah hilang terutamanya kuasa politik, maka kejadian yang berlaku kepada etnik Rohingya tidak mustahil akan dirasai oleh orang Melayu di bumi bertuah ini.

Perlu diingatkan, beberapa perkara akan berlaku kepada orang Melayu di negara ini jika kuasa yang dimiliki pada hari ini hilang.

Antaranya ialah penghapusan segala perkara yang berkaitan dengan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan, mereka akan meminda Perlembagaan yang ada berbekalkan kuasa yang telah diperoleh dan pada ketika ini, orang Melayu tidak boleh berkata apa-apa kerana sudah tidak mempunyai kuasa majoriti.

Merempat

Apabila semua bidang dikuasai oleh orang lain, keadaan itu pasti akan lebih menyukarkan lagi proses persaingan antara semua kaum. Akibatnya, orang Melayu mungkin terpaksa menagih simpati daripada mereka yang berkuasa untuk meneruskan kehidupan di negara ini.

Perkara yang paling ditakuti ialah orang Melayu mungkin terpaksa merempat di negara sendiri selepas tidak memiliki apa-apa sama ada kuasa dan kekayaan harta benda.

Justeru, sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat Melayu perlulah segera bersatu agar nasib dan masa depan orang Melayu akan terus terbela dan terpelihara.

Orang Melayu perlu bersatu hati mempertahan kuasa yang ada dan kunci untuk mengekalkan kuasa tersebut ialah perpaduan sesama Melayu.

Kesimpulannya, jangan jadikan perbezaan ideologi dan fahaman politik sebagai alasan untuk berpecah antara satu sama lain. Pepatah Melayu ada menyatakan, Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Justeru, bersama-samalah kita berganding bahu untuk memastikan negara tercinta ini tidak menjadi milik orang. Jika ia berlaku, sebarang penyesalan tidak akan berguna lagi.

Saya amat pasti, orang Melayu tidak mahu melihat kejadian yang berlaku terhadap etnik Rohingya terjadi kepada orang Melayu di bumi bertuah ini.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 47