HORIZON

Kayuh ‘kereta’ bersama seisi keluarga

Kayuh ‘kereta’ bersama seisi keluarga

Beca berlampu Putrajaya kini menjadi satu tarikan baharu kepada pengunjung di [email protected]


SUASANA petang di Putrajaya pada 25 Disember lalu agak redup ekoran awan gelap menyelubungi ruang udara sejak tengah hari, sekali gus menandakan hujan mungkin turun pada bila-bila masa sahaja.

Namun, bagi Ahmad Tarmizi Mohd., 36, dia sanggup mengambil risiko itu untuk membawa ahli keluarga beriadah di Bubbles & Beans yang terletak di [email protected], Presint 8.

“Saya mahu ahli keluarga yang datang dari jauh dapat menikmati keseronokan menaiki beca berlampu di sini sebelum mereka pulang ke kampung nanti.

“Sekurang-kurangnya, ia akan memberikan kenangan yang indah buat mereka ketika menghabiskan cuti sekolah di Putrajaya kali ini,” katanya yang merupakan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia.

Ahmad Tarmizi yang menetap di sebuah kuarters kerajaan di Putrajaya berkata, dia beratur selama lebih 30 minit untuk mendapatkan nombor giliran selain terpaksa menunggu lagi satu setengah jam untuk menaiki beca berlampu itu.

Begitupun, penantian bersama lapan ahli keluarga berbaloi ekoran keseronokan sepanjang menaiki kenderaan itu.

Perkara sama turut diakui seorang lagi pengunjung, Azdi Baharudin, 32.

Dia memberitahu, fenomena beca berlampu yang diperkenalkan sejak November lalu menjadi lokasi itu tumpuan riadah keluarga.

“Saya dapat tahu mengenai beca berlampu ini selepas ia menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

“Jadi, saya bersama keluarga datang ke sini untuk mencuba sendiri menaiki beca berlampu ini.

“Ia memang menyeronokkan walaupun terpaksa menunggu lama sebelum nombor giliran dipanggil,” katanya yang menetap di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Rekaan unik

Beca berlampu Putrajaya diperkenalkan oleh Bubbles & Beans sebagai tambahan kepada beberapa jenis beca dan basikal lain yang ditawarkan oleh syarikat itu.

Ia direka menyerupai beberapa buah kenderaan terutama model Volkswagen Beetle dan Kombi selain beberapa model kereta klasik dengan dilengkapi tempat duduk pemandu dan penumpang selain pintu dan tingkap.

Cuma, bezanya dengan kenderaan sebenar ialah saiznya lebih kecil dan digerakkan menggunakan pedal, sama seperti beca atau basikal.

Selain badan berwarna-warni, beca itu dipasang lampu pelbagai warna bagi menjadikan ia lebih menarik dan cantik terutama pada waktu malam.

Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan beca berlampu Putrajaya itu, pemilik Bubbles & Beans, Isa Nawawi, 60, berkata, beca itu merupakan yang terbaharu diperkenalkan kepada orang ramai bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung di [email protected]

“Sebelum ini, pengunjung yang datang ke [email protected] hanya berpeluang menaiki beca keluarga atau pelbagai jenis basikal untuk dikayuh di sekitar kawasan ini.

“Selepas melihat sambutan menggalakkan daripada pengunjung, saya terfikir untuk mempelbagaikan jenis beca yang boleh dinaiki lebih ramai individu pada satu-satu masa.

“Bermula daripada situlah, saya membuat pencarian di internet untuk membeli beca bersaiz besar dan boleh dinaiki lebih ramai orang selain mempunyai rekaan yang unik dan menarik,” katanya.

Diimport

Jelas Isa, beca berlampu Putrajaya itu diimport dari luar negara pada harga antara RM12,000 hingga RM15,000 sebuah dan bagi menjadikan ia kelihatan lebih menarik terutama pada waktu malam, lampu diod pemancar cahaya (LED) pelbagai warna dipasang di sekeliling badan beca.

Setakat ini, syarikatnya mempunyai 20 buah beca berlampu dengan 16 daripadanya beroperasi di [email protected] manakala bakinya ditempatkan di Putrajaya Skyride yang terletak berhadapan dengan [email protected]

Menyentuh mengenai syarikat Bubbles & Beans, Isa memberitahu, ia bermula tiga tahun lalu dengan perniagaan belon buih gergasi di [email protected] selepas mendapat idea daripada hobi cucunya, Irdina Zafreen Nazrul Ilham, 6, yang suka bermain belon buih.

“Selepas eksperimen mencipta beloh buih gergasi berjaya, saya mula berfikir mengapa saya tidak jadikan ia satu perniagaan dan berkongsi keseronokan bermain belon buih bersama-sama orang lain.

“Kebetulan pada ketika itu, Perbadanan Putrajaya menawarkan peluang perniagaan kepada penduduk sekitar Putrajaya yang ingin berniaga di [email protected] dan permohonan saya untuk berniaga belon buih di sini diluluskan,” katanya yang tinggal di Presint 9.

Kata Isa lagi, selepas dua tahun menjalankan perniagaan itu, dia kemudiannya membeli pelbagai jenis basikal dengan rekaan unik selain beca keluarga untuk disewakan kepada pengunjung.

Jelasnya, kesemua basikal dan beca keluarga itu turut dibeli dari luar negara secara berperingkat-peringkat dengan harga antara RM2,000 hingga RM6,000 sebuah.

Sehingga kini, dia mempunyai 12 buah beca keluarga pelbagai saiz (dua, empat dan enam pedal) selain 80 buah basikal pelbagai jenis.

“Saya bercadang untuk mencipta sendiri beca yang memiliki rekaan unik dan menarik bagi ditempatkan di sini pada masa hadapan atau mungkin juga dijual kepada pihak yang berminat.

Tingkat keselesaan

“Namun, disebabkan saya tiada kemahiran tersebut, ia mungkin akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Bubbles & Beans, Zainurul Aina Mokhtar, 28, berkata, pihaknya akan terus menambah baik perkhidmatan sewa basikal dan beca bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

Malah, pada ketika ini, syarikatnya menggunakan sistem nombor giliran dan kaunter yang berbeza bagi sewaan beca berlampu, beca keluarga dan basikal untuk mengelak tempoh masa menunggu yang terlalu lama berbanding sebelum ini yang hanya mempunyai sebuah kaunter.

“Sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan dan kami terpaksa menggunakan khidmat pekerja sambilan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi untuk membantu kami terutamanya ketika cuti hujung minggu atau cuti umum.

“Malah, kami juga telah menambah menu sajian dan snek di kafe Bubbles & Beans bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menikmati hidangan sambil beriadah bersama keluarga di sini,” katanya.

Process time in ms: 32