VARIA

Implikasi kenaikan harga minyak global

Implikasi kenaikan harga minyak global

Kenaikan harga minyak dunia ketika ini menyebabkan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel naik bulan ini. – Gambar hiasan


BENARKAH harga minyak dunia kini sudah menunjukkan tanda akan pulih?

Persoalan ini sememangnya sering dibincangkan dalam media massa seluruh dunia. Malah, ia menjadi lebih hangat apabila impaknya bakal dirasai pengguna akibat kenaikan harga petrol dan diesel.

Harga runcit petrol RON95 dan diesel untuk bulan Januari masing-masing naik kepada 20 sen manakala RON97 naik 15 sen bermula 1 Januari lalu.

Harga baharu bagi RON95 ialah RM2.10 seliter manakala RON97 ialah RM2.40 seliter dan diesel pula RM2.05 seliter.

Penulis melihat secara rasional berkenaan senario ini memandangkan soal naik turun harga minyak adalah di luar kawalan kerajaan, pasaran, malah penganalisis pasaran.

Ironinya, trend kejatuhan harga minyak dunia yang tercetus sejak penghujung tahun 2013 telah mencetuskan banyak polemik.

Daripada harga tertinggi melebihi AS$100 (RM448)setong pada sekitar tahun 2011 hingga 2012, ia menjunam sekitar paras terendah AS$43 (RM193) pada tahun 2016.

Banyak berita negatif membanjiri dada akhbar khususnya kelembapan ekonomi yang mula tercetus di negara pengeluar utama dunia, tetapi turut merebak sehingga ke negara-negara dunia ketiga.

Malaysia juga tidak terkecuali. Disebabkan sebahagian besar belanjawan daripada cukai dan hasil petroleum, kejatuhan harga minyak di pasaran dunia turut mengecutkan kantung pendapatan negara sejak tiga tahun lalu.

Begitupun, keputusan luar jangka ketika mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC) pada 30 November tahun lalu untuk mengurangkan pengeluaran minyak secara kolektif sebanyak 10 peratus mulai tahun ini memberi kelegaan besar kepada dunia.

Dengan mengurangkan 1.8 juta tong atau kira-kira dua peratus daripada pengeluaran harian dunia, ia sekali gus mengurangkan penawaran komoditi itu dalam pasaran dan merangsang kenaikan harga secara beransur-ansur.

Lonjakan harga

Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sendiri mengumumkan akan mengurangkan sehingga 20,000 tong atau sekitar empat peratus pengeluaran hariannya mulai bulan ini.

Keadaan ini dapat dibuktikan dengan lonjakan 10 peratus harga minyak mentah ketika ini yang berada sekitar AS$54 (RM242) setong.

Persoalannya, adakah keputusan ini menjadi petanda harga minyak akan naik dalam jangka masa panjang? Terdapat beberapa petunjuk yang menyokong keadaan ini.

Berdasarkan beberapa laporan media menunjukkan, syarikat minyak gergasi dunia seperti Royal Dutch Shell, British Petroleum (BP) dan Total SA telah mula membuat pelaburan perniagaan dan penggabungan syarikat berlaku sejak beberapa minggu lalu.

Keadaan ini sekali gus memberi isyarat besar dalam kalangan pemain utama dunia yang menjangka harga minyak sudah bersedia untuk mengalami lantunan semula tahun ini.

Ia sekali gus mendorong pemain industri kecil lain seperti minyak syal untuk melakukan tindakan sama.

Selain itu, gergasi minyak terbesar dunia dari Arab Saudi iaitu Saudi Aramco mengumumkan bersedia untuk menyenaraikan lima peratus sahamnya bernilai AS$150 bilion (RM673 bilion) di Bursa Saham Riyadh 2018.

Perkara itu disifatkan sebagai penyenaraian saham terbesar dalam sejarah dunia.

Sekiranya menjadi realiti, ia dijangka mampu merancakkan lagi sektor minyak dan gas serta mentransformasikan ekonomi Arab Saudi yang selama ini banyak bergantung kepada industri tersebut.

Justeru, apakah impak yang bakal diterima oleh Malaysia? Penulis melihat impak dalam konteks makro dan mikro.

Disebabkan Malaysia menjadi pengeluar dan pengeksport bersih petroleum, setiap dolar dan sen kenaikan harga bakal memberi manfaat kepada perolehan negara.

Namun, secara teorinya jika harga kekal sekitar AS$54 (RM242) setong berserta pengurangan empat peratus daripada pengeluaran minyak mentah keseluruhan, Malaysia masih mengalami kerugian pendapatan.

Bahang kenaikan

Diharapkan agar harga minyak mentah ini bakal meningkat sekitar AS$60 (RM269) hingga AS$70 (RM313) setong.

Dari sudut mikro pula, harga minyak mentah global yang mula meningkat pasti akan memberikan impak kepada harga petrol dan diesel di peringkat domestik.

Penulis menjangkakan keadaan ini mula berlaku tahun ini dan pengguna pasti merasai bahang kenaikan harga secara perlahan-lahan, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Penulis melihat isu kenaikan harga minyak adalah isu global yang sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dikawal.

Namun, senario ini akan memberikan faedah kepada negara pengeluar tetapi bakal membebankan pengguna. Justeru, penulis yakin pihak pemerintah pastinya sudah bersedia dengan mekanisme yang dapat membantu rakyat dalam berhadapan dengan fenomena ini.

Process time in ms: 15