INFINITI

Gabung teknologi PLC dan DAQ

Gabung teknologi PLC dan DAQ

KIT ini menyasarkan golongan pelajar jurusan teknikal menerusi subjek PLC dan DAQ.


SEJAK diperkenalkan secara komersial pada tahun 70-an, Pengawal Logik Boleh Atur Cara (PLC) telah menjadi elemen penting dalam sistem kawalan komputer industri di seluruh dunia.

PLC berperanan mengawal peranti input dan ouput berdasarkan atur cara yang diprogramkan ke atasnya.

Sistem PLC tidak asing di Malaysia dan digunakan secara meluas sama ada dalam proses mudah seperti menyalakan lampu atau kompleks seperti pengeluaran barangan di kilang.

Selain itu, PLC juga berfungsi menyediakan pelbagai analog dan input digital untuk antara muka output, pemprosesan isyarat, penukaran dan pelbagai protokol komunikasi.

Modul asas sistem ini juga agak fleksibel dan boleh dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan industri dan sektor perkilangan menerusi atur cara atau aplikasi berbeza.

Tidak hairanlah, PLC kini menjadi antara subjek penting yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk di institusi latihan dan kemahiran di negara ini khusus bagi pelajar jurusan elektrik dan elektronik.

Bagaimanapun, terdapat kekangan dan halangan untuk pengajaran subjek berkenaan seperti kepelbagaian PLC di pasaran serta kepesatan pembangunan teknologinya.

Pada masa sama, kos penyediaan kemudahan makmal PLC yang komprehensif dan moden sesuai dengan keperluan industri juga agak tinggi.

Hakikat itu mendorong dua pegawai latihan vokasional di Mara-Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor, Syaban Shamsulkamar, 30, dan Norshahida Saba, 30, mencipta kit yang boleh membantu sesi pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan dengan lebih berkesan.

Dikenali sebagai Kit Latihan Pengisihan Warna, kit tersebut turut menggabungkan sistem pemerolehan data (DAQ) yang merupakan sistem kawalan komputer industri bagi mengukur fenomena elektrikal atau fizikal seperti voltan, arus, suhu, tekanan atau bunyi dengan komputer.

Syaban yang mengajar subjek PLC di MJII berkata, idea itu timbul selepas beliau menyaksikan inovasi mesin pengisihan warna dalam satu pertandingan kemahiran di Shah Alam kira-kira tiga tahun lalu.

Limitasi sensor

Katanya, konsep mesin tersebut menggabungkan teknologi PLC dan sensor untuk mengisih sesuatu objek berdasarkan warnanya.

“Jika sensor mengesan objek berwarna biru, hanya injap yang telah diprogram untuk warna biru akan terbuka dan begitulah seterusnya.

“Bagaimanapun, wujud limitasi terhadap teknologi tersebut kerana setiap sensor berkeupayaan mengesan satu warna pada satu masa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Syaban, penggunaan sensor juga kurang praktikal kerana kosnya mahal di samping mampu menjalankan satu arahan yang telah diprogramkan pada satu-satu masa.

“Di dalam industri sebenar mungkin banyak sensor lain yang perlu digunakan serentak di dalam sesebuah mesin yang akan menyebabkan fungsinya semakin kompleks serta meningkatkan saiz mesin dan kos operasi,” jelasnya.

Tambah Syaban, berdasarkan model mesin tersebut, mereka berdua telah berjaya mencipta Kit Latihan Pengisihan Warna pada 2015.

Menariknya, kit tersebut turut mengguna pakai sistem DAQ yang merupakan antara teknologi baharu yang kini diguna pakai dalam industri tempatan.

Kamera

Katanya, kit tersebut masih mengguna pakai PLC sebagai asas namun penggunaan sensor telah digantikan dengan teknologi penglihatan berasaskan kamera.

“Kit ini menggabungkan beberapa komponen iaitu soket bekalan kuasa, gear, tali sawat, motor, butang kuasa, geganti dan kamera web selain PLC serta DAQ sebagai komponen utama.

“Sistem DAQ menjadi perantara antara komputer dan PLC. Ia boleh diprogram mengikut kehendak industri sama ada untuk mengesan perbezaan warna, dimensi, berat, suhu, tekanan dan bunyi,” ujarnya.

Sementara itu, Norshahida berkata, sistem DAQ yang diperkenalkan di rantau ini kira-kira lima tahun lalu belum digunakan secara meluas di dalam industri tempatan berbanding PLC.

“Antara faktor utama ialah teknologi ini masih baharu selain kekangan untuk mendapatkan tenaga pakar dan mahir untuk mengendalikannya.

“Sebab itu, kami menghasilkan kit ini bertujuan menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran untuk dua subjek berbeza bagi menarik minat pelajar,” katanya.

Beliau memberitahu, sistem DAQ lazim digunakan oleh industri elektronik seperti kilang-kilang semikonduktor serta industri minyak dan gas.

“Justeru, permintaan terhadap DAQ dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang sekali gus meletakkannya sebagai antara subjek penting yang perlu dikuasai.

“Sebab itu, kami sasarkan pelanggan kit ini terdiri dalam kalangan IPT dan pemain industri di negara ini kerana ia tidak mahal dan mudah dikendalikan.

“Kami berharap kehadiran kit ini di pasaran dapat meningkatkan kemahiran pekerja baharu sebelum mereka melangkah ke dalam industri sebenar,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kit itu juga boleh dikomersialkan untuk memenuhi keperluan industri terutama industri kecil dan sederhana (IKS) kerana ia mudah diselenggarakan serta menawarkan kos yang lebih murah berbanding penggunaan sistem sensor.

Anugerah

“Kunci utama kepada kit ini ialah teknologi penglihatan berasaskan kamera yang ditawarkan kerana ia boleh diumpamakan sebagai deria manusia. Gabungan PLC dan DAQ membolehkan teknologi ini dikembangkan untuk proses yang lebih kompleks menerusi satu program atau aplikasi mudah di komputer,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini kit tersebut telah meraih pelbagai anugerah menerusi pertandingan inovasi yang dianjurkan di negara ini.

Antaranya, pingat emas pada Pertandingan Inovasi dan Penciptaan Melalui Pameran 2016 (iCompEx’16); pingat perak Pertandingan dan Ekspo Inovasi Perkomputeran Peringkat Antarabangsa (ICE-CINNO 2016) dan pingat gangsa Pertandingan Penciptaan, Inovasi Teknologi dan Kejuruteraan Melalui Pameran (CiTEX) 2016.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47