STAILO

Pakaian longgar, ringkas, selesa jadi pilihan

Pakaian longgar, ringkas, selesa jadi pilihan



WALAUPUN zaman telah berubah tetapi bagaikan berada di dalam kitaran roda, fesyen yang dahulunya digayakan oleh nenek atau ibu kini dipakai semula oleh generasi muda malah ia menjadi trend kegilaan orang ramai pada ketika ini.

Perkara itu bagaikan melanda seantero dunia kerana masing-masing rancak merangka pelbagai rekaan yang menerapkan elemen 80-an tetapi dengan sentuhan moden.

Menurut pengkritik fesyen tanah air, Ayie Ali, 35, gaya yang lebih longgar, ringkas dan selesa akan menjadi ikutan penggemar fesyen seluruh dunia pada tahun 2017 kerana ramai tertarik dengan keunikan fesyen tersebut.

“Masyarakat pada ketika ini lebih cenderung mendapatkan potongan baju atau aksesori yang menyuntik pelbagai elemen dan antaranya 80-an.

“Sebagai contoh tali pinggang besar, baju longgar, gabungan rona terang dan coker merupakan identiti tahun tersebut yang kini sudah mula mendapat perhatian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Gabungan persalinan potongan kemas bersama tema sukan atau dikenali sebagai athletic inspired juga bakal menjadi fenomena sepanjang 2017. Contohnya, jogger dipadankan dengan blaus polos.

Begitu juga dengan pemilihan warna khaki dan colour-blocking juga akan dapat dilihat di kebanyakan label fesyen antarabangsa mahupun tempatan.

Jelas Ayie lagi, memang sudah menjadi kelaziman bahawa ritma fesyen terdahulu seperti 70-an, 80-an ia akan berpusing bagaikan roda sekurang-kurangnya sekitar lapan hingga 10 tahun sekali.

Ujar anak kelima daripada sembilan beradik itu, bersandarkan pemerhatian situasi fesyen tempatan, jahitan sulaman juga akan diguna pakai dengan lebih kerap pada 2017 oleh masyarakat negara ini, meskipun kehadirannya sudah mula menular pada penghujung tahun lalu.

Mengulas mengenai gaya lain yang turut memberi perubahan kepada industri fesyen 2017, Ayie berkata, tumit tinggi melebihi lima inci akan kelihatan kurang digayakan pada tahun ini.

Tudung

Sebaliknya, ia diganti dengan sepatu biasa atau sneakers selesa yang dihiasi dengan fabrik menyerlah atau hiasan emoji mahupun batu jemaki memikat hati kaum wanita.

Katanya lagi, wanita berhijab pada tahun ini akan dilihat lebih gemar memakai tudung berpotongan segi empat sepertimana kebanyakan gaya tudung wanita Turki.

“Corak pada tudung pula lebih ke arah contengan, bergaris atau geometri dengan pemilihan warna-warna floral seperti merah jambu, biru dan ungu.

“Kita akan dapat lihat begitu banyak permainan warna-warna floral dan pastel pada busana mahupun tudung menjadi pilihan orang ramai setiap tahun.

“Ini terjadi kerana ia sangat sesuai dengan cuaca di negara ini malah pada masa yang sama dapat menaikkan seri si pemakai,” jelasnya yang sudah berkecimpung dalam bidang fesyen dan kewartawanan selama 16 tahun.

Fesyen lelaki

Tutur pemuda yang berasal dari Johor itu, fesyen bagi lelaki untuk tahun 2017 pula, mereka nampaknya lebih cenderung memilih warna-warna tentera seperti hijau lumut dan fabrik denim.

Lebih menarik lagi, apabila warna hijau lumut itu digabungkan dengan rona merah mahupun teknik lakaran akrilik kerana ia mampu menyerlahkan gaya mereka apabila melaram.

Jelasnya lagi, sudah pasti elemen fesyen di negara kita banyak dipengaruhi dari negara luar tetapi kebiasaannya digabungkan dengan cita rasa tempatan.

Berbicara mengenai gaya fesyen di Malaysia, Ayie berkata, kebanyakan masyarakat tempatan tidak berani bereksperimen kerana khuatir ia tidak diterima oleh masyarakat. Sehubungan itu, mereka lebih gemar menggayakan busana-busana yang lebih ‘selamat’.

Sementara itu, seorang pereka fesyen, Nur Hazimah Ahmad Fadrullah Suhaimi, 27, atau lebih dikenali sebagai Xema Su turut menyatakan fesyen 80-an akan meletus pada tahun 2017.

“Melihatkan permintaan yang tinggi terhadap gaya itu, saya percaya ia akan menjadi gaya terhangat pada tahun ini.

“Boleh dikatakan sedikit sebanyak pelanggan inginkan suntikan elemen 80-an sama ada pada bahagian badan atau tangan dan dimodenkan,” katanya yang sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang fesyen serta rekaan.

Di samping itu, Xema Su turut menjangkakan warna floral dan hutan (hijau) bakal menjadi rona pilihan tahun 2017.

Anak sulung daripada lima beradik itu sangat dikenali dengan rekaan baju dalam wanita yang menggunakan fabrik satin dan renda dalam setiap rekaan.

Budaya

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Dr. Asliza Aris berkata, di luar negara mereka mempunyai satu badan yang menghimpunkan pereka-pereka bagi membincangkan mengenai kehendak orang ramai serta membuat ramalan fesyen untuk dua hingga lima tahun akan datang.

“Perkara itu membolehkan mereka merancang jenis gaya yang sesuai dan memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai perubahan fesyen terkini.

“Namun, perkara itu tidak berlaku di Malaysia dan fesyen kita hanya terjadi dalam masa yang singkat malah sangat sedikit pereka memberi fokus kepada trend masa hadapan,” jelasnya.

Di negara Barat, ramalan fesyen di sana lebih ke hadapan, malah mereka juga bergantung kepada faktor empat musim dalam aspek rekaan dan warna.

Bercerita mengenai fesyen 80-an yang menjadi ikutan orang ramai pada tahun ini, Asliza berkata, ia sebenarnya lumrah dalam kitaran fesyen.

Berdasarkan teori fesyen, setiap 10 tahun akan berlaku pengulangan fesyen, manakala orang-orang pada era milenium pula gemar mencuba pelbagai siluet dan mencari semula keunikan budaya masing-masing.

“Orang Malaysia beruntung kerana walaupun pada era moden tetapi tetap berpegang kepada budaya masing-masing.

“Sebagai contoh, pada musim perayaan kita akan memakai baju kurung tetapi fenomena ini berlainan di negara-negara Barat dan mereka tercari-cari identiti sehingga menerapkan elemen etnik-etnik lain untuk dijadikan inspirasi dalam rekaan fesyen mereka,” ujarnya.

Process time in ms: 32