GENK

Kreativiti pelajar cipta inovasi kitar semula

Kreativiti pelajar cipta inovasi kitar semula


SALAH seorang peserta cuba menerangkan produk inovasi hasil ciptaan pasukannya kepada juri.


INOVASI merupakan pemacu utama dalam mewujudkan peluang baharu bagi menghasilkan nilai yang lebih tinggi untuk kepentingan masyarakat dari segi sosial dan ekonomi.

Ini terhasil dengan menerapkan nilai penterjemahan idea atau ciptaan ke dalam bentuk barangan mahupun perkhidmatan sedia ada.

Proses penterjemahan itu tidak terhad kepada kepakaran pensyarah dan penyelidik universiti tetapi boleh berlaku pada setiap peringkat pembelajaran termasuk pelajar sekolah.

Dengan kesedaran itu, Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan menganjurkan pertandingan inovasi yang dinamakan Beyond Engineering Innovation (Begin) Challenge buat kali kedua di fakulti itu baru-baru ini.

Pertandingan yang melibatkan 16 pasukan dari sekolah menengah di sekitar Lembah Kelang ini membawa tema Nurture Nature, Our Future.

Prototaip

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, setiap pasukan perlu mencipta prototaip atau produk baharu dengan menggunakan barangan kitar semula.

Jelasnya, mereka yang diberi masa selama hampir dua bulan untuk menyiapkan projek itu dibimbing oleh seorang guru penasihat dari sekolah masing-masing dan seorang mentor yang merupakan pensyarah kanan dari Fakulti Kejuruteraan, UM.

“Hasil inovasi kesemua pasukan telah dinilai di Fakulti Kejuruteraan baru-baru ini oleh pensyarah yang berpengalaman dalam bidang penyelidikan.

“Dengan mempunyai pemikiran inovatif seperti ini, saya percaya mereka bakal menjadi sebahagian daripada ejen pengubah masyarakat pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau yang turut menjadi juri melahirkan rasa bangga kerana ada sebahagian pelajar yang mampu menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial.

Pasukan dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor dinobatkan sebagai pemenang dengan produk inovasi mereka yang dinamakan Caco Tiles iaitu jubin yang menggunakan sisa kulit telur sebagai bahan utama.


SELAKU juara, pasukan SBPI Gombak, Selangor membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 berserta hamper dan sijil penyertaan.


Pasukan yang terdiri daripada Haziq Abdul Wahab, Mohammad Syahrul Iqmal Mohd. Baharudin, Muiz Ahmad Jefry dan Nik Irfan Ar-Razi Mohd Asri bersama mentornya, Dr. Tan Chee Ghuan itu memukau kesemua juri dengan pembentangan yang meyakinkan di samping produk yang memenuhi kriteria pertandingan serta hampir bersedia untuk dipasarkan.

Selain daripada membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 berserta hamper dan sijil penyertaan sebagai juara, pasukan SBPI Gombak turut menawan hati pengunjung pertandingan dengan mendapat undian tertinggi bagi kategori Crowds Favourite.

Membuka minda

“Kerja keras selama hampir dua bulan ini telah membuka minda kami mengenai proses penghasilan produk inovasi. Ia turut menambahkan motivasi saya untuk menyambung pengajian ke UM,” ujar Haziq, 16, yang merupakan salah seorang peserta dari pasukan SBPI Gombak.

Naib juara Begin Challenge disandang oleh pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (1) dengan produk mereka, CM Eli Whiteboard Marker manakala tempat ketiga dimenangi Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor (2) dengan produk Biodegradable Nursery Poly Bag.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 serta RM500 berserta hamper dan sijil penyertaan.

Nor Atieqah Mohamed Noor Halim daripada SMS Hulu Selangor (2) turut dinamakan sebagai pembentang terbaik.

Sekolah-sekolah lain yang turut mengambil bahagian pada pertandingan itu ialah SMK Seri Bintang Utara, SMS Alam Shah, Cheras, SMK St. John, (Kuala Lumpur); SMK Agama, SMK Putrajaya Presint 11 (1) (Putrajaya); Sekolah Agama Menengah Bestari, SMK Seafield, Subang Jaya, SMS Banting dan SMK Bukit Sentosa 2, Rawang (Selangor).

“Pertandingan ini secara keseluruhannya berjaya menarik minat sekolah-sekolah menengah untuk memperkenalkan keperluan pemikiran inovatif kepada para pelajar mereka.

“Kami bercadang untuk mengadakan pertandingan ini di peringkat kebangsaan pada edisi 2017,” kata Dr. Khairunnisa Hasikin yang juga pensyarah kanan merangkap penasihat Begin Challenge.

Process time in ms: 31