GENK

Personaliti diri bentuk kerjaya individu

Personaliti diri bentuk kerjaya individu



“MELALUI program yang dianjurkan ini, ia sedikit sebanyak membantu saya mengenali personaliti diri sendiri dalam memilih bidang pekerjaan yang selaras dengan minat saya.

“Setelah mengikuti program ini dan hasil nasihat daripada fasilitator, saya menyedari bahawa minat saya lebih cenderung dalam bidang fotografi.

“Mungkin saya boleh ceburi bidang ini sebaik tamat alam persekolahan, sekali gus menjadikan ia sebagai satu kerjaya,” jelas Ahmad Fadzli Ahmad Mahmud, 15.

Ahmad Fadzli merupakan salah seorang daripada 65 pelajar yang mengikuti program Mencapai Kerjaya Cemerlang yang diadakan di Sekolah Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Ahmad Fadzli, dia berasa gembira kerana dapat menyertai program yang memberikan satu pengalaman yang sukar untuk diperoleh dalam bilik darjah itu.

“Ilmu seperti ini adalah sesuatu yang tiada dalam bilik darjah. Melalui aktiviti ini, kami dapat melihat kecenderungan diri dalam sesuatu bidang yang mungkin boleh dijadikan sebagai satu kerjaya pada alam pekerjaan nanti,” jelas pelajar kelahiran Taiping, Perak itu.

Seramai 54 fasilitator yang juga merupakan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sains Pembangunan Sumber Manusia terlibat menganjurkan program itu.

Ia dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan memupuk nilai setiap pelajar dari segi nilai kemanusiaan serta etika berhubung dengan tenaga kerja.

Selain itu, ia dapat memberi pengetahuan kepada pelajar untuk mengeksplorasi diri dari segi kesepadanan personaliti dengan kerjaya.

Pengarah program, Siti Norshahida Zainon, 23, berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada kerja khusus yang perlu dilaksanakan oleh mahasiswa yang mengambil bidang Sains Pembangunan Sumber Manusia.

Menurutnya, objektif utama program itu dilaksanakan adalah untuk mendedahkan pelajar sekolah mengenai personaliti dan minat mereka sebelum memasuki alam pekerjaan kelak.

Pendedahan

“Kami memberi pendedahan tentang kerjaya yang mereka boleh ceburi kelak, seiring dengan minat dan personaliti masing-masing.

“Dengan kaedah ini, ia dapat memberi peluang kepada mereka mengenali personaliti diri yang sesuai untuk kerjaya yang diminati,” jelasnya.

Tambahnya, program itu juga dapat meningkatkan pengetahuan dan memupuk nilai setiap pelajar dari segi nilai kemanusiaan serta etika berhubung dengan tenaga kerja.


Peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan yang diberikan semasa program itu berlangsung.


Bagi program kerjaya itu, teori RIASEC diaplikasikan berdasarkan minat, kebolehan dan personaliti pelajar dalam memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian.

Teori RIASEC telah diperkenalkan oleh Dr. Holland yang turut dikenali sebagai Self Directed Search.

Berdasarkan teori itu, terdapat enam jenis personaliti dalam persekitaran yang berbeza iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Berkebolehan dan Konvensional yang dapat membantu pelajar memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.

Menurut Norshahida, beberapa permainan berdasarkan teori itu diadakan bagi mengenali personaliti diri.

“Untuk permainan berkaitan dengan Realistik, ia dinamakan sebagai permainan sambung garisan. Pelajar dikehendaki untuk membuat satu garisan secara bergilir-gilir.

“Permainan ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan iaitu bagaimana kita mahu menetapkan matlamat dalam kehidupan. Personaliti Realistik mempunyai matlamat yang jelas dan tepat dalam kehidupan. Ia bersesuaian untuk kerjaya seperti jurutera dan arkitek,” katanya.

Kreatif

Selain itu, permainan Artistik dinamakan sebagai Lukisan Berantai.

Dalam permainan itu, pelajar diberikan sekeping gambar dan mereka perlu melukis gambar tersebut sebelum menunjukkan ia kepada pelajar yang lain tanpa berkomunikasi secara bergilir-gilir.

Contoh personaliti Artistik adalah seorang yang kreatif dari pelbagai sudut sama ada komunikasi, lakonan, idea dan seni.

Semasa program itu berlangsung, pelajar Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha juga diberi penerangan secara lebih terperinci tentang personaliti-personaliti yang perlu ada dalam diri mereka mengikut kerjaya yang diminati.


Para pelajar memberikan kerjasama yang baik sepanjang program itu berlangsung.


“Kami telah memilih Maahad Tahfiz Darul Fuqaha untuk melaksanakan program ini kerana ingin memberi peluang kepada pelajar terutamanya anak-anak yatim dan golongan asnaf mencungkil personaliti diri mereka yang bersesuaian dengan hala tuju pada masa hadapan.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima, para pelajar ini begitu teruja dan memberi respons positif sepanjang program ini berlangsung,” jelas Norshahida.

Dalam pada itu, salah seorang fasilitator, Fatin Najwa Uzail, 23, berkata, dia berasa gembira kerana dapat menyertai program itu dan berkongsi ilmu bersama pelajar-pelajar sekolah yang lain.

“Melalui program ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar sekolah tetapi fasilitator juga dapat meningkatkan kemahiran untuk berkomunikasi apabila berpeluang berinteraksi bersama-sama mereka.

“Komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh para pelajar sepanjang program ini juga amat baik dan ia memudahkan kami untuk berkongsi ilmu,” ujar pelajar semester ketiga itu.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Anili Ramli berkata, pihaknya menyambut baik dan amat mengalu-alukan program yang sedemikian dianjurkan di sekolahnya.

“Program ini amat bersesuaian terutamanya bagi pelajar yang berada di tingkatan lima. Kebanyakan mereka akan menamatkan sesi persekolahan dan melalui program ini, ia membantu mereka merancang hala tuju masing-masing sebaik sahaja tamat pengajian.

“Melalui program ini, mereka mengetahui kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan personaliti masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, pengisian dan ilmu yang diperoleh para pelajar sepanjang program ini berlangsung sedikit sebanyak memberi nilai tambah dalam diri masing-masing.

Process time in ms: 46