RUANG

Rumah kaca Breakfast Thieves

Rumah kaca Breakfast Thieves

PEMILIK memilih konsep cermin kaca kerana mahu keseluruhan ruang kelihatan jernih.


JALAN Riong, Bangsar, Kuala Lumpur pada hari itu sedikit sesak berbanding hari-hari biasa. Orang ramai kelihatan masuk ke dalam sebuah kafe berdinding kaca yang tertulis Breakfast Thieves biarpun waktu makan tengah hari sudah lama berlalu.

Rata-rata pengunjung mula memenuhi ruang makan kafe tersebut sambil sesekali bangun mengambil gambar memandangkan keadaan kafe yang terang menjadikan gambar yang dibidik tampak cantik.

Kunjungan kru Jurnal ke kafe tersebut disambut mesra oleh seorang jejaka tampan yang memperkenalkan dirinya sebagai Brandon Chin.

Pemilik kafe tersebut yang nama sebenarnya Brandon Chin Yoon Foong, 32, itu memberitahu, idea dan inspirasi dalam menghias kafe yang berusia lima bulan itu datang daripada cetusan fikirannya sendiri dan dibantu tiga orang rakan perniagaan yang lain.

“Konsep Breakfast Thieves ialah glass house atau rumah kaca. Kami mempunyai satu lagi rangkaian kafe ini di Melbourne, Australia dan konsep Breakfast Thieves di sana adalah menggunakan dinding kaca dengan sedikit sentuhan kayu pada hiasan dalaman.

“Jika diperhatikan, kebanyakan kafe di Australia menggunakan konsep begini bagi hiasan dalamannya kerana ia kelihatan segar dan moden. Oleh itu, kami masih mahu mengekalkan konsep dekorasi yang sama untuk cawangan kedua kami iaitu di Bangsar,” ujarnya.

Brandon yang me­rupakan ketua chef di si­tu menambah, konsep tersebut men­ja­dikan keseluruhan kawasan kafe menjadi ‘jernih’ dan pengunjung boleh melihat pemandangan di luar walau di mana sahaja mereka duduk menjamu selera.


PEMILIHAN kaca sebagai dinding menjadikan kawasan kafe kelihatan moden dan terang.


Biarpun rekaan dalaman kafe adalah idea pemilik sendiri, namun mereka tetap menggunakan khidmat pereka dalaman bagi menjadikan hasilnya lebih memuaskan.

Pereka hiasan dalaman yang dipertanggungjawabkan menyempurnakan hiasan dalaman kafe itu berjaya menjadikan ia kelihatan seperti sebuah rumah kaca yang kecil.

Pokok hijau

Laluan menuju ke bahagian pintu masuk utama Breakfast Thieves dihias cantik dengan batu-batu kecil dari rona putih sebagai penambah seri dekorasi bahagian tersebut.

Pokok-pokok menghijau pula disusun kemas di sekeliling ruang luar kafe bagi menghasilkan unsur alam semula jadi.

Di bahagian kanan pintu masuk, terdapat ruang terbuka yang dihias dengan meja panjang seakan-akan berada di bar, sesuai bagi mereka yang datang dalam kumpulan kecil.

Breakfast Thieves bermain dengan padanan kayu dan dinding kaca bagi mencipta suasana moden saat menjamu selera.

Keselesaan menjadi teras apabila melangkah masuk ke dalam ruang kafe. Kerusi dan meja disusun kemas, memudahkan pergerakan keluar dan masuk para pengunjung ke kafe yang boleh memuatkan sehingga 70 orang pada satu-satu masa itu.

Menurut seorang lagi pemilik Breakfast Thieves, Edwin Koh Wei Win, 29, konsep yang diterjemahkan menjadikan ruang kafe sebesar 148 meter persegi itu kelihatan lebih luas.

“Kami menggunakan dinding kaca sepenuhnya, manakala hiasan meja dan kerusi pula dari jenis kayu kerana kami berpendapat ia nampak sesuai dengan konsep yang dipilih.

“Dari sudut pencahayaan, kami tidak perlu meletakkan banyak lampu memandangkan cahaya semula jadi dari luar menjadikan kafe kelihatan cukup terang,” ujarnya yang menguruskan bahagian operasi Breakfast Thieves.

Bercerita lanjut, kos menata rias kafe tersebut menelan belanja sekitar RM750,000 dan pemilihan perabot menelan belanja paling besar.


BOTOL-BOTOL kaca yang disusun di ruang pembayaran mempunyai nilai seni yang tersendiri.


“Sebagai contoh, kami meletakkan tiga unit meja dari material marmar dalam kafe bagi menyuntik elemen mewah.

Cahaya semula jadi

“Sejujurnya, kos meja marmar sebegitu menelan belanja yang amat besar maka kami terpaksa mengehadkannya kepada tiga unit sahaja,” ujar Edwin Koh berseloroh.

Bagi kemasan lantai kafe pula, pemilik menggunakan lantai jenis simen kerana ia dilihat lebih ringkas dan praktikal.

Tidak gemarkan warna-warna yang terlalu terang, beberapa biji bantal segi empat sama diletakkan di satu sudut belakang ruang makan kafe sebagai penambah seri.

Memulakan operasi lima bulan lalu, Breakfast Thieves menyajikan hidangan Barat selain pencuci mulut dan kopi.

Waktu operasinya pula bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Isnin.

Bersempena sambutan Tahun Baru Cina nanti, kafe tersebut akan mula meyajikan hidangan makan malam untuk para pengunjung.

Process time in ms: 47