PESONA

40 ribu pengunjung saksi perkahwinan 42 pasangan

40 ribu pengunjung saksi perkahwinan 42 pasangan


SERAMAI 42 pasangan pengantin diraikan pada program Majlis Perkahwinan Beramai-Ramai 2016 yang julung-julung kali diadakan di Dataran Lenggong, Perak pada 16 dan 17 Disember lalu.


MAJLIS perkahwinan 42 pasangan yang berlangsung di Lenggong, Perak baru-baru ini menjadi memori terindah buat setiap pasangan apabila mereka diraikan dalam suasana penuh ceria dan meriah.

Program Majlis Perkahwinan Beramai-Ramai Parlimen Lenggong 2016 yang julung-julung kali diadakan itu menyaksikan kesemua pasangan pengantin diberi penajaan percuma daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Dianggarkan 40,000 pengunjung yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak pengantin, sahabat handai, penduduk kampung dan masyarakat di sekitar Perak hadir bagi memeriahkan majlis penuh gemilang itu.

Salah seorang pasangan yang mengambil bahagian dalam program itu, Mior Mohamad Zamred, 27, berkata, oleh kerana tidak mengeluarkan wang belanja kahwin, dia memberikan seratus peratus komitmen terhadap program itu.


SARIPAH (dua dari kanan) diiringi Shamsul (kanan) melakukan upacara merenjis air mawar kepada 42 pasangan pengantin.


Perancangan

Baginya, walaupun percuma, perkara itu tidak membuatkan dia lalai dalam menyediakan persiapan terbaik buat ahli keluarga dan isterinya.

“Hampir setahun saya dan isteri, Ummu Sofiah Mohd. Azri membuat perancangan rapi berkaitan majlis ini selepas mengetahui program itu daripada emak saudara saya pada Februari lalu.

“Beberapa siri temu duga dan perjumpaan diadakan selepas mendaftar. Mereka (pihak penganjur) ingin melihat komitmen kami sama ada kami benar-benar ingin mengikuti program ini atau sebaliknya,” katanya yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Jabatan Pengangkutan Jalan, Gerik, Perak.

Antara peralatan dan persiapan perkahwinan yang diberikan percuma adalah kad kahwin sebanyak 600 keping, baju pengantin, solekan, inai, goodies bag, makanan kenduri, mini pelamin dan fotografi.

Tambah Mior, dia berasa bertuah kerana menjadi sebagai salah satu pasangan pada majlis itu kerana ada juga beberapa pasangan yang tidak dapat mengikuti program tersebut kerana gagal memberikan komitmen masa.

“Saya bersyukur apabila dapat menyertai. Maklumlah, untuk melakukan kenduri, ia memerlukan belanja yang besar. Saya bernasib baik apabila kedua-dua belah pihak keluarga saya dan isteri bersetuju untuk meraikan perkahwinan seperti ini.

“Malah, sepupu saya juga terlibat dalam program yang buat pertama kali di Lenggong ini,” ujarnya sambil memberitahu, program seperti itu amat bagus bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.


PASANGAN pengantin diarak sejauh dua kilometer dari Dewan Kompleks Komuniti Desa Kemas Lenggong menggunakan bas dua tingkat Hop On Hop Off sehingga ke Dataran Lenggong, Perak.


Acara tahunan

Majlis Perkahwinan Beramai-Ramai Parlimen Lenggong 2016 anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong yang berlangsung di Dataran Lenggong, Perak pada 16 dan 17 Disember lalu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pada hari pertama, program itu dimulakan pada pukul 8 malam dengan jemputan kumpulan nasyid, bacaan khutbah pengantin kemudian diikuti dengan acara akad nikah. Selepas itu, diadakan majlis berinai dan persembahan marhaban.

Pada keesokan harinya, seawal pukul 8 pagi, pasangan pengantin berkumpul di Dewan Kompleks Komuniti Desa Kemas Lenggong bagi sesi solekan dan dandanan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar berkata, 42 pasangan pengantin itu diarak dengan bas dua tingkat Hop Off Hop On dan 100 buah motosikal berkuasa besar.

Tambahnya, setibanya pengantin di Dataran Lenggong, hadirin dan pasangan pengantin dihiburkan dengan pencak silat, paluan kompang dan persembahan artis, Nash.

Menurut Shamsul Anuar, konsep majlis kahwin secara percuma itu dibuat atas keprihatinan untuk membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya anak muda melangsungkan perkahwinan.

“Pihak penganjur mendapat idea untuk melaksanakan program seperti ini atas permintaan anak-anak muda juga.

“Walaupun baharu pertama kali dianjurkan, saya lihat majlis ini memberi impak yang bermakna buat masyarakat setempat yang tidak putus-putus hadir untuk memberi bantuan dan meraikan pengantin.

“Lebih menarik apabila aktiviti memasak juga dilakukan secara bergotong-royong bersama 36 buah kampung dengan bantuan empat buah Felda,” jelasnya sambil memaklumkan, tetamu dijamu dengan masakan asli dari Lenggong seperti kari batang pisang dan daging masak hitam.

Dalam pada itu, majlis perkahwinan beramai-ramai pasangan pengantin Melayu tersebut akan dijadikan acara tahunan dalam usaha menarik pelancong ke Lenggong.

“Majlis perkahwinan ini satu program yang dekat dengan rakyat. Apatah lagi dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan. Tahun depan kami akan membuat konsep yang dilakukan secara lebih tradisional.

“Saya yakin, majlis seperti ini juga boleh merapatkan hubungan sesama kita tanpa mengira latar belakang,” katanya lagi sambil memaklumkan pendaftaran bagi sesi 2017 akan diadakan pada Januari ini.

Rencana Utama!»

Kurang 10 tok dalang masih aktif

HOCK SENG menunjukkan patung-patung yang digunakannya sewaktu persembahan wayang kulit.

GenK»

Bazar Orikami TAR UC pamer produk berkualiti tinggi

Ruangan yang memaparkan kisah-kisah kejayaan para pelajar dan alumni TAR UC turut mencuri tumpuan.

Varia!»

Jaga tepi kain orang cara tangani isu sosial

Akses mudah kepada internet antara faktor kepada anak muda bebas bergaul antara satu sama lain. – Gambar hiasan

[email protected]!

Process time in ms: 32