PESONA

Melangkah ke alam persekolahan tanpa masalah pembesaran

Melangkah ke alam persekolahan tanpa masalah pembesaran



PENING Norshima Mohd. Kassim, 40, memikirkan cara memujuk anak tunggalnya Alhadif Abdul Hadi, 6, untuk menjamah makan tengah hari.

Sekali pandang, pinggan yang penuh dengan nasi berlauk ayam goreng serta sayur itu cukup meriah dan pasti membuat anak kecilnya itu berselera.

Namun, sangkaannya meleset apabila Alhadif menghabiskan ayam goreng, sebaliknya sayur disentuh hanya satu per tiga walaupun setelah puas dia memujuknya.

Wanita berasal dari Batu Pahat, Johor itu risau melihat anaknya cerewet memilih makanan dan khuatir dia tidak memperoleh nutrisi yang cukup lebih-lebih. Tambahan pula, Alhadif beberapa hari lagi akan melangkah ke darjah satu.

“Dia anak yang sangat aktif dan gemar bermain bersama rakan sebayanya pada waktu petang.

“Kelincahannya itu membuatkan saya risau kerana dia cerewet bab makan. Saya takut pembesarannya akan terganggu disebabkan pemakanannya yang tidak seimbang.

“Lebih merisaukan, Alhadif lebih gemar makanan segera seperti mi segera, makanan ringan dan snek pada waktu lapang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagi meredakan kerisauannya itu, Noorshima membuat sedikit pencarian di laman web berkenaan pemakanan sihat dan mendapatkan nasihat doktor bagi mengetahui tahap kesihatan perkembangan anaknya.

Dia tahu, hanya dengan mengamalkan pemakanan seimbang, anaknya mampu membesar tanpa ada sebarang masalah pembesaran seperti pembantutan.

Pakar Pediatrik, Dr. Tan Gek Leng berkata, kekurangan nutrien dalam kalangan kanak-kanak merupakan senario yang lazim berlaku pada peringkat prasekolah dan tadika seluruh negara.

Normal

Ini kerana kebanyakan ibu bapa sering menganggap cerewet makan adalah perkara normal dan percaya pembesaran mereka hanya tertumpu pada di usia remaja.

“Walaupun senario tersebut lazim berlaku, ia tidak seharusnya dianggap normal.

“Kanak-kanak yang cerewet makan dengan lebih memilih makanan ringan atau segera berbanding yang berkhasiat tidak akan mendapat nutrisi pemakanan secukupnya.

“Disebabkan kanak-kanak ini tidak mendapat kesemua vitamin, mineral, protein dan karbohidrat yang diperlukan untuk pembesaran, mereka tidak dapat membesar dengan baik,” katanya.

Rentetan itu, pembesaran kanak-kanak yang terganggu akan menyebabkan masalah pembantutan dalam kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa menganggap anak-anak yang rendah adalah disebabkan faktor genetik tetapi faktor pemakanan turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kekerapan pembantutan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun adalah sebanyak 17.7 peratus manakala peratusan kanak-kanak yang kurang berat badan di bawah usia lima tahun ialah 12.4 peratus.

Kedua-dua masalah tersebut adalah disebabkan faktor amalan pemakanan yang tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak.


SELAIN persiapan membeli peralatan dan pakaian sekolah, ibu bapa juga perlu mengutamakan kesihatan anak-anak. – Gambar hiasan


Pemakanan sihat

Ia diburukkan lagi dengan rantaian masalah lain seperti sistem imunisasi yang lemah disebabkan kekurangan nutrisi.

“Sistem imunisasi berkait rapat dengan pengambilan nutrisi daripada pemakanan. Kanak-kanak yang tidak mengamalkan pemakanan sihat berisiko untuk jatuh sakit dan dijangkiti penyakit.

“Jatuh sakit akan menyebabkan kanak-kanak kurang selera makan dan makan dalam kuantiti yang sedikit.

“Kitaran yang tidak sihat ini akan berterusan sehingga akhirnya pembesaran mereka terbantut,” katanya.

Beliau menambah, masalah cerewet makan tidak akan hilang dengan sendirinya ketika kanak-kanak menginjak usia remaja.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa untuk mengawasi pembesaran anak-anak dan mendapatkan bantuan daripada pakar pediatrik berhubung masalah tersebut.

Menurutnya, masalah cerewet makan perlu diselesaikan dari awal kerana pembesaran anak-anak yang terganggu bukan sahaja menjejaskan prestasi kesihatan malah akademik dan perkembangan otak.

Doktor boleh menilai pembesaran kanak-kanak berdasarkan ketinggian dan berat badan serta menentukan sekiranya mereka membesar secara optimum.

Menerusi pemeriksaan tersebut, doktor dapat menentukan anak-anak anda cerewet makan dan tindakan yang boleh diambil.

Selain itu, doktor boleh memberikan tip untuk membantu anak-anak mengambil pemakanan seimbang atau tambahan untuk membantu tumbesaran.

“Makanan tambahan akan meningkatkan pembesaran kanak-kanak. Pemakanan yang mencukupi membolehkan sistem imun mereka menjadi lebih kuat dan hari sakit dapat dikurangkan.

“Semua ini akan menjadikan kanak-kanak lebih peka dan aktif sekali gus mendapat manfaat sepenuhnya ketika di sekolah,” jelasnya.


KANAK-KANAK berumur lima hingga 10 tahun memerlukan tidur selama 11 jam sehari. – Gambar hiasan


Keperluan

Sementara itu, Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia, Profesor Madya Dr. Azhar Md. Adnan berkata, perkembangan kanak-kanak adalah berkait rapat dengan faktor pemakanan, tidur dan juga kasih sayang yang mencukupi.

Menurutnya, kekurangan salah satu keperluan itu akan memberi kesan terhadap perkembangan dan sikap kanak-kanak.

Justeru itu, ibu bapa perlu peka dengan tanda-tanda masalah perkembangan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak supaya langkah awal dalam mengatasi masalah tersebut dapat diambil.

Antara tanda-tanda masalah perkembangan yang paling mudah untuk dikenal pasti adalah kerap jatuh sakit, mengantuk dan rendah berbanding rakan sebaya.

“Kanak-kanak yang mudah jatuh sakit adalah disebabkan ketidakcukupan nutrisi daripada pemakanan yang diambil dan juga tidur yang tidak mencukupi.

“Mereka yang tidur lewat sukar bangun awal untuk ke sekolah menyebabkan masing-masing tidak sempat bersarapan.

“Akhirnya, kanak-kanak tersebut berasa letih dan lapar di sekolah,” katanya.

Jelasnya, keadaan tersebut akan mengakibatkan fokus kanak-kanak sepanjang sesi persekolahan terganggu.

Selain itu, ibu bapa perlu prihatin jika kanak-kanak mempunyai masalah tingkah laku dan enggan ke sekolah.

“Adakalanya tingkah laku kanak-kanak di sekolah dengan mengganggu rakan lain berpunca daripada mereka letih dan tidak mendapat sarapan yang mencukupi,” ujarnya.

Ibu bapa perlu lebih prihatin mengenai faktor pemakanan kerana kesihatan kanak-kanak akan mengundang implikasi sosial dalam diri kanak-kanak.

Rencana Utama!»

Kurang 10 tok dalang masih aktif

HOCK SENG menunjukkan patung-patung yang digunakannya sewaktu persembahan wayang kulit.

GenK»

Bazar Orikami TAR UC pamer produk berkualiti tinggi

Ruangan yang memaparkan kisah-kisah kejayaan para pelajar dan alumni TAR UC turut mencuri tumpuan.

Varia!»

Jaga tepi kain orang cara tangani isu sosial

Akses mudah kepada internet antara faktor kepada anak muda bebas bergaul antara satu sama lain. – Gambar hiasan

[email protected]!

Process time in ms: 31