HORIZON

Kembara memburu air terjun Sintok

Kembara memburu air terjun Sintok


Seramai 40 peserta mengambil bahagian dalam Ekspedisi 4x4 Ke Air Terjun Sintok.


RIMBA belantara yang sunyi sepi hanya bertemankan unggas dan suara alam bersahutan tiba-tiba dikejutkan dengan deruman 15 buah jentera 4x4 yang terbabit dalam Ekspedisi 4x4 Ke Air Terjun Sintok, Kedah.

Meredah lumpur, bermain selut, mendaki bukit, cerun curam dan berdepan pokok tumbang antara cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh para peserta dalam aktiviti selama sehari itu.

Ketua Ekspedisi, Mohd. Tarmizi Musa berkata, Kelab 4x4 Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok mengadakan aktiviti perkhemahan itu untuk memberi pengalaman kepada peserta beraksi di trek yang terdapat di UUM sambil melihat air terjun Sintok.

“Ekspedisi ini amat dinantikan-nantikan pencinta 4x4 untuk beraksi sambil merehatkan minda menyaksikan keindahan alam semula jadi di samping mengeratkan silaturahim.

“Sebelum datang ke sini, kami melakukan persiapan seminggu lebih awal dengan mendirikan khemah dan keperluan untuk peserta bermalam di kem,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kembara itu turut disertai oleh Kelab Pajero Malaysia (Utara) dan Kelab Jimny Samurai Malaysia dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis yang membabitkan 40 peserta termasuk mahasiswa UUM.

Salah seorang peserta, Dr. Mohd Shamrie Sainin berkata, kembara itu bermula dari kem UUM 4x4 Sintok melalui Gate 3 yang terletak di belakang padang golf sehingga ke sempadan UUM.

Katanya, sepanjang kembara itu, dia ditugaskan di posisi depan yang menuntut kepekaan dengan persekitaran untuk melancarkan perjalanan.

“Sebagai pemandu di hadapan, saya bergerak terlebih dulu bagi melapor keadaan jalan. Sekiranya ada halangan saya akan beri arahan kepada peserta melalui penggunaan radio amatur,” jelasnya.

Semakin jauh ke dalam hutan simpan laluan off-road semakin sukar terutamanya masalah pokok tumbang yang memerlukan para peserta turun membersihkan laluan.


SEORANG peserta meredah laluan berlumpur sebelum tiba ke lokasi perkhemahan.


Selepas hampir tiga jam meredah hutan, peserta akhirnya tiba di kawasan lapang sebelum berjalan selama 15 minit menuju ke kawasan air terjun.

Air terjun yang terletak di dalam Hutan Simpan berdekatan pos sempadan Malaysia-Thailand itu masih kekal terpelihara. Menariknya, walaupun air terjun batuan ini bersaiz kecil, namun ketinggiannya ialah 18 meter.

Seorang lagi peserta, Roselina Abdullah, 18, memaklumkan, ekspedisi itu memberi peluang kepadanya untuk mendalami ilmu pemanduan ketika menempuh halangan seperti lumpur, mendaki dan menuruni bukit.

Katanya, sepanjang pengembaraan juga pihak penganjur sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan peserta.

“UUM mempunyai hutan yang berpotensi untuk penggemar off-road sama ada novice atau hardcore beraksi menguji skil dan kecekapan.

“Walaupun penat, perasaan lelah terus hilang selepas melihat keindahan hutan dan air terjun,” katanya.

Process time in ms: 31