HORIZON

Panorama nan indah di Tebing Moher, Ireland

Panorama nan indah di Tebing Moher, Ireland


Penulis tidak melepaskan peluang menikmati bayu laut yang berhembus dari puncak Tebing Moher.


LAWATAN ke Ireland merupakan kesinambungan daripada siri jelajah Eropah saya dan rakan, Nurfarahin Yusof. Kami memilih untuk ke Ireland selepas melawat dua kota metropolitan lain iaitu London dan Paris.

Dari Lapangan Terbang Beauvais–Tillé, Paris, kami menaiki penerbangan kos rendah, Ryanair terus ke Lapangan Terbang Dublin.

Kunjungan ke Dublin pada asalnya tidak termasuk dalam jadual perjalanan kami. Namun, jemputan daripada seorang rakan yang belajar di sana, Habib menyebabkan kami memutuskan untuk melawat ibu negara dan bandar raya terbesar di Ireland itu dan menumpang di rumah keluarganya selama tiga hari dua malam.

Kota Dublin terletak di bahagian pantai timur Ireland, atau lebih tepat di muara Sungai Liffey yang melintang indah di tengah-tengah bandar.

Cuaca pada masa itu sangat berangin. Suhu yang dicatatkan pula ialah 12 darjah Celsius pada waktu siang dan boleh mencapai 5 darjah Celsius pada waktu malam.

Apabila berada di sini, tidak sah sekiranya tidak mengunjungi tarikan pelancongan yang disediakan. Kami tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan potret kenangan berlatarbelakangkan mercu tanda terkenal Dublin iaitu monumen berbentuk jarum setinggi 120 meter, Spire of Dublin.

Tidak ketinggalan, kami juga menikmati kekuningan musim luruh di Taman St. Stephen’s Green, membeli-belah di Jalan Grafton, menghirup coklat panas di Kafe Butlers Chocolate sambil melayani alunan gemersik daripada pemuzik jalanan dan menghayati kehidupan malam hari di Temple Bar.

Kami sempat mengunjungi Hard Rock Cafe Dublin yang terletak berdekatan dengan Temple Bar bagi mendapatkan koleksi magnet edisi Dublin sebagai tanda kenangan.

Tidak susah untuk mendapatkan makanan halal di sini. Pelancong boleh mencuba di Restoran Zaytoon Persian Cuisine yang terletak di Jalan Parlimen ataupun pergi sahaja ke Jalan Capel kerana terdapat beberapa kedai makanan Lebanon yang menjual makanan halal seperti kebab.

Sejujurnya penulis berasa sangat tenang dan selamat di Kota Dublin ini. Keadaan sekelilingnya bersih manakala penduduknya juga ramah sehinggakan ada yang cuba membantu apabila melihat peta di tangan dan menyangkakan kami telah sesat sedangkan kami sudah tahu jalan untuk ke lokasi tersebut kerana ditemani Habib.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan itu menyentuh hati kami.

Kami sangat berterima kasih dan menawarkan untuk membawa mereka bersiar-siar sekiranya datang ke Kuala Lumpur.

Sebenarnya, agenda utama kami ke negara Ireland adalah untuk menakluk Tebing Moher. Ia merupakan tarikan utama pelancong ke Ireland. Banyak penggambaran dilakukan di sini seperti filem Harry Porter and The Half Blood Prince dan PS I Love You.


Kaunter Informasi Pelancongan menawarkan pakej pelancongan sehari ke Tebing Moher pada harga RM211 seorang.


Tebing Moher

Tebing Moher terletak di pinggir barat daya wilayah Burren di County Clare, Ireland dan mengambil masa lebih kurang lima jam dari bandar Dublin. Ia berketinggian 120 meter di atas Lautan Atlantik di Hag’s Head iaitu titik paling selatan di Tebing Moher dan mencapai ketinggian maksimum 214 meter secara keseluruhan.

Apa yang paling mengujakan ialah keadaan angin ketika itu sangat kencang sehingga kami terpaksa perlahan-lahan menyusuri pesisiran tebing yang curam dan agak menggerunkan kerana tiada pemegang tangan untuk berpaut. Suhu pula di antara 7 darjah Celsius dan boleh mencecah sehingga 3 darjah Celsius!

Satu kepuasan yang sukar diungkap apabila kami berjaya sampai ke hujung tebing selepas hampir satu jam bergelut dengan angin kencang. Panorama memukau menghadap tebing-tebing dan lautan yang tidak berpenghujung itu sangat mengagumkan. Tanpa gagal, ia mengundang keinsafan dalam diri akan betapa terperinci dan indahnya ciptaan Tuhan.

Namun, faktor cuaca yang tidak berapa baik membuatkan pemandu pelancong meminta kami segera menaiki bas untuk pulang ke Dublin.

Bagi mereka yang inginkan pelancongan mudah urus, saya sarankan supaya mengambil pakej 1 Day Tour Cliffs Of Moher yang banyak ditawarkan di Kaunter Informasi Pelancongan di Dublin.

Pada harga €45 (RM211) seorang, pakej ini merangkumi tiket pergi dan balik ke Tebing Moher serta beberapa lokasi persinggahan sehala termasuk The Burren, Galway Bay dan Limerick.


PENGHASILAN coklat di Kilang Coklat Hazel Mountain dalam kuantiti terhad menjadikannya lebih eksklusif.


Kilang coklat

Buat pelancong beragama Islam, anda dinasihatkan untuk membawa bekalan makanan sendiri kerana bas akan berhenti di satu kafe untuk makan tengah hari. Malangnya, ia tidak halal dan saya yakin anda akan berasa sangat lapar selepas mendaki.

Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di biara Corcomroe Abbey dan Kilang Coklat Hazel Mountain.

Kilang Coklat Hazel Mountain antara lokasi tumpuan terutama buat pencinta coklat. Kilang yang terletak di kaki bukit Burren itu merupakan salah satu kilang coklat yang paling kecil dan jauh di dunia.

Coklat di situ dibuat dalam jumlah yang terhad dan menggunakan bahan tenusu daripada lembu yang diberi makan rumput sahaja. Tidak keterlaluan jika penulis katakan ia coklat paling sedap yang pernah dirasa sehingga berjaya membuatkan penulis yang tidak sukakan coklat jatuh cinta pada rasanya.

Kami tiba di Dublin pada pukul 8 malam. Tidak dinafikan kami berasa sangat penat namun pengalaman yang diperoleh dalam tempoh 12 jam itu sangat berbaloi untuk dikenang terutama saat mencabar menyelusuri Tebing Moher.

Walaupun masih berbaki penat, namun kami perlu segera ke Lapangan Terbang Dublin pada pukul 3 pagi untuk penerbangan balik ke London kerana kami berangkat pulang ke Malaysia dari sana.

Secara rumusan, lawatan kami ke Ireland sangat berharga walaupun sempat melawat beberapa tempat sahaja. Ketenangan yang diperoleh di sana membuatkan saya tidak teragak-agak untuk melawat lagi jika berkelapangan nanti.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 32