STAILO

Gaya jalanan versi Nerdunit

Gaya jalanan versi Nerdunit


PAKAIAN Nerdunit banyak menggunakan fabrik kapas.


KEMUNCULAN fesyen jalanan membuka dimensi baharu dalam gaya pakaian harian dan mengangkat fesyen yang dahulunya kurang mendapat perhatian dalam kelasnya yang tersendiri.

Menjadi gaya yang semakin popular dalam kalangan penggemar fesyen, gaya jalanan bukan ringkas tetapi mempunyai trend tersendiri dan sangat praktikal untuk kegunaan harian.

Membawakan seleksi pakaian jalanan dalam elemen hitam dan putih, jenama Nerdunit memberikan kelainan dalam penggayaan harian penggemar fesyen dengan elemen-elemen tersendiri.

Jenama Nerdunit diasaskan oleh anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Ronald Chew pada tahun 2012 yang mendapat ilham untuk menghasilkan koleksi pakaian sendiri semasa pengajian peringkat Sarjana Muda Seni Reka Grafik di San Fransisco, Amerika Syarikat.


BAJU ini merupakan pakaian uniseks yang selesa dipakai.


“Nerdunit bermula semasa saya di San Fransisco. Ketika itu, saya hanya menjual baju-T bercetak secara separuh masa. Melihat kepada permintaan yang menggalakkan, saya mendapat idea untuk membuat koleksi sendiri setelah kembali ke Malaysia.

“Pada peringkat awal, saya memulakan bisnes secara online sebelum bertapak di Singapura, seterusnya berkembang di pasaran Malaysia, Thailand, Taiwan dan Nigeria dalam tempoh empat tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jenama Nerdunit menampilkan koleksi pakaian dalam konsep hip hop dan minimal. Ia turut mendukung tribute gaya hidup ketenteraan dalam terjemahan kemas, ringkas, santai dan bergaya. Ia terdiri daripada seleksi baju-T, jaket, baju panas, seluar, kasut, topi dan aksesori.

Nerdunit juga membawa maksud yang mendalam di sebalik akronimnya, Ia singkatan kepada setiap orang tidak mati sepenuhnya tetapi meninggalkan legasi yang tidak akan dilupakan.

Memfokuskan golongan muda, koleksi Nerdunit merupakan pakaian uniseks sedia pakai yang sangat selesa dan mengikut trend semasa.


SELEKSI pakaian jalanan Nerdunit dalam elemen hitam dan putih.


Banyak bermain dengan fabrik kapas, persalinan Nerdunit juga membawa signatur tersendiri melalui perincian cetakan, tag relang kunci dan terkini cetakan refleks yang memantulkan cahaya.

Dijual pada harga RM99 hingga RM399, koleksi Nerdunit boleh didapati di semua peruncit dan butik Nerdunit seluruh dunia.

Ronald juga memberitahu bahawa pihaknya juga bakal melebarkan sayap ke Shanghai, China dan Jakarta, Indonesia serta terlibat dalam sebuah pertunjukan fesyen di London.

Process time in ms: 32