STAILO

Pahit getir seorang pereka ternama

Pahit getir seorang pereka ternama



MINATNYA terhadap dunia fesyen sudah tersemat sejak kecil. Permainan patung kertas dengan pelbagai persalinan merupakan kegemarannya ketika melewati umur lima tahun.

Selain bermain dengan pakaian patung kertas sedia ada, pereka fesyen yang berasal dari Perak, Keith Kee turut menghasilkan pakaian kertas sendiri untuk dipadankan pada patung kertas milik kakaknya.

“Sejak kecil saya gemar bermain mainan kakak saya terutama patung kertasnya sehingga pada umur tujuh tahun, saya beralih pula dengan mereka pakaian patung Barbie miliknya.

“Pada ketika itu, minat saya terhadap fesyen mula berputik, selepas ramai anak-anak jiran melihat pakaian patung Barbie kakak, mereka juga mahu pakaian sendiri dan meminta saya menjahitnya,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Identiti

Keith Kee merupakan antara pereka senior yang mempunyai pengaruh yang besar di Malaysia. Sudah bertapak selama 15 tahun dalam industri fesyen, graduan fesyen daripada Akademi Hagihara, Pulau Pinang itu dikenali dengan identiti fesyen kelas atasan dalam terjemahan pakaian tradisional masyarakat Cina, ceongsam dan pakaian perkahwinan.

Meskipun tidak sinonim dalam pasaran fesyen Melayu, Keith Kee mempunyai rekod karier tersendiri yang secara tidak langsung mengharumkan nama negara di persada fesyen antarabangsa.

Membesar dalam keluarga yang sederhana, perjalanan Keith untuk menempa nama tidak mudah. Dia melalui banyak pahit getir untuk meniti perjalanan ke puncak kejayaannya kini.

Selepas menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, dia nekad untuk meneruskan pelajaran dalam bidang fesyen. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan belajar di sebuah institut pendidikan swasta di sana.

Namun, dek kesempitan wang dan kadar yuran yang tinggi, Keith terpaksa melupakan hasratnya. Dia kembali ke kampung halamannya sebelum mendapat peluang menyambung kembali pengajian di Akademi Hagihara, Pulau Pinang.


KEITH turut membuat pakaian gaun makan malam.


Pelajar terbaik

Peluang menyambung pengajian di akademi fesyen itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Keith. Meskipun namanya popular dek kelewatannya membayar yuran bulanan, Keith sentiasa mencari peluang untuk menimba ilmu tambahan dalam kelas yang tidak terkandung dalam silibusnya.

Sepanjang tempoh pengajian, Keith merupakan antara pelajar yang cemerlang dan sentiasa menyiapkan tugasan awal. Dia juga bekerja secara sambilan dan aktif menyertai pertandingan rekaan fesyen.

Antara kejayaan yang pernah dikecapinya pada tahun 1997 ialah mendapat tempat pertama dalam pertandingan rekaan corak seluar jean jenama antarabangsa, Levi’s.

Berkat keazaman dan kesungguhannya, pengajian selama dua tahun itu membuahkan hasil apabila Keith dianugerahkan sebagai pelajar terbaik pada tahun 1998.

Selepas tamat pengajian, Keith tidak membuang masa, sebaliknya terus mengejar cita-cita untuk berkecimpung dalam dunia fesyen dan berhijrah ke Kuala Lumpur semula untuk bekerja.

Ternyata kejayaan di kampus bukan pengukur kejayaan di dunia realiti. Selama beberapa tahun, Keith banyak bertukar-tukar kerja bermula dengan syarikat jenama pakaian sedia pakai sehingga pakaian perkahwinan tempatan sebelum memulakan perniagaan sendiri pada tahun 2005.

Masih mekar di ingatannya setiap memori semasa bekerja, Keith memberitahu, dia sering melakukan kesilapan padanan dan kerap dimarahi majikan kerana silap membuat pakaian pelanggan.

Legasi

Ada antara saatnya dia menukar kerja kerana genre pakaian syarikat tersebut tidak seiring dengan jiwanya. Keith lebih gemar menjadikan wanita tampak lebih cantik dalam sentuhan glamor.

Keputusannya untuk menjalankan perniagaan sendiri merupakan titik tolak kepada legasi fesyen yang selama ini menjadi idamannya.


KEITH sentiasa menghasilkan pakaian berkonsepkan fesyen kelas atasan.


Permulaan yang getir dengan bermodalkan wang yang dipinjam daripada rakan-rakan dan berbekalkan azam yang tinggi, kegiatan perniagaan yang bermula dengan pakaian pengantin dijual dari pintu ke pintu butik membawa kepada pembukaan butik sendiri di Pulau Pinang, seterusnya di Kuala Lumpur.

Dilatih dengan teknik pembuatan cheongsam Keith percaya bahawa tiada kejayaan tanpa usaha. Selama 15 tahun, Keith kekal dengan pengaruh signatur fesyen klasik dari China.

“Pengalaman hidup banyak mengajar saya menjadi lebih tabah. Dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya tidak pernah putus asa untuk membawa fesyen dalam industri tempatan dan antarabangsa.

“Tiada kejayaan yang datang bergolek, segala penolakan dan kritikan adalah pembakar untuk saya menjadi lebih baik. Kepuasan saya ialah melihat senyuman pada wajah pelanggan ketika menyarungkan rekaan saya dan itu sudah memberi makna yang besar sepanjang menjadi pereka fesyen,” jelasnya yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Di bawah jenama Keith Kee Couture, Keith mengambil langkah sederhana untuk berkembang dengan legasi fesyennya. Kekal dengan pengeluaran secara tempahan, dia sangat menitikberatkan padanan yang ideal untuk pelanggannya.

Selesa dengan rekaan potongan teknik ceongsam, Keith juga dikenali dengan tangan magis menjadikan tubuh wanita tampak cantik dan kemas ketika berpakaian.

Selain memberi fokus kepada perniagaan, Keith turut terlibat dalam pelbagai pertunjukan fesyen. Dia juga berkolaborasi dengan selebriti tempatan dan pernah menjahit pakaian harian serta gaun makan malam Wanita Pertama Sri Lanka pada tahun 2011 hingga 2014.

Keith turut terlibat dalam pelbagai acara antarabangsa dan membuat pakaian untuk acara pertandingan ratu cantik di China, Hong Kong, dan Korea Selatan. Dia juga pernah membuat penampilan di Paris sempena Pelancaran Global Minggu Fesyen Malaysia di sana.

Sepanjang kariernya Keith memberitahu, dinobatkan sebagai Best Showcase Designer Of The Year pada malam anugerah Mercedez-Benz Stylo Asia Fashion Festival Award di Kuala Lumpur, Mac lalu merupakan kenangan manis buatnya.

Pada November lalu, Keith meraikan ulang tahun ke-15nya dengan lima koleksi dan 60 rekaan pakaian tahun 2017 yang menterjemahkan rekaan signatur sepanjang bergelar pereka fesyen.

Acara gilang-gemilang yang diadakan di Hotel Pullman KLCC itu juga merupakan keraian yang bermakna buat lelaki ini yang mereka fesyen veteran untuk pakaian glamor dan perkahwinan di Malaysia.

Process time in ms: 47