GENK

Mahasiswa UM mendalami budaya masyarakat China

Mahasiswa UM mendalami budaya masyarakat China


PARA PESERTA tidak melepaskan peluang bergambar bersama-sama ketika berada di SCUT, Guangzhou, China.


“MENUNTUT ilmu biarlah sampai ke negara China.”

Itu antara pepatah yang sering kita dengar bagi mereka yang tidak pernah jemu untuk menimba ilmu.

Simbolik di sebalik pepatah itu, seseorang individu akan sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan menimba ilmu sebanyak mungkin, tidak kira ke mana mereka perlu pergi, hatta ke negeri China sekali pun.

Baru-baru ini, sekumpulan 16 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah bukan sahaja mengambil makna literal pepatah itu dengan menjejaki negara Tembok Besar tersebut tetapi mereka menimba ilmu budaya tamadun China dan menjalin hubungan mesra antara dua negara.

Program yang dinamakan sebagai UM-SCUT Catalyst Project itu berlangsung selama tujuh hari enam malam di Universiti Teknologi Selatan China (SCUT) di Guangzhou, China.

Para peserta ditempatkan di kediaman pelajar antarabangsa yang agak selesa dan terletak di dalam kampus.

Kampus yang ditubuhkan sejak tahun 1952 oleh Sun Yat Sen, presiden pertama China itu merupakan antara bukti mengenai kepentingan pendidikan tinggi yang diimpikan oleh pemimpin negara China untuk rakyatnya.

Acara yang diilhamkan oleh para pelajar dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah itu berhasrat untuk merealisasikan sebuah program di peringkat antarabangsa yang bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek kepada para peserta tetapi turut membawa nilai tambah kepada keseluruhan warga kampus UM.

“Program ini amat unik kerana kami bukan sahaja berjaya mendalami secara dekat unsur-unsur budaya Cina, namun secara rasminya turut memeterai perjanjian usaha sama dengan SCUT untuk program aktiviti pelajar dengan universiti antarabangsa.


Peserta diberi peluang untuk mempelajari seni mempertahankan diri.


“Selain itu, pelajar SCUT bakal mengunjungi Malaysia pada tahun hadapan dan mereka berpeluang untuk mempelajari budaya Malaysia secara dekat,” jelas Pegawai kebudayaan UM merangkap penasihat program, Aida Nurul Ain Abd. Rahman.

Dalam pada itu, seorang peserta program, Zainul Hakim Shazni Zainul Fuad, 22, berkata, kunjungan ke negara Tembok Besar itu menjadi satu kenangan manis baginya sebaik menamatkan pengajian kelak.

“Tidak terlintas di fikiran yang saya akan menjejakkan kaki ke bumi China dan mendalami budaya mereka.

“Saya juga berpeluang mengenali pelajar-pelajar tempatan dan kami berkongsi cerita antara satu sama lain mengenai budaya negara masing-masing,” jelas pelajar Fakulti Pendidikan itu.

Zainul Hakim juga fasih berbahasa Mandarin dan sentiasa menjadi tumpuan rakan serta guru bahasa semasa program di SCUT itu berlangsung.

Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah kelas bahasa Mandarin, kaligrafi, kraf tangan memotong kertas dan ilmu pertahanan diri.

Budaya tradisional

Walaupun ada antara delegasi UM mampu membaca dan menulis bahasa Mandarin dengan baik, peluang untuk menulis menggunakan teknik kaligrafi yang betul dengan bantuan pakar dari China adalah sesuatu yang sangat berharga.

Penghasilan kraf tangan potongan kertas mengikut teknik tradisional China pula telah membuka mata para peserta kepada kepentingan mempelajari unsur budaya silam supaya dapat dipelihara untuk generasi akan datang.


Pelajar dari SCUT juga diajar cara-cara bermain congkak.


Sementara itu, pelajar tahun kedua jurusan Seni Bina UM, Rashidah Kamaluddin, 21, melahirkan kegembiraan kerana berpeluang mempelajari seni mempertahankan diri.

“Saya tidak menyangka gerakan yang begitu lembut, sebenarnya mampu mengalahkan musuh yang datang menyerang.

“Jika berpeluang lagi, saya ingin datang dan mempelajari seni mempertahankan diri ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, pelajar-pelajar SCUT juga diberi peluang untuk mempelajari budaya, pakaian dan permainan tradisional dari Malaysia.

Walaupun agak kekok pada mulanya, mereka mampu melakukan setelah mencuba beberapa kali kerana terdapat persamaan antara gerak tari Melayu dan permainan tradisional Malaysia yang dibawa.

Ketika bermain congkak misalnya, sorakan yang kuat dapat didengari apabila pelajar SCUT berjaya mengalahkan pelajar UM setelah mencubanya untuk beberapa pusingan permainan.

Delegasi UM turut mengambil peluang melawat tempat-tempat menarik sekitar Guangzhou antaranya Pearl River dan Canton Tower, Yuexiu Park, Shamian Island, dan Bright Filial Piety Temple.

Ada antara tempat-tempat bersejarah ini telah wujud sejak zaman Dinasti Song dan Qing lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UM, Prof. Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, program pertukaran seperti ini memang digalakkan kerana mampu mendedahkan mahasiswa kepada dunia luar.

“Sesuatu yang amat diperlukan oleh pelajar pada era globalisasi ini untuk melihat tentang dunia luar secara mata kasar daripada pelbagai aspek kehidupan.

“Ia akan membantu pelajar membina jati diri mereka untuk menempuh alam pekerjaan yang begitu kompetitif sebaik sahaja menamatkan pengajian kelak,” jelasnya.

Process time in ms: 31