GENK

Konservator rawat, pelihara artifak di muzium

Konservator rawat, pelihara artifak di muzium



SEBAIK melangkah ke mana-mana muzium sama ada dalam mahupun luar negara, perasaan teruja serta kagum melihat pelbagai artifak peninggalan warisan terdahulu, pasti terbit dalam sanubari setiap pengunjung.

Apatah lagi, artifak yang tersusun indah dalam balang kaca sambil disusuli dengan arena penceritaannya di sudut tepi, sedikit sebanyak merangsang daya kreatif seseorang untuk berimaginasi seolah-olah berada dalam dunia tersebut.

Itulah kekuatan muzium biarpun ketika ini terdapat segelintir masyarakat menganggap pusat pengumpulan artifak itu sebagai satu platform membosankan.

Muhammad Harraz Harun, 17, berkata, kedatangannya ke Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini bukanlah melawat ke muzium berkenaan semata-mata, tetapi menyertai Kem Konservator Remaja iaitu program menguruskan artifak di muzium.

Tugas

“Pada program ini, kami didedahkan bahawa setiap artifak yang terdapat di muzium akan dibaik pulih dan dipelihara oleh konservator dan bukannya kurator.

“Kurator ialah mereka yang bertanggungjawab mencari maklumat mengenai sejarah bahan itu dan memahami setiap koleksi yang berjaya diperoleh oleh muzium,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada program tersebut.

Program sehari yang julung-julung kali diadakan itu disertai seramai 20 orang peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah berumur sembilan hingga 17 tahun.

Ia anjuran Bahagian Pengurusan Konservasi, Jabatan Muzium Negara dengan setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM40.

Konservator Bahagian Pengurusan Konservasi, Jabatan Muzium Negara, Muhamad Faiz Azizan berkata, dalam program berkenaan, para peserta didedahkan dengan tanggungjawab dan tugas-tugas seorang konservator.


MUHAMAD FAIZ (kiri) memberikan taklimat mengenai urus kerja di Makmal Konservasi, Muzium Negara.


“Antara tugas konservator ialah membuat rawatan agar dapat memanjangkan hayat artifak untuk tatapan generasi akan datang.

Muhamad Faiz mengakui, bukan mudah proses rawatan konservasi dilakukan kerana ia memerlukan satu penelitian rapi serta bergalas kesabaran jitu, apatah lagi bekerja dengan koleksi artifak yang mudah rosak, pecah serta koyak.

Katanya, sesuatu proses rawatan konservasi itu bermula sebaik sahaja konservator menerima artifak baharu sama ada koleksi kerajaan untuk dijaga, individu ataupun daripada koleksi Muzium Negara sendiri.

Semasa proses tersebut, sesuatu artifak itu akan dikenal pasti dahulu bahan pembuatannya sama ada berasaskan logam, kertas mahupun tembikar.

Asing barang

Menurut Muhamad Faiz proses pertama ini amat penting kerana rawatan seterusnya berdasarkan daripada klasifikasi yang telah dibuat.

“Sesuatu proses rawatan itu akan bergantung kepada kepakaran seseorang konservator. Sekiranya konservator itu mahir dalam logam, mereka hanya akan ditugaskan merawat semua yang berkaitan dengan logam begitu juga kertas dan tekstil,” tuturnya.

Malah, para peserta program juga diajar untuk mengasingkan barang-barang yang diterima kepada dua kategori iaitu bahan organik dan bukan organik. Ini bagi memberikan pendedahan kepada mereka untuk klasifikasi sesuatu artifak.

Jelasnya lagi, selepas klasifikasi, proses dokumentasi membabitkan aktiviti menangkap gambar artifak asal yang belum dirawat serta pemeriksaan ringkas terhadap objek tersebut akan dilakukan.

“Kemudian, barulah konservator akan buat keputusan sama ada objek tersebut perlukan rawatan atau tidak. Sekiranya memerlukan rawatan, seseorang konservator itu akan melakukan analisis terhadap artifak tersebut serta mengenal pasti masalah pada artifak berkenaan,” ujarnya.


Sebahagian daripada 20 orang peserta Kem Konservator Remaja bergambar kenangan dengan fasilitator dan ibu bapa masing-masing di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jelas Muhamad Faiz, salah pengiraan dalam mengenal pasti bahan digunakan dalam artifak tersebut boleh memberi kesan kepada proses rawatan sekali gus merosakkan artifak berkenaan.

“Selepas mengenal pasti masalah, konservator akan cuba mencari kaedah terbaik untuk memelihara dan memulihara artifak itu.

“Selesai rawatan konservasi, sekali lagi proses dokumentasi dilakukan dengan menangkap gambar artifak yang telah dirawat dan dibandingkan dengan gambar asal.

Pengalaman

“Selepas rawatan, artifak itu akan mengambil sedikit masa sebelum dipamerkan bagi melihat tindak balas lain,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Sofea Safrina Ahmed Faridz, 9, menyifatkan Kem Konservator Remaja yang disertainya sebagai pengalaman paling berharga kerana melalui program itulah dia mengenali apa itu konservasi dan kerjaya konservator.

Melalui program berkenaan juga, kanak-kanak yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu berpeluang untuk bertemu rakan-rakan baharu dan berbincang serta menimba pengetahuan mengenai bidang permuziuman.

“Saya berasa cukup bertuah kerana dapat menjadi salah seorang peserta dalam program ini. Selain mengetahui proses konservasi, para peserta dididik supaya lebih menghargai sejarah dan disemai rasa tanggungjawab dalam memulihara khazanah dan artifak tanah air,” ujarnya.

Tambah Sofea Safrina, etika paling penting yang diingatinya untuk menjadi seorang konservator ialah tidak boleh merosakkan sesuatu objek itu semasa proses rawatan dilakukan.

“Rawatan atau bahan yang digunakan terhadap objek semasa kerja pemuliharaan haruslah bersesuaian dan boleh dirawat semula. Selain itu, kod etika kerja juga menetapkan bahawa kerja-kerja pemuliharaan haruslah dilakukan seminimum yang mungkin,” kongsinya.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 46