AURA JUITA

Corazon Salon & Kitchen tumpu keselesaan pengguna

Corazon Salon & Kitchen tumpu keselesaan pengguna


Corazon menggunakan khidmat pekerja yang berpengalaman.


Bangi Sentral yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor adalah satu lokasi popular dalam kalangan peminat fesyen lebih-lebih lagi bagi kaum wanita memandangkan ia merupakan kawasan tumpuan untuk membeli-belah busana.

Bagaimanapun, lokasi itu bukan sahaja menempatkan butik-butik fesyen, malah turut menjadi kawasan bagi perniagaan lain untuk berkembang, antaranya dalam bidang kecantikan seperti salun.

Corazon Salon & Kitchen (Corazon) adalah satu daripada perniagaan dalam bidang tersebut di Bangi Sentral yang boleh dikunjungi oleh orang ramai.

Pengasas Corazon, Wan Mohamad Ansari Wan Amran berkata, premis perniagaan tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu salun di bahagian dalam dan kafe di bahagian luar.

Katanya, Corazon menggabungkan kafe dan salun kerana mereka memahami kehendak pelanggan yang kadang-kala terpaksa menghabiskan masa sehingga empat jam bagi menyudahkan perkhidmatan mendandan rambut.

“Sering kali kita dapat lihat situasi yang mana anak atau suami kepada seorang wanita terpaksa menunggu untuk satu tempoh yang panjang ketika menjalani sesi mendandan rambut.

“Justeru, bagi mengelakkan situasi tersebut, kafe kami menawarkan pelbagai jenis menu yang terdiri daripada masakan kampung, barat dan ala hipster,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Corazon yang ditubuhkan pada 2011 diusahakan oleh Nor Hamizah bersama-sama dengan Wan Mohamad Ansari serta Wan Mohd. Anwari dan Nur Sari Farahiah.

Sementara itu, Wan Mohamad Ansari berkata, antara menu yang popular dalam kalangan pelanggan kafe tersebut ialah Spaghetti Aglio, Grilled Lamb dan Roti Corazon Oblong.

Mengulas tentang harga menu di Corazon, katanya, ia ditawarkan dalam harga yang rendah bagi memastikan semua jenis pelanggan yang mengunjungi premis tersebut mampu membelinya.

Katanya, harga makanan dan minuman di sana bermula serendah RM1.30 sehingga RM15 bergantung kepada item.


Wan Mohamad Ansari (dua dari kanan) menyediakan hidangan untuk pelanggan kafe Corazon.


Sementara itu, Pengasas Bersama Corazon, Nor Hamizah Daniel berkata, salun tersebut mempunyai bilik khas bagi pelanggan Muslimah yang mana ia boleh menempatkan seramai dua orang pelanggan pada satu-satu masa.

“Kita faham bahawa bilik khas ini adalah satu keperluan bagi pelanggan Muslimah. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak perlu risau kerana semua pekerja di butik ini terdiri daripada kaum wanita.

“Selain itu, semua pekerja di Corazon mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam bidang ini,” katanya yang turut memberitahu, salun tersebut turut dibuka kepada pelanggan lelaki dan kanak-kanak.

Ujarnya, Corazon kini menawarkan beberapa jenis promosi melibatkan perkhidmatan mendandan rambut yang mana ia akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Promosi yang ditawarkan ini melibatkan beberapa jenis perkhidmatan, antaranya meluruskan rambut (rebonding) dan kerinting rambut (perming) pada harga antara RM70 hingga RM120 serta rawatan kulit kepada yang bermula pada harga RM60.

“Kami juga menawarkan perkhidmatan memotong rambut pada harga RM18 dan mencuci rambut (RM26) bagi pelanggan lelaki,” katanya.

Process time in ms: 62