PESONA

Ketagihan alkohol jejas gaya hidup

Ketagihan alkohol jejas gaya hidup


HUBUNGAN sosial boleh terganggu akibat ketagihan alkohol.– Gambar hiasan


MINUMAN beralkohol kebiasaanya digunakan bagi tujuan amalan sosial, rekreasi dan menyambut hari keraian bagi sesetengah kaum di Malaysia.

Ia mengandungi alkohol yang bertukar kepada karbon dioksida dan air terutamanya ketika berada di dalam hati.

Mengambil minuman beralkohol secara berlebihan boleh menyebabkan ketagihan atau alkoholisme.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS) pada 2011 mendapati bahawa 15 peratus daripada rakyat Malaysia menyalahgunakan alkohol sehingga menyebabkan beberapa komplikasi lain.

Tidak cukup dengan itu, tinjauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan lebih 30 peratus kemalangan jalan raya di Malaysia disebabkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol selain golongan kaki botol tersebut sering menunjukkan prestasi 25 peratus lebih rendah daripada biasa.

Mereka yang minum minuman beralkohol mungkin tidak sedar bahawa tingkah laku itu bukan sahaja membahayakan diri mereka malah orang sekeliling turut menjadi mangsa.

Kesan teruk

Menurut Pakar Runding (Kesihatan Dalaman) dan Ahli Jawatankuasa Lembaga Penasihat Kesihatan Penghadaman, Dr. K. C. Wong, penggunaan alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan masalah psikososial, ekonomi dan perubatan.

“Ia boleh menyebabkan kesan yang teruk dan mampu menjejaskan fungsi otak, jantung, hati, perut dan juga sistem endokrin.

“Bukan itu sahaja, pengambilan minuman beralkohol walaupun dalam kuantiti sederhana juga boleh mendatangkan kesan jangka pendek terhadap tubuh.

“Kerosakan tersebut dipercayai disebabkan oleh kesan secara langsung alkohol terhadap otak, tahap kesihatan yang lemah dan akibat penyakit hati yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.


Memandu ketika dibawah pengaruh alkohol adalah sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. – Gambar hiasan


Kebergantungan kepada alkohol juga dianggap sebagai satu penyakit yang teruk kerana ia bukan sahaja menjejaskan gaya hidup tetapi juga tahap kesihatan secara keseluruhan.

Bagi Wong, sekiranya pengambilan alkohol adalah sebahagian daripada gaya hidup, masyarakat seharusnya mempertimbangkan untuk menjauhi tabiat tersebut atau sekurang-kurangnya mengurangkan pengambilan alkohol.

“Ia adalah kerana ketagihan alkohol boleh meningkatkan risiko menghidap beberapa penyakit kronik yang boleh membawa maut.

“Antara penyakit akibat ketagihan alkohol ialah anemia, barah esofagus dan hati, penyakit kardiovaskular, sirosis, dementia, kecederaan otot, sawan, gout, darah tinggi, penyakit berjangkit, kerosakan saraf serta pankreatitis,” jelasnya.

Sukar dikesan

Penyakit disebabkan ketagihan alkohol adalah sukar dikesan kerana kebanyakannya tidak menunjukkan simptom awal terhadap fizikal luaran manusia.

Disebabkan itu, individu yang mengalami ketagihan alkohol sukar mengenal pasti tahap kesihatan dan mereka hanya tahu setelah penyakit itu semakin parah.

Sehubungan itu, Wong menggesa masyarakat supaya mengambil berat terhadap isu pengambilan alkohol kerana ia secara jelas mendatangkan kesan terhadap kesihatan tubuh manusia.

Amalkan gaya hidup secara sihat dan hargai setiap hembusan nafas yang dimiliki sekarang.

Makanlah secara sihat, kekalkan gaya hidup yang aktif secara fizikal dan jauhkan diri daripada merokok serta pengambilan alkohol secara berlebihan.

Process time in ms: 31