PESONA

Selesaikan rutin harian kurang seminit

Selesaikan rutin harian kurang seminit


SERAMAI 50 pasangan menyertai larian Wedding Dash Prudential di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MELANGKAH masuk ke alam perkahwinan bersama insan tercinta merupakan saat yang paling manis dalam kehidupan.

Selepas melangsungkan majlis perkahwinan, ramai dalam kalangan pengantin baharu akan berkira-kira untuk berbulan madu.

Justeru itu, bagi mengimbau kenangan manis saat-saat indah tersebut, Prudential Malaysia Assurance Malaysia Berhad (PAMB) menganjurkan acara Wedding Dash Prudential di Publika, Solaris Dutamas Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia merupakan acara larian sambil memakai kostum sedondon di beberapa hentian yang menyediakan cabaran-cabaran tertentu untuk diselesaikan secara berpasangan.

Antara cabaran itu ialah menukar lampin, solekan, menggosok baju, yoga dan kuiz minda.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran PAMB, Khoo Ai Lin, kesemua aktiviti itu merupakan perkara yang lazim dilakukan dalam aktiviti seharian dan ia memberikan peluang kepada pasangan untuk lebih mengenali sesama mereka.

“Setiap pasangan akan diberikan tugasan yang berbeza mengikut perhentian masing-masing yang telah ditetapkan.

“Walaupun hanya tugasan yang setiap hari dilakukan ketika berada di dalam rumah, ia sebenarnya mampu menambah kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan ketika melakukannya bersama.


Yoga berpasangan mampu mengeratkan hubungan.


“Ini kerana, ia secara tidak langsung dapat mengimbau kenangan manis pada zaman percintaan dan mencipta memori indah baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Ai Lin, memori indah itu sedikit sebanyak mampu menjadikan perjalanan dalam rumah tangga lebih bermakna.

Penganjuran Wedding Dash Prudential adalah bersempena pelancaran pelan perlindungan terkini yang ditawarkan untuk para pasangan sama ada yang baru menyimpan hasrat mendirikan rumah tangga ataupun mereka yang sudah lama bergelar suami isteri iaitu pelan PRUlife Partner.

Ai Lin berharap, semua pasangan yang mengambil bahagian pada acara itu bukan sahaja terhibur tetapi sentiasa beringat untuk sentiasa mengharungi perjalanan hidup sebagai suami isteri bersama demi membina hubungan yang lebih kukuh.

Acara Wedding Dash Prudential disertai oleh 50 pasangan terdiri daripada pelbagai status perkahwinan.

Paling singkat

Pasangan yang dapat menyelesaikan semua cabaran dalam masa yang paling singkat berpeluang memenangi hadiah utama berupa sebuah pakej bulan madu bernilai RM20,000.

Sementara itu, pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang pakej percutian bernilai RM8,000 dan RM3,000.


Para peserta mendengar taklimat sebelum Wedding Dash Prudential dimulakan.


Dengan catatan masa 59 minit dan 56 saat, pasangan bahagia Angeline Ng Geok Kee, 32, dan Ho Wai Keen, 34, muncul juara pada acara itu.

Geok Kee dan suaminya yang telah berkahwin selama empat tahun dan mempunyai dua orang anak lelaki meluahkan rasa gembira kerana tidak menyangka bahawa mereka mampu menandingi catatan masa peserta lain.

Katanya, kunci kepada kemenangan itu adalah sentiasa fokus dalam menyelesaikan cabaran yang diberi dan saling memberi galakan.

“Ia sememangnya merupakan perkara asas yang kami lakukan dalam kehidupan seharian.

“Sikap saling menyokong antara satu sama lain amat diperlukan dalam acara ini dan dalam alam rumah tangga.

“Apabila rasa hampir putus asa ketika hendak menyelesaikan tugasan yang sukar, pasti salah seorang daripada kami akan memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Pasangan itu turut memenangi kategori Pakaian Terbaik dan Pasangan Paling Popular yang dibuat menerusi undian orang ramai.

Wai Keen berpakaian seperti palam dan Geok Kee sebagai soket bersama pengikat rambut berbentuk hati yang boleh menyala.

“Konsepnya ialah saya menceriakan hidupnya dan dia menggembirakan hati saya,” kata Geok Kee menceritakan pakaian berlampu yang dihasilkannya.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47