PESONA

Buat sendiri sajian Jepun di ABC Cooking Studio

Buat sendiri sajian Jepun di ABC Cooking Studio



SUSHI, mochi dan udon adalah antara makanan Jepun yang sangat popular di negara ini. Bagi penggemar makanan itu, mereka boleh mendapatkan ia di semua restoran yang menyediakan masakan tersebut.

Di Malaysia sendiri, terdapat pelbagai kedai makanan Jepun yang popular antaranya Sushi King, Zanmai, Suki-ya dan Sakae Sushi.

Putri Ilyani Samad, 26, yang menggemari makanan Jepun berkata, dia akan menjengah ke kedai makanan itu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali dalam tempoh sebulan.

Katanya, dia mula menggemari makanan Jepun sejak di bangku sekolah lagi.

“Makanan Jepun yang paling saya suka adalah salmon teriyaki dan mochi.

“Makanan ini diperkenalkan kepada saya oleh seorang rakan sekolah,” ujarnya yang akan menjejaki ke Jepun buat pertama kali pada Februari 2017.

Tambah Putri Ilyani, dia kini sedang mempelajari cara-cara untuk membuat makanan Jepun itu.

Impian

Selain mempelajari melalui buku masakan, melayari YouTube dan internet, dia juga memasang impian untuk mengikuti kelas memasak makanan dari negara Matahari Terbit itu.

Segala-galanya menjadi kenyataan apabila sekolah masakan Jepun yang popular iaitu ABC Cooking Studio membuka premis pertama mereka di Malaysia baru-baru ini.

Bertempat di Pavilion Elite, Kuala Lumpur, studio itu dilengkapi kemudahan terkini dengan resipi-resipi Jepun yang asli dan mudah dipelajari.

ABC Cooking Studio diasaskan pada tahun 1985 di Wilayah Shizuoka, Jepun.

Mulanya, ia sebuah kelas masakan kecil sahaja tetapi lama-kelamaan studio itu berkembang menjadi rantaian studio masakan yang terkemuka di Jepun, sehingga jumlahnya mencecah lebih daripada 135 buah di Jepun dan 20 di peringkat antarabangsa.


MEMBUAT pastri seperti roti merupakan salah satu kursus yang terdapat di ABC Cooking Studio.


Pada ketika ini, ABC Cooking Studio terdapat di China, Hong Kong, Taiwan, Korea, Singapura dan Thailand.

Pembukaan studio di Pavilion Elite, Kuala Lumpur itu menjadikan Malaysia sebagai negara ketujuh dan studio yang ke-20 di luar negara.

Pengarah ABC Cooking Studio Worldwide Limited, Hiroshi Sensaki berkata, ABC Cooking Studio menawarkan pengalaman memasak yang unik dengan lima kursus yang berbeza seperti memasak, membuat roti, membakar kek dan menyediakan pencuci mulut tradisional Jepun.

“Kursus ini boleh disertai oleh orang dewasa dan kanak-kanak berumur empat tahun ke atas.

“Melalui kursus-kursus ini, para peserta boleh mempelajari cara-cara membuat sendiri sajian Jepun, menguli roti menggunakan tangan dan mempelajari istilah betul bahasa Jepun yang digunakan dalam bidang masakan,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan kelas masakan itu kepada media di Pavilion Elite, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, semua resipi diolah khas di Jepun dan disemak semula dari semasa ke semasa oleh tenaga profesional sebelum dibentangkan atas lembaran berilustrasi yang mudah difahami peserta.

Di samping itu, resipi-resipi berkenaan akan menjalani beberapa uji kaji sebelum dilaksanakan untuk menjamin kesempurnaan.

“Para peserta yang mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus-kursus ini akan diberi bimbingan langkah demi langkah dan dipimpin oleh tenaga profesional yang terlatih,” katanya.

Antara masakan yang bakal dipelajari peserta adalah cara membuat udon dan mochi dengan betul.

Udon adalah mi kenyal dan tebal yang diperbuat daripada tepung gandum serta tepung ubi kayu manakala mochi pula adalah manisan berinti yang disalut tepung beras pulut.

Bebas tekanan

Di ABC Cooking Studio, kelas-kelas yang dijalankan adalah dalam kelompok kecil (maksimum empat orang) bagi memastikan waktu maksimum bersama pengajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


UDON (kanan) dan mochi yang berjaya disiapkan oleh peserta.


Sementara itu, Pengurus Besar ABC Cooking Studio Malaysia Sdn. Bhd, Amanda Chong berkata, belajar memasak dengan cara-cara yang betul seharusnya menyeronokkan dan bebas daripada tekanan.

“Oleh itu, para pelajar bakal menikmati suasana pembelajaran yang kreatif dan inovatif di ABC Cooking Studio. Segala-galanya dapat dipelajari dengan baik menerusi kemudahan dan kelengkapan dapur yang terbaik.

“Bagi kami, masa di dapur hendaklah dianggap sebagai suatu aktiviti yang seronok, puas hati dan merehatkan minda. Begitulah harapan kami di studio ini,” katanya sambil memberitahu, pelajar akan mempelajari kemahiran dan resipi baharu tanpa perlu mencuba sendiri di rumah.

Ada juga kursus percubaan bagi yang berminat untuk mencuba. Harganya RM95 bagi seorang atau RM70 jika peserta mengikuti laman Facebook ABC Cooking Studio.

Setiap sesi percubaan mengambil masa selama dua jam supaya peserta dapat membiasakan diri dengan studio dan kaedah pembelajaran sebelum mendaftar diri sebagai ahli.

Keahlian seumur hidup dibuka kepada penggemar masakan dengan bayaran RM250.

Dengan lebih 135 studio di Jepun dan 20 di peringkat dunia, kelas itu pasti dapat menambat hati individu yang bersedia untuk mempelajari atau menyempurnakan kemahiran memasak.

Process time in ms: 250