HORIZON

Hotel Sunway Pyramid berwajah baharu

Hotel Sunway Pyramid berwajah baharu


SELEPAS tujuh bulan ditutup, Hotel Sunway Pyramid kini dibuka semula dengan fasiliti yang diperbaharui.


Pengalaman menginap di sebuah bilik mewah sambil menikmati pemandangan anak-anak kecil bermain air di taman tema dengan ceria amat mengasyikkan. Lebih mengujakan, ia boleh dinikmati di ibu kota tanpa perlu merantau jauh.

Terletak bersebelahan Taman Tema Sunway, Hotel Sunway Pyramid bertaraf 4.5 bintang itu pada asalnya dikenali dengan nama Hotel Sunway Pyramid East.

Ia ditutup buat sementara pada 1 April lepas bagi melalui proses pengubahsuaian yang menelan pelaburan sebanyak RM125 juta. Ia mula beroperasi secara rasmi pada 3 November lalu.

Hotel yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor itu tampil dengan konsep serba baharu bertemakan waking up to a brand new stay bersesuaian dengan pemilihan rekaan dan susun atur bilik yang lebih menarik.

Terdapat 564 bilik dan suite yang diberi nafas baharu serta dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung Januari 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Hotels and Resorts, Albert Cheong memberitahu, pembukaan semula Hotel Sunway Pyramid memberi semangat dan keterujaan baharu terhadap fasiliti yang terdapat di Bandar Sunway.


KIOSK makanan dan minuman Kaffeinate yang terletak di ruang lobi menyajikan pelbagai pilihan menarik untuk pengunjung.


“Kami menawarkan pengalaman penginapan yang mengagumkan di Hotel Sunway Pyramid yang hanya terletak 15 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.

“Pembukaan semula Hotel Sunway Pyramid menandakan semangat baharu kami dan dipercayai dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penginapan berkualiti tinggi untuk tujuan perniagaan atau percutian dalam kalangan pelancong tempatan, Singapura, Indonesia, Thailand, China, India dan Asia Barat,” katanya sewaktu majlis previu media di hotel tersebut baru-baru ini.

Sempena pembukaan semula ini, Hotel Sunway Pyramid menawarkan 564 buah bilik termasuk suite berbanding hanya sebanyak 549 buah sebelum ini. Antara jenis bilik yang ditawarkan ialah Deluxe, Deluxe Park View, Deluxe Executive, Family dan Family Suite.

Selesa

Bilik Deluxe disediakan paling banyak bagi memenuhi keperluan pengunjung. Ia termasuk Deluxe Park View dan Deluxe Executive.

Menariknya, Deluxe Park View menawarkan pemandangan terus ke taman tema air Sunway Lagoon menerusi dinding kaca yang terdapat di dalam bilik.


BILIK Deluxe Executive menawarkan ruang yang lebih luas bagi penginap yang mementingkan keselesaan ruang tambahan.


Sementara itu, Deluxe Executive yang bersaiz antara 30 hingga 32 meter persegi pula direka khas buat mereka yang gemarkan ruang tambahan bagi menambah keselesaan penginapan.

Kesemua bilik Deluxe boleh didapati dalam pilihan dua katil bujang atau satu katil berkembar saiz king mengikut kegemaran penginap.

Malah, penginap dalam kumpulan yang besar juga boleh memilih jenis bilik yang mempunyai pintu penghubung antara bilik bagi memudahkan pergerakan tanpa perlu melalui pintu hadapan.

Selain itu, bilik jenis Family pula sesuai untuk mereka yang bercuti bersama anak-anak kerana ruang dalaman yang lebih ceria. Menariknya, terdapat katil dua tingkat bersaiz bujang di samping satu katil king bagi memberi kepuasan percutian berganda.

Bagi mereka yang berkapasiti enam orang dewasa atau empat dewasa serta dua kanak-kanak bolehlah memilih Family Suite kerana saiz ruang yang luas menjanjikan pengalaman percutian indah dan selesa. Ia dilengkapi dengan satu katil bersaiz king dan dua katil queen serta kelebihan memiliki dua buah bilik mandi.

Kedua-dua bilik Family dan Family Suite didatangkan dengan peti sejuk mini, ketuhar gelombang dan mesin kopi Nespresso dengan kapsul.

Bukan hanya menumpukan pada tarikan bilik penginapan, Hotel Sunway Pyramid turut memperkenal Kaffeinate, kiosk makanan dan minuman yang terletak di ruang lobi utama hotel.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 47