HORIZON

Pesona tulip hitam hiasi musim bunga di Switzerland

Pesona tulip hitam hiasi musim bunga di Switzerland


FUNICULAR Railway dapat menghubungkan pengunjung dari Les Avants ke Sanloup.


SEJAK kecil, saya cukup terpesona dengan keindahan Switzerland dan memasang impian untuk menjejakkan kaki ke negara itu.

Alhamdulillah, impian saya untuk ke negara yang terkenal dengan pergunungan Alps itu akhirnya tercapai baru-baru ini.

Switzerland sangat unik kerana ia terletak di tengah Eropah yang berjiran dengan Perancis di barat, Itali di selatan, Austria di timur dan Jerman di utara.

Kami masuk ke Switzerland melalui Paris, Perancis dengan menaiki kereta api SBB iaitu dari Paris Gare Lyon ke Lausanne dan kemudian dari Lausanne ke Geneva.

Walaupun pada ketika itu baru memasuki Mei, namun cuaca cukup nyaman dan sejuk dengan suhu serendah 20 darjah Celsius.

Sebaik sampai di stesen Geneva, kami menaiki bas ke St. Julien dan kemudian mengambil bas M ke Archamp.

Kemudian, kami terus mendaftar masuk ke tempat penginapan iaitu Hotel Ibis yang terletak di Route de Chosal International Business Park, Archamp.

Kami memilih hotel di pinggir bandar kerana ia lebih murah berbanding di tengah bandar raya Geneva. Kami beristirehat sebentar sebelum menjelajah sekitar Archamp.

Pada keesokan harinya, kami melakukan penjelajahan ke kota Geneva terutamanya di dua tempat yang ingin saya lawati iaitu Les Avants dan Sonloup.

Sekolah golongan atasan

Kami menaiki kereta api dari Geneva ke Montreux dan kemudian menukar kereta api dari Montreux ke Les Avants.

Les Avants merupakan sebuah perkampungan di Canton Vaud dalam jajahan Montreux.


KEINDAHAN seni bina hotel di Sanloup sentiasa menarik perhatian pelawat.


Sahabat baik saya yang dikenali sejak 1995 selalu bercerita mengenai Les Avants kerana dia pernah bersekolah di sana semasa kecil.

Kami juga mengambil gambar di sekolah rakan saya iaitu Le Chatelard. Sekolah tersebut adalah khusus untuk pelajar perempuan dan terkenal dalam kalangan orang atasan di Les Avants.

Sekolah itu masih beroperasi hingga ke hari ini. Antara orang kenamaan yang pernah menuntut di Le Chaterlard ialah Ernest Hemingwa yang pernah menceritakan mengenai keindahan Les Avants dalam bukunya, Farewell to Arms.

Kemudian, kami menaiki kereta api kecil menuju ke Sonloup. Kereta api yang dikenali sebagai Funicular Railway itu akan membawa penumpang dari Les Avants ke stesen Sonloup dengan perjalanan selama lapan minit.

Sepanjang perjalanan, kami disajikan pemandangan kawasan sekitar yang sangat cantik.

Sonloup merupakan satu perkampungan di kawasan berbukit. Di sana, kami sempat melawat sebuah hotel yang sangat terkenal pada satu masa dahulu, namun sudah ditutup dan dalam proses penjualan.

Pengunjung juga boleh melawat perkampungan Swiss dan melihat banjaran Alps. Pemandangan di Sonloup sangat cantik dan menawan.

Pokok bunga di Sonloup adalah tersangat cantik dan saya tidak pernah melihat pokok sedemikian di Malaysia. Udara di Sonloup juga sangat nyaman, sejuk dan bersih. Kami menghabiskan separuh hari berjalan di sekitar Sonloup.

Pendakian

Untuk makluman, Sonloup dan Les Avants juga mempunyai beberapa laluan pendakian yang boleh dilalui oleh pengunjung terutamanya mereka yang gemar aktiviti lasak.


PENGUNJUNG dari Perancis boleh menggunakan kereta api SBB ke Ganeva.


Terdapat dua jenis laluan pendakian di Les Avants dan Sanloup iaitu Chemim des Narcisse dan Station Jamal-Montreux untuk tahap senang, manakala Rochers de Naye dan Grotte de Naye adalah laluan sederhana sukar.

Saya mengambil trek Chemim de Narcisse kerana ingin melihat pelbagai jenis bunga di sepanjang laluannya.

Pada hari kedua, kami sempat berkunjung ke Tasik Geneva dan melawat beberapa buah taman bunga di sekeliling tasik.

Tasik Geneva merupakan tasik yang terbesar di Eropah Barat. Ia mempunyai keluasan 345 kilometer (km) persegi dalam jajahan Switzerland manakala 234km persegi di sebelah Perancis.

Banyak tempat yang menarik di sini dan salah satu yang saya lawati ialah sebuah istana lama yang dikenali sebagai Chillon de Castle.

Kami juga sempat mengunjungi taman yang sungguh indah di sebelah utara Tasik Geneva iaitu berdekatan dengan Bandar Montreux.

Terdapat pelbagai jenis pokok tulip dan salah satu yang unik ialah tulip berwarna hitam. Itulah kebaikannya kalau pergi melancong pada musim bunga.

Taman ini juga digunakan oleh masyarakat tempatan sebagai tempat riadah bersama keluarga. Malah, meja pingpong turut disediakan untuk kegunaan awam.

Sebelum pulang, saya sempat membeli cenderamata di kedai sekitar Bandar Montreux untuk dibawa pulang kepada orang tersayang di tanah air.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 31