HORIZON

Manai perturunkan ilmu tawan Tujuh Puncak

Manai perturunkan ilmu tawan Tujuh Puncak



Ketika melihatnya dari jauh, terpancar karisma pada lelaki berkemeja putih dan berseluar hitam itu.

Tatkala membuka bicara, ungkapan frasanya kemas tersusun, sekali gus membayangkan kecekapan membahaskan hujah di kandang perbicaraan.

Berdasarkan penampilan pada hari itu, Ahmad Fakhri Abu Samah, 35, kelihatan tidak ubah seperti peguam lain di Malaysia.

Namun, di sebalik kerjaya hebat itu, lelaki yang berasal dari Bangi, Selangor tersebut merupakan seorang pendaki gunung berjiwa kental.

Ahmad Fakhri yang lebih dikenali dengan nama Manai dalam kalangan pencinta aktiviti pendakian merupakan pendaki pertama negara yang berjaya menawan tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua di dunia (Tujuh Puncak).

Kejayaan manis itu dilakar di puncak Gunung Denali atau dahulu dikenali dengan nama McKinley di Alaska di benua Amerika Utara pada 2011.

Pengalaman

Pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam pendakian gunung altitud tinggi selama lapan tahun itu bermula daripada Ekspedisi Demi Negara ke Everest pada 2004 sehingga kejayaan menawan Gunung Denali pada 2011 membuatkan Manai terpanggil untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dengan pendaki lain.

Dia yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) kini lebih aktif dalam bidang pendidikan pendakian gunung altitud tinggi khususnya buat pendaki lain yang berkongsi minat serupa dan berhasrat untuk menjadi sepertinya.

Dia juga terlibat aktif dalam bidang pendidikan pendakian baik di dalam mahupun luar negara.

Sepanjang pemerhatian, dia mendapati ramai orang ingin melakar rekod peribadi dan negara dengan menawan puncak-puncak gunung di dunia sehingga ada yang sanggup mengabaikan aspek kesihatan serta keselamatan diri.


Manai (kiri) dan rakan pendakian, Ahmad Reduan Rozali sewaktu menyempurnakan misi menawan Tujuh Puncak yang berakhir di Gunung Denali pada 2011.


“Ramai pendaki yang berasakan mereka masih mampu untuk meneruskan pendakian sedangkan ketua pengiring atau rakan pendaki sudah melihat simptom penyakit akut ketinggian (AMS) sedang berlaku kepada mereka.

“Pertimbangan dan keputusan sewajarnya harus diambil kerana pendakian gunung bukan sekadar untuk sampai ke puncak tetapi sejauh mana seseorang pendaki itu mampu membuat dan menerima keputusan daripada orang lain terutamanya ketua pengiring,” ujarnya sewaktu ditemui di pejabatnya, Azwar and Partners di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Jelas anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu, siapa pun individu itu dalam kumpulan sosial masyarakat, apabila berada di atas gunung, mereka akan menunjukkan peribadi diri kita yang sebenar.

AMS berpunca daripada kekurangan oksigen dalam paru-paru apabila seseorang itu berada pada altitud melebihi 3,000 meter dari paras laut.

Bermula 2012, Manai banyak terlibat sebagai pengiring pendakian untuk kumpulan pendaki atau malim gunung baharu.

Dia pernah membimbing dua orang pengiring pendaki baharu ke Gunung Kinabalu pada 2012 bagi mendedahkan mereka terhadap kaedah mengiring yang betul sebelum membawa kumpulan sendiri nanti.

Selain itu, dia juga pernah mengiringi beberapa kumpulan pendaki tempatan ke Gunung Kilimanjaro, benua Afrika pada 2012, 2013 dan 2016.

Dia turut berpeluang melihat tinggalan bahtera Nabi Nuh yang terdapat di Gunung Ararat pada 2015 sewaktu mengiringi kumpulan pendaki dari negeri Terengganu ke sana.

Kebanyakan peserta yang menyertai kumpulan Manai terdiri daripada pendaki berumur antara 40 hingga 60 tahun.

“Daripada aspek kecergasan, kebanyakan mereka aktif bersenam sejak muda. Stamina fizikal juga sudah berada pada tahap memuaskan dan hanya memerlukan sedikit latihan pendakian.

“Saya puas apabila dapat bawa pendaki naik dan turun dengan selamat,” katanya yang mula berkhidmat secara rasmi sebagai peguam sivil dan pengurusan harta sejak tujuh tahun lalu.

Manai yang kini menetap di Kampung Jawa, Klang pernah mewakili PKN sebagai salah seorang pembentang dalam persidangan di Sepanyol pada 2015.

Merdeka 60 tahun

Persidangan yang dihadiri lebih 80 negara ahli Persatuan Pendakian Antarabangsa (UIAA) dan berpangkalan di Bern, Switzerland itu menyaksikan Manai menerangkan tentang keistimewaan Gunung Tahan.

Dia yang mewakili PKN juga pernah menganjurkan Seminar Pergunungan Altitud Tinggi (Mohas) bertempat di Janda Baik, Pahang. Beberapa pakar pendakian dunia dijemput bagi memberi taklimat khas dalam seminar itu.


KETELITIAN dan keseimbangan sangat ditekankan sewaktu mendaki gunung batu yang bersalji.


Terbaharu, Manai bertindak sebagai penasihat program Kempen Kembara Srikandi Prihatin yang kini dalam persediaan rapi untuk menyempurnakan satu lagi ekspedisi menawan Gunung Elbrus pada tahun hadapan sempena kemerdekaan negara ke-60.

“Saya terlibat memberi khidmat nasihat daripada aspek persiapan, latihan dan pengurusan termasuk prosedur berkaitan perundangan,” ujarnya.

Menurut Pengarah Projek, Ummu Farah Haidar Zulkifli, 29, pendakian yang bakal berlangsung pada bulan Ogos tahun hadapan itu merupakan program kemuncak dalam Kempen Kembara Srikandi Prihatin yang telah dilancarkan pada 25 Ogos tahun ini.

Penganjuran ekspedisi itu sejajar dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang jatuh pada tarikh 25 Ogos setiap tahun.

“Sehingga kini, lapan orang wanita telah mengesahkan tempat sebagai pendaki utama dalam ekspedisi menawan puncak gunung tertinggi di benua Eropah itu termasuk seorang survival kanser payudara.

“Namun, menerusi sesi latihan kecergasan yang diadakan secara berkala, kami masih boleh menilai lima orang survival kanser lain yang menunjukkan potensi cemerlang untuk dibawa bersama sebagai pendaki dalam ekspedisi tersebut nanti,” ujar Ummu Farah.

Mengakui laluan untuk menuju puncak Elbrus tidak semudah yang disangka, anak kelahiran Negeri Sembilan ini menjelaskan, penglibatan survival kanser dalam aktiviti mencabar ini sebagai satu metafora yang bermakna kepada mereka dan negara.

“Perjalanan yang sukar dan berliku untuk ke puncak melambangkan perjuangan pahit getir mereka melawan kesakitan dan mengharungi hidup,” ulasnya.

Sementara itu, satu majlis penyerahan bendera Malaysia kepada kumpulan Ekspedisi Merdeka ini akan diadakan di Rusia pada 25 Ogos bersempena Hari Wanita Kebangsaan.

Ia dijangka berkibar di puncak Gunung Elbrus pada 31 Ogos iaitu Hari Kemerdekaan negara ke-60.

Process time in ms: 31