INFINITI

Tanda aras baharu teknologi telefon pintar

Tanda aras baharu teknologi telefon pintar



SELEPAS berita mengenai syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei Technologies Co. Ltd. (Huawei) bakal memperkenalkan cip pemprosesan terpantas bagi kegunaan telefon pintar tersebar di media sosial beberapa bulan lalu, ramai penggemar peranti telekomunikasi termasuk di Malaysia tertunggu-tunggu akan kemunculannya.

Lebih menarik perhatian apabila cip pemprosesan termaju ciptaan Huawei itu telah dipasang pada telefon pintar model terbaharu keluaran syarikat berkenaan, Huawei Mate 9 yang baru dilancarkan di peringkat global pada 3 November lalu di Munich, Jerman.

Pengenalan model Mate 9 telah menarik minat seorang pengarah syarikat animasi di Kuala Lumpur, Sinan Ismail, 34, yang sememangnya mengikuti rapat perkembangan teknologi telekomunikasi antarabangsa.

“Telefon pintar memang sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun cita rasa pengguna mengenai telefon pintar mungkin berbeza, namun saya pasti, semua menginginkan sebuah telefon pintar yang canggih dan mampu beroperasi pada tahap optimum tidak kira apa juga bentuk aktiviti yang dilakukan.

“Bagi saya, antara perkara yang dititikberatkan ketika membeli sebuah telefon adalah kepantasannya ketika beroperasi dan keupayaannya untuk melaksanakan pelbagai tugas pada satu-satu masa tanpa sebarang masalah,” katanya yang berkira-kira untuk memiliki Huawei Mate 9 dalam masa terdekat bagi memudahkan aktiviti hariannya termasuk berkaitan urusan kerja.

Pengalaman baharu

Ketika pelancarannya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pelanggan Huawei, Richard Yu, berkata, Mate 9 yang berada dalam kelas premium itu didatangkan dengan pelbagai inovasi canggih yang akan menawarkan pengalaman baharu kepada pengguna.

“Kami tahu, pengguna masa kini sangat mementingkan telefon pintar yang pantas dan memiliki pelbagai fungsi selain reka bentuk yang elegan dengan ciri-ciri yang intuitif.

“Dengan itu, kami telah menghasilkan sebuah telefon pintar yang jauh maju ke hadapan dalam konteks inovasi perisian dan perkakasannya.

“Mate 9 bukan sahaja sebuah peranti yang berkuasa dan memiliki reka bentuk yang menawan, tetapi juga dipasang dengan Kirin 960 iaitu cip pemprosesan tercanggih dan terpantas di dunia bagi sistem operasi pengkomputeran masa kini,” katanya.

Menghurai lebih lanjut mengenai Kirin 960, Timbalan Pengarah Negara, Huawei Malaysia, Matthew Ng berkata, cip pemprosesan berkenaan merupakan siri terbaharu yang dikeluarkan dalam keluarga Kirin 900.

Ia dicipta oleh para jurutera Huawei bagi membantu meningkatkan operasi telefon pintar ke tahap yang lebih optimum selain menyokong perisian dan aplikasi terkini yang dibangunkan oleh Huawei atau pengeluar lain.

“Kirin 960 dibangunkan dengan tujuan bagi menjadikan operasi telefon pintar lebih lancar, pantas dan selamat.

“Malah, ia turut menawarkan revolusi yang sangat ketara berkaitan prestasi, efisiensi dan keselamatan secara keseluruhan terhadap aplikasi seperti permainan video, fotografi mahupun bagi panggilan telefon.

“Cip terbaharu ciptaan Huawei ini juga mampu meningkatkan prestasi meliputi enam elemen utama iaitu peningkatan daya operasi, tempoh penggunaan yang lebih lama, operasi kamera lebih canggih, audio berkualiti tinggi, modem dan penyambungan yang lebih pantas serta tahap keselamatan telefon yang terjamin,” katanya.


Matthew menunjukkan model telefon pintar terbaharu keluaran Huawei, Mate 9 (kanan) dan Mate 9 Pro yang dikuasai cip pemprosesan Kirin 960.


Tahan lasak

Menurut Matthew lagi, berbanding cip lain daripada keluarga Kirin yang pernah dikeluarkan sebelum ini, Kirin 960 mampu mengimbangi antara prestasi sesebuah telefon pintar dengan pengagihan kuasa sehingga ke tahap yang optimum, sekali gus menjadi satu tanda aras baharu kepada penggunaan telefon pintar yang lebih lama dan tahan lasak.

Menjelaskan lebih terperinci mengenai cip berkenaan, Matthew memberitahu, Kirin 960 dibangunkan dengan menggunakan prosesor terbaharu Cortex-A73, cip grafik Mali-G-71 dan teknologi storan UFS 2.1 bagi menghasilkan cipset yang lebih pantas.

Ia mampu meningkatkan prestasi unit prosesan grafik (GPU) kepada 180 peratus lebih pantas berbanding pesaing selain menjimatkan penggunaan kuasa GPU sehingga 20 peratus.

Malah, Kirin 960 juga merupakan cip pertama di dunia yang menyokong operasi Vulkan iaitu standard baharu bagi sistem grafik untuk kegunaan multi-core GPU.

Jelas Matthew lagi, dengan gabungan elemen berkenaan, Kirin 960 mampu beroperasi 15 peratus lebih pantas berbanding siri Kirin yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk Kirin 955 yang digunakan pada model telefon pintar premium Huawei P9 yang dilancarkan pertengahan tahun ini.

Berdasarkan ujian yang dilakukan menggunakan alat penentu ukur tahap kecekapan GeekBench, cip Kirin 960 mencatat skor tertinggi berbanding cip keluaran pesaing.

Menyentuh mengenai fungsi Kirin 960 terhadap operasi kamera yang menjadi antara elemen terpenting pada sesebuah telefon pintar, beliau memberitahu, cip pemprosesan tersebut bakal memberi pengalaman fotografi berbeza kepada pengguna.

“Huawei telah memperkenalkan sistem dwilensa buat pertama kali pada tahun 2014 menerusi pengenalan model honor 6 Plus yang menggunakan cipset Kirin 925.

“Hasil kejayaan tersebut, Huawei telah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar kanta kamera terkenal dunia, Leica Camera AG (Leica) untuk menghasilkan kamera dwilensa baharu yang dipadankan pada model Huawei P9.

“Terbaharu, seiring dengan pelancaran cip pemprosesan Kirin 960, Huawei telah memperkenalkan kamera dwilensa generasi kedua yang dihasilkan menggunakan kejuruteraan Leica dengan cip dan sistem kamera berkenaan telah dipasang pada Huawei Mate 9,” katanya.


Rajah menunjukkan cip Kirin 960 mencatat skor tertinggi berbanding cip jenama lain berdasarkan ujian kecekapan yang dilakukan menggunakan alat penentu ukur GeekBench.


Keselamatan

Tambah Matthew lagi, satu lagi ciri terbaharu yang ditawarkan oleh cip pemprosesan Kirin 960 ialah keselamatan maklumat yang terdapat di dalam telefon pintar memandangkan peranti berkenaan kini kerap digunakan oleh pengguna untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk pembelian secara online dan transaksi kewangan antara akaun.

Ciri-ciri tambahan yang ada pada Kirin 960 adalah sistem sekatan keselamatan bekalan kuasa ketika telefon pintar sedang dicas bagi mengelak berlaku lebihan kuasa yang boleh menyebabkan kerosakan pada bateri atau lebih teruk, insiden telefon meletup.

Ia didatangkan dengan perlindungan lima tahap sekatan bermula daripada unit pengecas super, port USB Type-C, cipset pengecas pintar, kawalan bekalan kuasa dan akhir sekali pada bateri.

“Ini bermakna, sekiranya cip Kirin 960 mengesan berlaku lebihan bekalan kuasa ketika telefon sedang dicas, ia akan memutuskan dan menolak kemasukan bekalan kuasa secara automatik dan jika sekatan tahap pertama gagal, ia akan disekat pada tahap kedua dan seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun jelas Matthew, ciri-ciri keselamatan tersebut hanya terdapat pada Huawei Mate 9 memandangkan ia merupakan satu-satunya telefon pintar yang dikuasakan oleh cip Kirin 960 pada masa ini.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 47