STAILO

Mesej positif tentang Islam di pentas ratu cantik

Mesej positif tentang Islam di pentas ratu cantik



NAMA Halima Aden mungkin kedengaran agak asing sebelum ini tetapi gadis kelahiran Somalia-Amerika Syarikat (AS) berusia 19 tahun itu kini tersebar seantero dunia apabila dia memakai hijab ketika menyertai Pertandingan Ratu Cantik Miss Minnesota USA pada 26 November lalu.

Penampilan itu mencipta sejarah apabila dia menjadi peserta pertama yang memakai hijab dan burkini pada pusingan memakai baju renang.

Halima amat teruja dan tidak mengharap kemenangan tetapi penampilannya pada pertandingan ratu cantik itu dengan satu misi iaitu menyampaikan mesej positif mengenai Islam.

Perjalanan hidup Halima sangat berliku terutamanya dia tinggal di kem pelarian sebelum berhijrah ke AS.

“Saya dilahirkan di kem pelarian Kenya dan berhijrah ke AS di St. Cloud ketika berumur enam tahun.

“Dek kerana Islamofobia, saya melalui hari-hari yang penuh mencabar di AS dengan persepsi negatif segelintir masyarakat dan tekanan ke atas Somalia-AS berlaku sehingga kini,” katanya ketika ditemu bual pihak media.

Ujar Halima, perbuatan jahat yang dilakukan oleh seseorang individu tidak mewakili keseluruhan masyarakat.

Sehubungan itu, adalah tidak adil jika hukuman tersebut dijatuhkan secara keseluruhan.

Disebabkan isu itu, Halima begitu bersemangat untuk menyertai pertandingan tersebut, semata-mata mahu menyampaikan mesej dan membetulkan persepsi negatif mengenai Islam kepada seluruh dunia terutamanya imej wanita Muslimah.

Lantaran itu, pelajar Universiti St. Cloud, Minnesota tersebut membuat perubahan dengan berhijab sepanjang pertandingan Miss Minnesota USA berlangsung.


GADIS berasal dari Somalia ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi peserta pertama memakai hijab dan burkini ketika menyertai Miss Minnesota USA.


Inspirasi

“Saya tahu, ramai wanita takut atau enggan memakai hijab kerana stereotaip dan persepsi negatif sehingga mereka berasa tidak selesa berada di khalayak ramai dengan penampilan sedemikian.

“Justeru itu, saya ingin menjadikan pentas ini untuk memberi inspirasi kepada mereka agar lebih berani dan mencabar diri untuk menggayakan busana Muslimah,” terangnya.

Halima mengemukakan permohonan untuk menyertai pertandingan ratu cantik itu dengan menyatakan pendiriannya untuk memakai hijab.

Dia juga membuat permintaan agar dibenarkan memakai burkini pada pusingan acara baju renang agar tubuh badannya dapat dilindungi daripada dipertontonkan.

Alangkah gembiranya hati Halima apabila menerima e-mel ucapan tahniah daripada pihak penganjur yang memberi peluang kepadanya menyertai pertandingan itu.

Seperti peserta Miss Minnesota USA yang lain, Halima memakai empat persalinan berbeza tetapi dia merupakan peserta tunggal berpakaian menutup aurat dan berhijab.

Bercerita mengenai pemakaian burkini, Halima memberitahu, ia sebenarnya sangat asing dalam kalangan wanita Somalia.

Bahkan, mereka menganggap ia sebagai kejutan budaya dan dia hanya mengetahui tentang pakaian itu tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bersama Miss Minnesota USA, Denise Wallace berkata, organisasi itu tiada sebarang halangan untuk menerima Halima dan meraikan kepelbagaian dalam pertandingan tersebut.

“Keputusan untuk membenarkan Halima memakai burkini yang diterima dalam budayanya dan dia berasa selesa ketika berada di atas pentas adalah selaras dengan nilai-nilai Pertubuhan Miss Universe bagi memperkasakan wanita agar lebih yakin dan berani.

“Keyakinan diri wanita sangat penting kerana ia memiliki kuasa untuk membuat perubahan besar. Oleh itu, pihak kami memberi sokongan sepenuhnya kepada Halima dan berbangga menjadi barisan hadapan bagi mengetengahkan kepelbagaian kecantikan sejagat,” katanya.

Ujar Halima, pihak penganjur mengajarnya banyak perkara. Keadaan itu membuatkan dia bertambah yakin dan lebih tenang ketika berjalan di atas pentas berprestij tersebut.

Terangnya lagi, dia bekerja keras bukan untuk memperoleh mahkota kemenangan semata-mata tetapi berharap mesej yang ingin disampaikan memberi kesan besar kepada orang lain.


Peribadi Halima (tengah) yang mudah mesra menyebabkan dia disenangi ramai orang.


Definisi kecantikan

“Ramai wanita menyokong apa yang saya lakukan dan membuatkan mereka berasa lebih berani serta yakin tanpa mempedulikan warna kulit kerana pakaian bukan penentu kecantikan anda tetapi kecantikan sebenar terletak di dalam.

“Saya mahu mencabar definisi cantik bukan hanya bergantung kepada rambut perang atau mata biru tetapi ia boleh menjadi sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan,” tegasnya.

Halima berjaya menduduki senarai 15 teratas. Sejak itu, dia menggunakan platform ratu cantik untuk berhubung dengan wanita di seluruh dunia.

“Saya mendapat maklum balas positif daripada wanita di Tanzania dan Indonesia. Mereka sangat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.

Di samping itu, Halima juga melahirkan rasa sedih apabila ada yang berkongsi pengalaman dibuli kerana dia juga pernah menjadi mangsa buli pada zaman kanak-kanak.

Sehubungan itu, dia berharap dapat menghantar mesej bukan sahaja untuk wanita Islam tetapi kepada semua yang terlibat dalam kejadian buli dan menghentikan insiden itu.

“Kita mempunyai banyak halangan dan sekarang adalah masa untuk bersatu membanteras kejadian buli,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi duta AS selepas tamat pengajian nanti.

Halima bersaing bersama 45 orang peserta pada pertandingan itu. Malangnya, dia gagal menempatkan diri dalam kelompok lima teratas dan hanya mara ke peringkat separuh akhir.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31