GENK

Usaha ringankan beban golongan berpendapatan rendah

Usaha ringankan beban golongan berpendapatan rendah



KELIHATAN dari jauh kelibat seorang gadis kecil sedang memilih beberapa jenis barang-barang persekolahan.

Barang yang telah dipilih oleh Nurul Ain Izzati Mohd Rizal, 11, itu kemudiannya disimpan ke dalam beg plastik yang dibawanya sebelum dia bergerak menuju ke gerai lain untuk mencari beberapa barangan lagi.

“Saya seronok dapat datang ke pasar ini kerana berpeluang mengambil beberapa jenis barangan secara percuma.

“Barangan yang terdapat di sini juga masih dalam keadaan baik dan saya banyak mengambil barangan keperluan persekolahan serta beberapa mainan untuk adik,” jelasnya ketika ditemui semasa program Free Market UM Edisi Khas Kanak-Kanak 2016 di Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Program pasar percuma itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan dan Kemasyarakatan, Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi dengan kerjasama FreeMarketMY.

Pengarah Program, Nur Hazirah Khairul Anuar berkata, idea untuk mengadakan pasar percuma itu adalah atas dasar keprihatinan untuk membantu golongan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, matlamat utama program tersebuat adalah untuk menanamkan sifat tolong-menolong antara satu sama lain, terutamanya bagi mereka yang amat memerlukan.

“Melalui program sebegini, ia dapat mendidik para peserta terutama generasi muda untuk beramal dengan memberikan sumbangan dalam bentuk barangan terpilih yang cantik dan elok untuk diberikan kepada orang lain yang memerlukan.

“Ini sekali gus memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan merasai nikmat memilih barangan dan mendapatkannya secara percuma.

“Selain itu, program ini secara tidak langsung menekankan budaya menghormati tidak kira lapisan umur, mendidik amalan memberi sumbangan kepada orang lain serta menyemarakkan budaya elakkan pembaziran,” katanya.

Pada program tersebut, orang ramai dinasihatkan hanya mengambil barang yang diperlukan dan tidak tamak selain memupuk budaya berterima kasih kepada yang memberi.

Menurut Nur Hazirah lagi, program yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya itu telah berjaya mengumpul seramai 111 penderma yang menyumbang barangan keperluan harian kanak-kanak.

“Untuk penganjuran kali ini, kami memberi fokus kepada barangan keperluan sekolah kanak-kanak untuk sesi 2017.

“Pelbagai barangan disediakan antaranya, baju sekolah, kasut, beg dan beberapa barangan lain yang sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Makanan percuma


Makanan percuma turut disediakan untuk pengunjung.


Tambahnya, mereka mengambil masa lebih sebulan untuk melaksanakan program tersebut dengan mencari penyumbang yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian.

Jelas Nur Hazirah lagi, selain barangan keperluan, terdapat juga dermawan yang menyediakan makanan secara percuma kepada pengunjung.

“Sempena program ini juga, kami turut menyelitkan sesi ceramah khas daripada persatuan PS Children buat ibu bapa dan golongan dewasa mengenai kesedaran penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Pasar percuma itu mempunyai satu ciri yang unik iaitu penyumbang akan membawa dan menawarkan barangan yang masih elok dan boleh digunakan. Pelanggan pula boleh mengambil dan membawa pulang barangan itu secara percuma.

Selain menawarkan barangan, pasar tersebut juga menggalakkan orang ramai untuk menyumbangkan kepakaran atau perkhidmatan secara percuma seperti nasihat tentang kesihatan, perundangan dan juga kewangan kepada masyarakat.

Pasar percuma itu boleh menjadi satu platform untuk menghubungkan penyumbang dengan mereka yang memerlukan.

Koleksi peribadi


Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi, UM menjadi lokasi penganjuran program Free Market UM Edisi Khas Kanak-Kanak 2016 baru-baru ini.


Sementara itu, seorang dermawan, Syed Abdul Rahman Syed Omar, 37, berkata, pasar percuma merupakan satu cara terbaik baginya untuk beramal dengan menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat yang memerlukan.

Menurutnya, sempena program tersebut, dia dan keluarganya mendermakan pakaian terpakai khusus untuk kanak-kanak.

“Kebanyakan pakaian ini merupakan koleksi anak-anak saya sendiri. Jadi, daripada tersimpan lebih baik diberikan kepada mereka yang memerlukan. Para jiran dan sahabat handai kami turut memberikan sumbangan.

“Saya sudah dua tahun menyertai program sebegini. Jika ada jemputan untuk menyertai pasar ini, kami bersedia untuk menyertainya,” jelasnya.

Tambahnya, untuk menderma seseorang tidak semestinya memberi wang ringgit, sebaliknya ia boleh diberi dalam bentuk barangan sepertimana yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam program itu.

Bagi seorang pengunjung, Elias Ismail, 45, berkata, dia berasa bersyukur dengan program yang diadakan itu kerana dapat membantu meringankan beban keluarganya.

“Program sebegini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang terpaksa kami tanggung. Saya juga tidak menyangka barang-barang yang dipamerkan ini boleh diambil secara percuma kerana kebanyakan masih cantik belaka, terutamanya baju dan kasut sekolah.

“Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan belanja kami untuk membeli pakaian persekolahan untuk tahun hadapan,” kata ayah kepada empat cahaya mata itu.

Tambahnya, dia berharap program sedemikian akan diadakan lagi pada tahun hadapan kerana ia merupakan satu langkah yang baik dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Muhammad Sahar, 36, berkata, dia dan rakan sekerja daripada Telekom Malaysia menyertai program tersebut bagi membantu golongan yang memerlukan.

Dana

Menurutnya, salah seorang rakan sekerjanya aktif menyertai program sedemikian dan dari situ mereka mendapat tahu mengenai pasar percuma yang diadakan di UM.

“Kami di bawah biro amal mengambil keputusan untuk menyertainya dengan menyumbangkan peralatan persekolahan seperti pakaian, beg dan kasut sekolah.

“Kesemua dana untuk mendapatkan barangan ini adalah sumbangan rakan sekerja kami. Mereka juga menyumbang peralatan persekolahan yang masih boleh digunakan,” katanya.

“Ini merupakan kali pertama kami menyertai program ini dan pada masa hadapan kami bercadang untuk menyertainya lagi sebagai salah satu cara untuk beramal kepada masyarakat,” jelasnya.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 31