RUANG

Memorabilia Perang Dunia Kedua TOKB Cafe

Memorabilia Perang Dunia Kedua TOKB Cafe

FEATURE wall TOKB Cafe menampilkan sebuah lukisan dengan mesej keamanan.


PERTEMUAN yang diatur bersama pemilik kafe, Datuk Mark Tung berjalan seperti yang dirancang. Melangkah masuk ke dalam Taste of Kota Bharu (TOKB) Cafe, kru Jurnal disambut dengan senyuman manis pekerja kafe dan sapaan ramah oleh Mark.

Pengunjung yang datang makan ke sini tidak perlu mengagak konsep apa yang menjadi inspirasi kerana sebaik sahaja masuk ke ruang dalam kafe, mata pengunjung akan disajikan dengan tema militer yang jelas direalisasikan dengan dekorasi kafe tersebut.

Mata kru Jurnal tertumpu kepada sepasang laras replika raifal Arisaka dan Enfield yang disilangkan dengan kemas di atas dinding bersebelahan kaunter di ruang makan pertama. Mendongak ke atas, satu replika motosikal Harley Davidson diletakkan di dalam kotak kaca manakala sebuah motosikal zaman Perang Dunia Kedua berwarna hitam diletakkan di atas sebuah platform tergantung.

Terdapat juga meja pastri di hadapan kaunter yang mana buku-buku mengenai perang tersebut dipamerkan selain buku manual penggunaan raifal tentera Jepun.

Menjadikan Perang Dunia Kedua sebagai ilham, TOKB Cafe membawa ingatan pengunjung ke zaman pra-merdeka ketika Tanah Melayu menjadi saksi kepada peperangan antara Jepun dan British dengan barang-barang tinggalan perang mendominasi dinding dan ruang cafe seluas 408 meter persegi itu.

“Saya mengambil inspirasi daripada pendaratan Jepun di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Disember 1941 yang menandakan permulaan Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Saya juga menjadikan barangan serta objek-objek berkaitan peristiwa sebagai dekorasi yang lebih terperinci,” ujar Mark mengenai kafenya kepada kru Jurnal di TOKB Cafe, Petaling Jaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idea lelaki itu boleh dilihat di ruang makan kedua dengan dua buah replika pesawat Jepun masing-masing diperbuat daripada fiber dan kayu balsam gah tergantung di ruang atas kafe. Selain itu, beberapa replika kapal perang Jepun dan British yang terlibat dalam peperangan itu seperti kapal HMS Prince of Wales dan Mogami turut kelihatan di satu sudut berserta dengan maklumat mengenai kapal-kapal tersebut.


NASI kerabu yang dimasak mengikut resipi turun-temurun Kak Ma, tukang masak TOKB dari Kelantan.


TOKB mempunyai dua ruang makan di aras bawah. Aras atas pula menempatkan ruang santai untuk pengunjung berehat dan berborak sambil menikmati hidangan pilihan mereka.

Muzium mini

Melihat kepada barang tinggalan perang dan susun atur kafe itu, mata pengunjung pasti meliar ke sudut-sudut kafe itu yang mempunyai identiti tersendiri sambil menunggu makanan dihidangkan. Perabot dan meja makannya ditempah khas dan tidak dijumpai di mana-mana.

“Kafe ini bukan sahaja menjadi tempat makan namun saya mahu ia menjadi muzium mini untuk anak-anak muda mengingati sejarah negara terutama ketika era Perang Dunia,” tambahnya.

Lebih menarik, dia turut mempunyai koleksi barang tinggalan perang yang asli di samping beberapa bahan replika lain. Antara objek tinggalan asli yang menarik perhatian ialah pedang Gunto dan Wakizashi milik tentera Jepun yang diletakkan dalam galeri kecil di ruang makan kedua.

Menurut Mark, kedua-dua pedang itu dijumpai oleh nelayan tempatan di pantai Sabak, Kota Bharu, dipercayai dimiliki oleh seorang pegawai memerintah dalam Detasmen Takumi semasa pendaratan Jepun di pantai berkenaan.

Barang tinggalan lain yang boleh didapati ialah uniform dan aksesori tentera, perkakas tempur, keratan akhbar dan poster perang.

Namun, semua itu bukan bertujuan untuk mengagungkan peperangan namun mendidik generasi muda dengan mesej peperangan bukanlah sesuatu yang baik untuk semua yang terlibat.

Buktinya, Mark meletakkan satu lukisan yang menunjukkan tentera Jepun dan British duduk semeja sambil gelak ketawa di sebuah dinding yang bertindak sebagai feature wall kafe berkenaan yang boleh memuatkan kira-kira 150 orang pada satu-satu masa.


REPLIKA Arisaka dan Enfield dipamerkan di bawah sebuah replika kayu motosikal Harley Davidson.


Keseluruhan dekorasi TOKB Cafe menelan belanja sehingga RM600,000. Mark berkata, dekorasi dalaman kafe itu dirancang oleh anak lelakinya yang juga bertindak sebagai pengurus kafe.

Senjata rahsia

Bersesuaian dengan namanya, TOKB menghidangkan menu-menu tradisional negeri Cik Siti Wan Kembang itu di samping makanan barat.

“Kami mempunyai teh atom dan nasi kerabu sebagai menu signatur sekali gus menjadi ‘senjata rahsia’ kami untuk menarik pelanggan. Teh atom ialah teh tarik dicampur dengan madu untuk rasa yang lebih enak manakala nasi kerabu kami dimasak menggunakan resipi tradisional turun-temurun Kak Ma, cef kami dari Kelantan,” tambah Mark.

Bagi makanan barat, TOKB menawarkan spageti dan burger serta aneka kek untuk hidangan ringan.

Pelanggan yang datang juga berpeluang menikmati roti c4 iaitu roti titab yang terkenal sebagai menu sarapan pagi di Kelantan.

Harga untuk menu-menu yang ditawarkan kafe itu bermula dari RM3.30 hingga RM20.00.

Bagi yang ingin menjadi ahli kafe, mereka akan diberikan dog tag tentera dan bukan kad keahlian seperti restoran lain bagi menyerlahkan lagi tema restoran itu.

Process time in ms: 47