AURA JUITA

Fesyen kasual dan semi formal Adamaya

Fesyen kasual dan semi formal Adamaya


Wan Adam Shafique (tiga dari kiri) dan Wan Maya (tiga dari kanan) turut menggayakan busana Adamaya bersama barisan model pada pertunjukan fesyen sempena Karnival Mai Dagang 2016 di Ara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.


Adamaya merupakan jenama fesyen tempatan yang cukup terkenal di negara ini. Buktinya, label fesyen berkenaan telah pun mempunyai beberapa koleksi pakaian yang mempunyai golongan sasarnya yang tersendiri.

Jenama tersebut yang diilhamkan oleh Datin Sharifah Shawati Syed Mohd. baru-baru ini muncul sebagai salah satu label pakaian yang menyertai pertunjukan fesyen di Karnival Mai Dagang 2016 yang julung kali diadakan di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Sharifah Shawati berkata, bertepatan dengan golongan sasar karnival itu, beliau mengetengahkan tiga koleksi pakaian Adamaya iaitu T-Resort, Pleats Phenomena dan Letisha.

Menurutnya, pemilihan koleksi berkenaan dilakukan memandangkan ketiga-tiga koleksi tersebut sesuai untuk ditampilkan pada karnival itu yang turut bersifat santai dan kasual.

“Koleksi T-Resort yang kami tampilkan pada pertunjukan fesyen itu menggunakan fabrik seperti tie dye. Fabrik itu sifatnya sama seperti batik, iaitu setiap rekaan memiliki sifatnya yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

“Jadi, pakaian dengan fabrik tie dye yang saya bawakan itu berwarna hitam dan putih. Tujuan kami menghasilkannya adalah kerana tidak ramai yang menjual pakaian diperbuat daripada fabrik tie dye yang berwarna hitam dan putih kerana proses penghasilannya agak sukar berbanding warna lain.

“Ia menjadikan koleksi T-Resort Adamaya bersifat agak eksklusif. Ia boleh dipakai dengan jean atau dengan seluar pendek bagi mereka yang mahu bersantai, malah ia juga sesuai digayakan dengan legging,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Pertunjukan fesyen yang bertempat di Evolve Concept Mall di Ara Damansara itu turut dimeriahkan dengan penyertaan dua orang anak beliau iaitu Wan Adam Shafique Wan Zullkefle, 18 dan Wan Maya Letisha, 16.

Menurut beliau, jenama Adamaya dicipta dengan menggabungkan nama kedua-dua anaknya itu.


CORAK abstrak turut menjadi kekuatan jenama Adamaya.


“Mereka turut menyumbangkan idea masing-masing dalam penghasilan koleksi kasual Letisha yang mengikut trend semasa,” katanya.

Mengulas tentang koleksi kedua iaitu Pleats Phenomena, Sharifah Shawati berkata, ia merupakan pakaian yang bersifat semi formal, namun masih boleh digayakan secara kasual.

Menurutnya, aspek yang paling unik mengenai Pleats Phenomena ialah fabriknya yang mana ia menggunakan 100 peratus material poliester.

“Ia yang juga dipanggil sebagai pleats itu mempunyai lipatan-lipatan kecil dan jarang dijual di Malaysia menjadikan ia bersifat eksklusif.

“Pleats Phenomena boleh dipadankan dengan baju-baju lain bagi menghasilkan satu penampilan yang unik. Koleksi ini menawarkan jaket, seluar, baju dan skaf. Tujuannya adalah untuk menampilkan satu kelainan daripada segi koleksi semi formal,” ujarnya.

Sementara itu, Sharifah Shawati berkata, koleksi Letisha merupakan rangkaian pakaian kasual yang kini menjadi kegemaran Gen Y di negara ini.

Jelasnya, Letisha didatangkan dengan warna hitam dan putih disebabkan beberapa faktor, antaranya, ia merupakan warna yang tidak lapuk dek zaman dan akan kekal menjadi trend.

“Warna itu juga versatil dan satu lagi faktor ialah ia senang untuk dijual,” ujarnya yang memberitahu, Letisha turut dihasilkan berdasarkan trend generasi masa kini yang gemar mengenakan pakaian bersaiz besar.

Dalam pada itu, katanya, beliau bercadang untuk mencipta beberapa koleksi baharu yang disasarkan kepada pelbagai golongan masyarakat, selain turut berazam untuk terus berkarya bagi menjadikan Adamaya sebagai satu daripada jenama yang terunggul di persada antarabangsa.

“Orang ramai yang berhasrat untuk membeli koleksi Adamaya pada harga murah sempena diskaun akhir tahun Adamaya Brands Collection boleh singgah ke bazar Pret A Porter yang diadakan selama dua hari bermula hari ini dan esok ini di G Village Ampang, Selangor.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.adamaya.com.my,” katanya.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47