AURA JUITA

Purity penanggal solekan segera

Purity penanggal solekan segera



SESEORANG wanita memerlukan kesabaran yang tinggi apabila menanggalkan solekan. Ia bukanlah semudah yang disangka kerana terdapat pelbagai langkah yang perlu dilakukan untuk tujuan tersebut.

Sekiranya solekan tidak ditanggalkan dengan sempurna, sudah tentu wajah seseorang itu akan menerima kesan sampingan seperti masalah kulit yang rosak.

Pengarah Urusan Sun Fabulous Sdn. Bhd. (Sun Fabulous), Fardyla Erra Yus berkata, bagi wanita yang ingin menanggalkan solekan dengan mudah, mereka boleh mendapatkan penanggal solekan Purity keluaran syarikatnya.

Menurutnya, Purity tidak hanya berfungsi sebagai penanggal solekan semata-mata kerana ia mengandungi beberapa kegunaan yang lain iaitu toner, pelembap dan pencuci muka.

“Produk ini mudah sahaja untuk digunakan, malah mengambil masa kurang daripada satu minit untuk menanggalkan solekan pengguna.

“Justeru, produk ini sesuai digunakan oleh golongan wanita yang mahu menanggalkan solekan tanpa perlu mengambil masa yang terlalu lama bagi tujuan berkenaan,” katanya kepada Aura Juita semalam.

Fardyla Erra berkata, produk itu mendapat khasiat daripada ekstrak kelapa sawit iaitu tocotrienol yang mempunyai khasiat tiga kali ganda daripada vitamin E biasa.


PURITY yang bersaiz kecil mudah untuk dibawa ke mana-mana oleh pengguna.


“Kita mengggunakan tocotrienol kerana ia lebih berkuasa daripada tocopherol iaitu subfamili vitamin E yang biasa digunakan dalam pencuci muka lain yang terdapat di pasaran. Ia membuatkan proses menanggalkan solekan lebih mudah.

“Lebih-lebih ketika ini trend pemakaian hijab semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Mereka biasanya mengenakan solekan yang tebal, jadi Purity membantu mereka untuk menanggalkan solekan dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau memberitahu, penggunaan Purity turut membantu golongan wanita daripada mengalami masalah kulit yang rosak.

Tambahnya, situasi itu boleh dialami jika golongan Hawa tidak mengikut langkah menanggalkan solekan dan mencuci muka dengan betul.

Katanya, ramai dalam kalangan wanita yang tidak berbuat demikian disebabkan pelbagai faktor, antaranya kepenatan setelah bekerja sepanjang hari dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menanggalkan solekan.


Produk ini boleh didapati dalam saiz 50ml dan 200ml.


“Dengan adanya Purity, golongan wanita tidak perlu mengikut langkah-langkah menanggalkan solekan seperti memakai toner dan pencuci muka secara berasingan kerana produk ini melakukan segala-galanya iaitu menanggalkan solekan, melembapkan kulit serta membersihkan kotoran,” katanya.

Fardyla Erra memberitahu, Purity dijual pada harga RM25 bagi yang bersaiz 50 mililiter (ml) dan RM80 (200ml).

“Saiz produk ini yang kecil memudahkan ia dibawa ke mana-mana sahaja. Ia memberi nilai tambah kerana pengguna tidak perlu lagi membawa toner, pelembap dan pencuci muka bersama-sama yang juga menambahkan berat bagasi mereka,” katanya.

Process time in ms: 2953